Dari Hanya Rakan Di LinkedIn, Kini Pelanggan Berbayar

Oleh Azleen Abdul Rahim

Mempunyai rangkaian kenalan digital kini semakin diperlukan oleh para profesional. Sebab utama ialah kerana kita perlu mendapatkan perspektif baru tentang sesuatu, mendapatkan pelanggan, rakan niaga ataupun juga pelabur untuk jenama kita terus memacu ke hadapan. Bagi saya, LinkedIn merupakan satu rangkaian media sosial yang jauh berbeza dari yang lain seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Ia menawarkan satu komuniti yang amat diperlukan, iaitu komuniti profesional.

Dengan sebab kualiti komuniti yang ditawarkan oleh LinkedIn inilah menyebabkan saya menghabiskan masa tidak kurang 12 jam di platform ini. Ia satu-satunya platform yang mampu membina dan menaikkan jenama saya dan perniagaan saya. Di sini juga saya boleh canangkan latar belakang profesional saya, pengalaman dan kepakaran media sosial, kandungan dan pemasaran digital serta menulis artikel-artikel untuk tatapan mereka.

Untuk mencapai matlamat ini, saya perlu berada di tempat yang tepat dan pada masa yang tepat juga. Dengan kepercayaan sebegini, tidak ada tempat yang lebih sesuai selain LinkedIn. Kebanyakan ketua-ketua eksekutif tidak kira sama ada syarikat besar atau kecil, mereka berada di LinkedIn. Ketua-ketua pegawai operasi, ketua-ketua jabatan, para profesional yang lain yang berjawatan tinggi dan menengah kesemua mereka berada di LinkedIn. Jadi pelaburan masa saya amat-amat diperlukan di sini. Dengan rangkaian media sosial ini juga, saya boleh gunakan untuk membina profil profesional saya dengan lebih baik lagi. Dengan pautan yang LinkedIn sediakan untuk profil tadi, saya boleh kongsikan dengan sesiapa sahaja dan mereka boleh melihat sendiri profil profesional yang ditulis.

Di sini saya ingin anda tahu bagaimana saya menggunakan profil profesional LinkedIn saya untuk menukarkan mereka kepada pelanggan berbayar saya yang mereka pun tidak berapa perasan sebenarnya. Mungkin anda boleh menggunakan kaedah yang sama untuk menarik pelanggan berbayar untuk produk dan perkhidmatan yang anda sediakan.

Profil anda perlu unik dan lain dari yang lain. Bagi saya semuanya bermula di sini. Bagi memastikan cinta pandangan pertama wujud pada 7 saat yang pertama agar pengunjung LinkedIn datang, saya tidak cuba-cuba untuk meniru apa yang orang lain tulis atau meniru gaya penulisan mereka atau menerima bulat-bulat nasihat daripada orang luar yang tidak mahir tentang selok-belok LinkedIn ini. Mengikut psikologi, orang akan lebih tertarik untuk mengikut dan berkawan dengan orang lain yang lebih aktif, ceria dan mempunyai personaliti yang menarik berbanding yang berkawan dengan individu yang lemah gemalai, lesu, kusam dan tidak ceria. Saya menggunakan kaedah ini untuk menceriakan profil saya, dan juga memastikan yang penulisan profil senang difahami, jelas dan tepat. Profil ini juga saya tulis agar maklumat yang ada hanya cukup-cukup sahaja dan tidak memasukkan semua benda. Apabila saya memasukkan kesemua benda tentang diri saya, secara automatik profil saya akan menjadi bosan. Tetapi jika saya bercerita tentang semua, dan memasukkan element ingin tahu dalam fikiran para pengunjung profil LinkedIn saya, saya akan berjaya menarik mereka ke laman web rasmi saya. Di sana, mereka akan tahu dengan lebih lanjut siapa Azleen sebenarnya dan apa perniagaan yang dia jalankan.

Tarik orang yang kita tidak kenal satu hal, jadikan mereka rakan lagi susah tetapi ada caranya. Saya perlu tahu bagaimana bermain dengan pemikiran orang ramai, untuk dekatkan diri dengan mereka dan seterusnya menarik mereka menjadi rakan saya di LinkedIn. Kesemua ini harus dilakukan agar profil saya kelihatan menarik dan penting bagi mereka dalam masa 7 saat. Jadi, saya mulakan dengan gambar profil. Saya menggunakan baju yang formal agak kelihatan profesional, cuma dengan tangan yang sebegitu rupa agar pada masa yang sama saya akan dilihat lebih rileks, mesra dan mudah didekati. Kenapa gambar hitam dan putih ialah untuk memastikan yang gambar yang saya gunakan ini akan dapat bertahan lama tahun demi tahun. Saya tidak gemar menukar gambar dengan kerap kerana proses penjenamaan mengambil masa yang lama untuk berhasil. Dan dalam proses ini, gambar profil ada salah satu faktor yang paling penting sekali.

Dengan kombinasi gambar dan profil yang meyakinkan, di sini sebuah kepercayaan akan bermula. Kita tidak tahu siapa kenalan rakan-rakan profesional kita di LinkedIn, maka profil kita amat penting dalam proses meluaskan pengaruh kita.