Mengapa Agensi Media Digital Akan Pupus 10 Tahun Lagi

Oleh Azleen Abdul Rahim

SAYA terbaca satu artikel yang ditulis oleh Yuyu Chen di laman portal media terkenal digiday.com beberapa hari lepas tentang satu trend terbaru di dalam industri pemasaran digital yang sedang berlaku di negara-negara Barat ketika ini. Ia menarik perhatian saya kerana saya tahu ia bukan sahaja benar, malah sudahpun berlaku di negara-negara ASEAN terutamanya di Malaysia.

Trend yang dimaksudkan itu tadi ialah, agensi-agensi media digital di sana kini sedang gigih mengubah struktur model harga mereka untuk terus kekalkan keyakinan para pelanggan korporat. Dalam pengamatan Yuyu, kadar perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi-agensi ini kelihatan tidak berbaloi langsung berbanding dengan prestasi suam-suam kuku setiap kempen yang ditunjukkan. Jurang yang terlalu besar ini membuatkan ramai pelanggan mereka mula mendesak agar harga yang diberikan untuk setiap perkhidmatan yang disediakan oleh agensi media digital ini perlu telus. Ada juga permintaan agar keuntungan dikongsi bersama, seiring dengan prestasi yang ditunjukkan. Banyak organisasi-organisasi korporat kini berminat untuk situasi menang-menang diantara kedua-dua pihak, dan tidak lagi ingin membayar dan terus membayar untuk sesuatu yang tidak pasti.

Jika dilihat betul-betul di dalam industri pemasaran digital di Malaysia buat masa ini, kadar harga yang ditawarkan oleh agensi-agensi media digital adalah lebih kepada yuran bulanan yang tetap, yang perlu dibayar oleh pelanggan. Ia dikenakan untuk membayar kos-kos tetap yang perlu ditanggung oleh pihak agensi seperti gaji, perkhidmatan kreatif, kos pengiklanan dan juga peratusan keuntungan. Keuntungan tipikal yang diperuntukkan biasanya adalah di antara 20-30 peratus daripada jumlah yuran bulanan yang diterima.

Sejak kebelakangan ini, tingkahlaku pasaran atau para pengguna agak tidak menentu. Ramai yang suka menekan butang Like tanpa membaca apa yang ditulis. Ramai juga yang menekan butang Share untuk kongsikan apa yang dibaca (walaupun hanya membaca tajuk sahaja) dan ramai juga yang memberikan komen tanpa menghabiskan bacaan mereka pada kandungan tersebut. Ya, memang bagus apabila sesuatu status yang dimuatnaik itu menjadi viral namun ia tidak semestinya akan menjanjikan hasil. Tidak semestinya sesuatu produk atau perkhidmatan itu dapat dijual dalam masa yang amat singkat seperti yang dikehendaki pelanggan korporat tadi. Apabila ini berlaku, pelanggan tadi berasa agak terkilan apabila terpaksa mengeluarkan belanja yang besar tetapi ‘tidak ada’ hasil langsung. Dengan sebab inilah agensi-agensi media digital agak risau untuk menyahut perkongsian menang-menang tadi.

Selain dari itu, sikap gelojoh para pelanggan korporat yang mempunyai harapan yang tinggi untuk dapatkan jualan dalam masa yang singkat juga tidak membantu. Sikap ‘semuanya nak cepat’ inilah yang bakal membuatkan semua agensi media digital yang ada goyang. Saya menjangkakan keadaan akan menjadi lebih teruk lagi apabila kelembapan ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang, ditambah lagi dengan trend setiap organisasi kini lebih gemar menggunakan kepakaran dalaman ataupun freelancer untuk kempen-kempen media sosial dan pemasaran digital mereka, menguatkan lagi andaian saya tentang teori kepupusan agensi-agensi media digital ini. Betul, organisasi-organisasi korporat kini mula menguatkan kepakaran dalaman, teknik dan kemahiran dipupuk dengan baik bagi tujuan ini.

Seperti biasa, saya sentiasa memantau dari jauh perkembangan terbaru ini. Di Malaysia, saya tahu terdapat beberapa agensi media digital yang mula memberi kelonggaran harga seperti yang tertulis di atas. Mereka menurunkan harga dengan begitu drastik sekali, menyediakan model harga yang fleksibel dan perkongsian pintar dengan tawaran harga yang berbentuk komisen. Ini dilakukan semata-mata untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka pada masa akan datang. Secara individu, saya melihat perubahan model perniagaan mereka sebagai tidak kukuh, bersifat sementara yang akhirnya akan membuatkan perniagaan mereka terkubur.

Agensi-agensi ini semakin tidak terserlah kelebihannya. Pihak korporat kini semakin tidak pasti kenapa mereka perlu menggunakan agensi-agensi ini lagi apabila kekuatan dalaman mereka semakin baik. Malah mereka mewujudkan satu jabatan digital mereka tersendiri yang bakal membantu keseluruhan syarikat untuk beraksi dengan lebih baik lagi dan murah.

Jika anda adalah pemilik sesuatu jenama produk yang besar dan anda mempunyai beberapa pekerja yang mahir dengan pemasaran digital, adakah anda masih ingin menggunakan perkhidmatan agensi-agensi media digital luar? Jawapan anda sudah semestinya tidak.