6 Langkah Dapatkan Like Dengan Cepat Di Facebook

Oleh Azleen Abdul Rahim

SEKIRANYA anda melihat laman Facebook sesuatu jenama itu, anda pasti perasan yang anda akan mencari berapa jumlah Like yang ada setelah anda selesai membaca atau melihat kandungan yang dikongsikan terlebih dahulu. Ini perkara biasa. Jangan panik kerana anda masih lagi normal. Anda sebenarnya cuma inginkan kepastian yang jenama itu terkenal ataupun tidak, boleh dipercayai ataupun tidak dan juga sesuai untuk dibeli ataupun tidak. Persepsi pasaran sebegini agak mengecewakan sebenarnya namun kita tidak boleh lari dari persepsi orang terhadap kita mahupun jenama kita. Dengan persepsi inilah mereka akan menghakimi sesuatu dan akhirnya membuat keputusan berdasarkan apa yang difikirkan betul.

Jadi, sekiranya laman Facebook anda mempunyai jumlah Like yang banyak, maka persepsi mereka ialah jenama anda memang bagus, terkenal, boleh dipercayai, hebat dan boleh dipertimbangkan untuk sebarang pembelian nanti. Dan sekiranya laman Facebook anda mempunyai jumlah Like yang sedikit, maka persepsi sebaliknya akan berlaku. Ramai di antara kita mempunyai bajet yang tidak begitu besar untuk pemasaran digital kerana pelbagai sebab namun masing-masing perlu mendapatkan jumlah Like yang banyak pada kadar segera. Tidak mengapa. Di sini saya kongsikan bagaimana cara paling kreatif yang anda boleh praktikkan ke arah mendapatkan Like yang banyak dengan pantas.

Penuhkan dahulu post anda dengan memuatnaik status-status yang terkini. Pastikan segala butiran seperti gambar profil, gambar header dan pengenalan profil anda lengkap terlebih dahulu. Setelah ini selesai, anda perlu memuatnaik status-status terbaru di Newsfeed untuk tidak membiarkan laman Facebook anda kelihatan kosong.

Jemput kenalan rapat anda. Langkah kedua yang anda perlu lakukan ialah dengan menjemput sahabat, rakan karib, saudara-mara, rakan masa sekolah, rakan pejabat dan sesiapa sahaja yang mengenali anda dengan rapat untuk Like laman Facebook jenama anda ini. Jemputan boleh dibuat sama ada melalui laman Facebook itu sendiri, menghantar mesej pesanan ringkas ataupun dengan cara-cara lain. Ini perkara paling asas.

Kenalan anda menjemput kenalan mereka. Kemudian, hantar satu mesej kepada kenalan anda semua ataupun yang rapat dengan anda, minta pertolongan mereka untuk ke laman Facebook jenama anda itu dan menjemput kenalan-kenalan mereka untuk Like. Jemputan ini perlu dilakukan apabila mereka berada di dalam laman Facebook anda. Mungkin ramai yang tidak begitu perasan akan fungsi ini tetapi ia amat penting. Terdapat satu fungsi di laman tersebut yang kenalan anda boleh gunakan untuk menjemput rakan-rakan mereka. Kaedah ini sahaja anda mampu memperolehi sekurang-kurang 100 Like ataupun lebih dengan mudah.

Kenalan mereka kini kenalan anda. Kini anda mempunyai Like yang terdiri daripada kenalan anda sendiri dan juga kenalan-kenalan mereka. Dengan berbekalkan kenalan-kenalan yang baru ini, lagi sekali gunakan kaedah yang sama seperti di atas. Minta pertolongan mereka untuk menjemput kenalan-kenalan mereka untuk menekan butang Like laman Facebook anda. Ulang kaedah ini berkali-kali dan pasti anda akan menerima beberapa ratus Like lagi.

Pengaruh Mikro. Langkah kelima ini amat penting. Disamping anda menggunakan cara diatas tadi, anda juga perlu melebarkan strategi anda kepada individu-individu yang anda tidak kenali. Ini boleh dilakukan dengan mencari beberapa orang yang mempunyai kenalan yang ramai. Biasanya mereka yang mempunyai kenalan atau pengikut yang ramai ini ialah mereka yang popular di media sosial. Golongan ini dikenali sebagai pengaruh mikro. Walaupun bukan berstatus selebriti, tetapi mereka amat berpengaruh di kalangan kenalan-kenalan mereka. Anda boleh membayar khidmat pengaruh mikro ini untuk ‘canang’kan laman Facebook anda di media sosial mereka.  

Iklan di media sosial. Hanya dengan RM10-20 sehari, anda boleh menarik perhatian sasaran pasaran anda melalui iklan di Facebook. Anda cuma gunakan butang Boost untuk memastikan status yang anda muatnaik setiap hari itu dilihat oleh sasaran kita. Pastikan juga bajet anda cuma RM10 sehari. Di parameter yang tersedia, tujukan iklan anda ini kepada orang-orang yang telah Like laman Facebook anda dan juga rakan-rakan mereka. Dengan pilihan ini, proses melebarkan sayap pengenalan jenama anda pasti akan berkesan.

Kini anda tahu bagaimana untuk mendapatkan bukan sahaja jumlah Like yang banyak di Facebook, tetapi dengan bajet yang sedikit. Masa untuk mencuba keberkesanannya!