Bagaimana Menjadi Penulis Blog Sepenuh Masa?

Oleh Azleen Abdul Rahim

UNTUK menjadi seorang penulis blog yang berjaya, anda perlu lakukan apa yang dilakukan oleh para penulis blog yang berjaya. Kemudian barulah anda boleh ke bank setiap hari. Tidak ramai yang tahu cara-cara yang harus dilakukan untuk menjadi penulis blog yang berjaya, apatah lagi untuk menjadi penulis blog sepenuh masa. Siapakah para penulis blog yang berjaya ini? Saya tidak perlu memberikan nama-nama mereka, anda boleh membuat pencarian di laman Google sendiri. Anda juga akan melihat persamaan yang mereka semua miliki, yang saya ceritakan di sini:

Minat. Hampir kesemua penulis blog yang berjaya mempunyai minat yang amat tinggi untuk menulis. Dan minat mereka ini jauh lebih tinggi berbanding keinginan untuk meraih pendapatan yang besar. Ini formula yang pertama. Mereka menulis semata-mata kerana minat. Dan mereka menulis setiap hari. Kerana minat mereka yang begitu mendalam terhadap subjek yang mereka tulis, buah fikiran yang kreatif pasti akan datang. Mereka menulis 10-15 artikel setiap minggu. Saya sendiri menulis tidak kurang dari 4 artikel seminggu untuk blog saya sendiri dan juga untuk beberapa jenama yang lain termasuklah Utusan Malaysia. Setiap artikel yang ditulis itu tidak kurang dari 650 perkataan setiap satu.

Tumpukan Pada Subjek Anda. Mereka tidak menulis apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka. Mereka sedar yang strategi ini tidak akan berhasil untuk membentuk penjenamaan mereka sendiri. Mereka akan memilih satu pilihan subjek, bidang atau industri yang paling dekat dengan hati anda, yang mereka mempunyai pengetahuan dan kepakaran yang tinggi tentang subjek tersebut. Anda boleh perhatikan bagaimana seorang penulis blog itu terkenal kerana kemahirannya tentang satu subjek, dan bukannya dua atau tiga subjek berbeza. Sebagai contoh, minat dan kepakaran saya lebih terdorong kepada pemasaran digital. Jadi kesemua penulisan saya akan berkisar tentang pemasaran digital, kandungan dan juga media sosial. Itu sahaja.

Kongsi Ilmu. Jika anda belajar tentang psikologi manusia, anda akan sedar bahawa manusia sebenarnya gemar untuk menolong orang lain dan juga terbuka untuk diberikan pertolongan. Berdasarkan fakta ini, para penulis blog yang berjaya terdorong untuk membentuk cara penulisan mereka agar ia bersifat perkongsian ilmu berdasarkan kepakaran mereka dalam bidang tertentu. Mereka akan menulis dalam dua kaedah. Pertama, cara-cara untuk melakukan sesuatu ataupun kedua, penulisan mereka akan menjurus kepada perkongsian pendapat ataupun pemikiran tentang sesuatu perkara. Mereka tahu, para pembaca dan pengikut mereka pasti akan hargai apa yang ditulis dan seterusnya menggunakannya dalam kehidupan harian mereka.

Tumpukan Pada Penulisan. Mereka tidak begitu bimbang sekiranya artikel yang ditulis itu tidak mendapat trafik yang banyak, tidak membuat pendapatan yang besar darinya, tidak mendapat pengikut yang ramai ataupun orang tidak kongsikan artikel tersebut dengan rakan-rakan mereka. Mereka cuma akan tumpukan kepada penulisan mereka agar ia kelihatan lebih berkualiti, segar, dan menarik. Mereka mahukan jadikan setiap apa yang ditulis sebagai ikonik dan diantara yang terbaik yang pernah dihasilkan. Fokus kepada ini sahaja dan yang lain-lainnya pasti akan terjadi dengan sendirinya.

Banyak Membaca dan Memerhati. Mereka tahu buah fikiran yang kreatif tidak akan datang sekiranya mereka kurang membaca, dan kurang memerhati sekeliling apa yang berlaku. Dengan lebih membaca, mereka akan belajar tentang pelbagai benda termasuklah perkataan-perkataan baru, taktik terkini, gaya penulisan dan juga inovasi terkini tentang subjek mereka. Mereka juga sedar yang membaca sahaja tidak akan mencukupi. Mereka perlu memerhati keadaan sekeliling yang berkisar tentang subjek itu. Mereka perlu tahu bagaimana reaksi atau persepsi yang wujud dikalangan orang ramai tentang subjek tersebut.

Kaitkan Penulisan Dengan Pembaca. Mereka biasanya akan meletakkan diri mereka sebagai pembaca terlebih dahulu sebelum menulis. Di sini mereka akan tahu bagaimana para pembaca mengaitkan tentang apa yang dibaca dengan kehidupan mereka. Penulisan yang jelas, mudah dan senang difahami akan lebih menguatkan ‘perhubungan’ diantara pembaca dengan artikel yang ditulis yang akhirnya menjadikan penulisan tadi mudah dihadam.

Tidak semua orang akan berjaya menjadi penulis blog sepenuh masa yang berjaya. Semuanya akan ditentukan dengan minat anda dan juga tahap mana keinginan anda untuk mencapainya.