Jenama Anda Tenggelam Mungkin Kerana Tiada Hashtag

Oleh Azleen Abdul Rahim

HASHTAG ialah simbol palang seperti ini: #. Sebelum ini ramai yang kenal tanda ini sebagai tanda pound tapi semenjak kewujudan media sosial Twitter pada tahun 2006, nama hashtag ternyata lebih popular. Anda akan perasan yang ia sering kelihatan di rangkaian media sosial yang lain. Ramai yang tahu bagaimana menggunakannya tetapi ramai juga yang masih terkial-kial lagi. Saya tahu di antara yang terkial-kial tadi, terlalu ramai yang malu-malu untuk bertanya apakah sebenarnya fungsi hashtag ini dan bagaimana untuk menggunakannya dengan efektif.

Fungsi hashtag sebenarnya ialah untuk para pengguna mencari sesuatu jenama, kempen-kempen digital dan menyumbang pendapat atau idea kepada sesuatu topik tertentu. Ia tidak memerlukan apa-apa perisian tertentu untuk mempunyai hashtag, cuma perlu menaip simbol palang tadi para permulaan perkataan tertentu. Selain perkataan, anda juga boleh menggunakan ayat-ayat pendek yang bersambung untuk tujuan ini. Contoh yang paling mudah ialah seperti #Merrepak, #JomDermaDarah ataupun #SelamatkanSyria yang sering dilihat di mana-mana sahaja. Anda mungkin juga perasan hashtag #JomNaikMRT yang terpampang di hampir setiap papan iklan sekitar stesen-stesen MRT dan juga LRT di Lembah Klang baru-baru ini.

Kenapa penggunaan hashtag ini sering digunapakai di media sosial, dan juga di media tradisional? Terdapat lima sebab utama hashtag digunakan yang membuatkan status-status yang dimuatnaik itu berjaya dilihat oleh para pengguna.

Untuk memudahkan sasaran pasaran anda mencari anda di internet. Para generasi Y dan sebahagian dari generasi X kini mencari sesuatu jenama di dua tempat utama. Pertama, di laman Google dan keduanya dengan menggunakan hashtag ini di media-media sosial. Kaedah pertama sering digunakan oleh sesiapa sahaja tetapi tidak ramai yang tahu kaedah yang kedua ini juga mampu mencari sepertimana Google.

Meningkatkan kadar penglibatan. Apabila anda memuatnaik status terbaru di media sosial, penggunaan hashtag mampu menaikkan kadar purata klik para pengguna untuk melihat status anda itu yang akan menghasilkan penglibatan mereka yang tinggi dari aspek mempunyai kadar Like yang tinggi, kadar perkongsian dan juga komen-komen yang banyak. Ini terbukti dari penyelidikan yang dilakukan oleh agensi media milik Salesforce.com iaitu Buddy Media yang berpusat di New York, yang menyatakan bahawa setiap status yang mempunyai hashtag yang dimuatnaik akan memiliki dua kali ganda interaksi atau penglibatan oleh para pengguna berbanding status yang tiada hashtag.

Pemantauan kempen-kempen digital. Jenama kini sedang dalam usaha-usaha mereka untuk membina pemasaran mulut-ke-mulut melalui penggunaan individu-individu yang dikenali sebagai pengaruh mikro. Mereka akan mempengaruhi para pengikut mereka melalui status-status yang ditulis. Apabila jenama-jenama tertentu menggunakan khidmat pengaruh mikro ini, penggunaan hashtag perlu digunakan. Ia bagi memudahkan pasukan pemasaran jenama tersebut untuk memantau prestasi setiap status yang ditulis sama ada kempen yang dijalankan itu berjaya ataupun tidak.

Ia menjadi faktor pencarian di media sosial. Tidak semua orang menggunakan internet semata-mata untuk menghabiskan masa terluang ataupun hanya ingin bersantai. Ramai yang menggunakan media sosial untuk mencari maklumat yang spesifik. Dengan berpandukan beberapa perkataan atau ayat yang spesifik, mereka mampu mencari maklumat-maklumat tertentu dan juga entiti yang mempunyai maklumat tersebut. Dengan hanya beberapa minit, bukan sahaja sesuatu maklumat itu mampu dijumpai malah entiti yang memiliki atau menyebarkan maklumat itu juga akan diperolehi. Ia digunakan seakan-akan fungsi Google di media sosial tersebut.

Kuatkan tarikan viral sesuatu kandungan itu. Anda pasti akan perasan apabila sesuatu kandungan itu menjadi viral, ia biasanya akan mengandungi hashtag dipenghujung ayat terakhir. Dan hashtag ini biasanya akan menguatkan lagi impak yang disediakan kandungan yang viral tadi sama ada video, artikel ataupun gambar. Dengan mempunyai hashtag yang kelakar, sedih ataupun yang menyentuh perasaan, kadar viral kandungan itu akan menjadi lebih hebat. Dan dengan hashtag ini jugalah pasukan pemasar akan membuat pemerhatian dari jauh tentangnya.

Untuk perniagaan anda, saya ingin memberi cadangan yang anda perlu meneliti terlebih dahulu senarai hashtag yang ada di industri dan lokasi anda serta menimbang untuk mempunyai hashtag anda sendiri untuk setiap kempen digital yang akan dilakukan. Dengan adanya fungsi ini, proses pemantauan akan lebih mudah dan sistematik.