Ini Sebabnya Jualan Pesaing Anda Lebih Baik Dari Anda

Oleh Azleen Abdul Rahim

KOMUNITI ialah satu kumpulan pengguna yang percaya dan yakin dengan jenama anda. Mereka bukan sahaja yakin dengan kebolehan anda, malah mereka juga yakin dengan wawasan dan juga perjalanan perniagaan anda. Malah, mereka juga yakin yang anda mempunyai produk dan perkhidmatan yang sangat baik dan berkualiti tinggi. Cuma, mereka masih belum bersedia untuk membeli.

Mereka mengikuti setiap perkembangan anda dengan dekat, memberikan tindakbalas mereka melalui butang Like, berkongsi status-status yang anda muatnaik dengan rakan-rakan mereka ataupun memberikan komen-komen yang membina. Dengan kata lain, mereka adalah bakal pembeli produk atau perkhidmatan anda sebenarnya. Lebih besar komuniti yang anda bina, semakin besar kebarangkalian mereka akan datang kepada anda dan membeli produk dan perkhidmatan yang anda jual pada masa yang akan datang.

Apabila jenama-jenama besar ini sedar akan kewujudan komuniti ini, ia akan ditempatkan di tempat-tempat yang senang untuk dibasuh pemikiran mereka. Ini perlu untuk mempercepatkan proses mereka mengambil keputusan untuk membeli produk anda. Di bawah adalah tempat-tempat di mana komuniti di’simpan’ yang patut anda gunakan. Jenama-jenama besar ini juga akan memberikan contoh yang baik bagaimana mereka menggunakan komuniti ini dan menukar status komuniti atau bakal pembeli itu tadi kepada pembeli berbayar.

Media Sosial. Kebanyakan jenama akan melalui jalan mudah ini untuk membina komuniti mereka sebesar mungkin. Melalui kaedah media sosial ini, amat mudah untuk mana-mana jenama membina pengikut mereka. Jenama minuman Coca-Cola misalnya, mempunyai pengikut diantara yang terbesar di dunia. Mereka sering membasuh pemikiran mereka dengan memberikan mesej yang amat mudah. Kalau nak hilangkan dahaga, minum Coca-Cola. Di Malaysia, pengaruh mereka Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram memang tidak dapat dinafikan lagi saiznya.

Penggunaan berita berkala atau newsletter. Di Malaysia, tidak begitu banyak jenama-jenama yang fokus untuk membina komuniti melalui penggunaan berita berkala. Dengan begitu kreatif sekali mereka menggalakkan para pengguna untuk membuat akaun di portal tersebut untuk mengikuti setiap perkembangan dan promosi yang ada. Conoth yang baik ialah taktik yang digunakan oleh portal perkhidmatan Weddinglah.com.my yang membantu bakal pengantin untuk merancang hari perkahwinan secara dalam talian. Berita berkala ini biasanya akan dihantar seminggu sekali, yang menyentuh pelbagai taktik atau cara bagaimana untuk itu dan ini, promosi tertentu dan juga acara yang bakal berlangsung.

Pengikut tegar blog. Pada bulan September tahun lalu, Nescafe telah mengumumkan kepada dunia yang mereka tidak akan lagi menggunakan laman web dengan aktif tetapi akan memperuntukkan masa yang besar kepada penulisan blog. Lalu mereka beralih arah kepada penggunaan Tumblr. Menurut Nescafe, mereka perlu mewujudkan satu kelompok komuniti yang amat besar dan ia mampu dilakukan oleh penggunaan laman blog yang lebih interaktif berbanding laman web yang statik. Di blog, para pengguna boleh berinteraksi atau memberi pendapat, pandangan dan komen kepada mana-mana status yang telah dimuatnaik oleh Nescafe. Cara sebegini sangat efektif untuk jenama mereka kelihatan lebih terbuka.

Penggunaan Aplikasi Pesanan Ringkas. Tahukah anda aplikasi pesanan ringkas Telegram dan WhatsApp mempunyai satu fungsi yang membenarkan anda mempunyai saluran anda sendiri untuk anda bersiaran secara langsung dengan para pengikut anda? Ia membenarkan anda bersiaran dalam satu arah, iaitu membenarkan anda membuat pengumuman atau penyebaran maklumat kepada para pengikut ataupun komuniti anda dan pengikut mereka tidak boleh membalas pesanan tersebut. Banyak produk jenama kecantikan menggunakan kaedah media sosial yang lebih mudah, tetapi jenama penjagaan kulit Afrynz menggunakan kaedah bersiaran dengan aplikasi WhatsApp yang lebih kreatif dan jauh lebih efektif. Setiap pengumuman, aktiviti harian, pemberian baucar, diskaun, produk baru dan sebagainya ini dibuat secara langsung dengan wakil-wakil mereka di seluruh negara. Tidak seperti media sosial yang perlu dibayar untuk setiap promosi yang dibuat, melalui pesanan ringkas ini ia bukan sahaja percuma tetapi amat-amat efektif dan terus kepada individu itu.

Jenama-jenama ini jarang menggunakan WhatsApp Group atau berkumpulan kerana situasi akan menjadi tidak menentu. Semua orang akan berinteraksi di dalamnya dan kumpulan itu akan menjadi carca-marba. Akhirnya ramai yang bakal meninggalkan kumpulan WhatsApp itu.