Pemasaran Digital Di Malaysia: Arah Tuju Tahun Ini

Oleh Azleen Abdul Rahim

SEKIRANYA anda masih belum ‘nampak’ setiap perkembangan yang telah dan akan berlaku, di sini saya senaraikan beberapa berita menarik yang pasti akan membuka mata anda.

Terma pemasaran digital itu sendiri akan pupus dalam masa 5 tahun lagi. Memandangkan ia terlalu umum, orang ramai tidak begitu faham apakah yang dimaksudkan dengan pemasaran digital. Apa yang mereka fikirkan apabila terdengar akan terma ini ialah pemasaran melalui media sosial, pemasaran melalui Facebook, mereka akan teringatkan Google ataupun pemasaran melalui email. Pada tahun 2017 dan seterusnya, terma-terma yang lebih spesifik akan lebih terserlah penggunaannya. Ia lebih mudah diingati dan difahami.

Pemasaran mulut ke mulut. Pemasaran cara ini yang sememangnya berkesan sejak turun-temurun kini akan lebih popular. Kekuatannya amat terserlah terutamanya apabila ia dikuatkan dengan penggunaan media sosial oleh orang ramai. Kini, kebanyakan orang sudah tidak begitu percayakan iklan-iklan yang mereka lihat tetapi lebih percayakan apa yang dikatakan dan disyorkan oleh rakan-rakan mereka. Anda akan saksikan lebih ramai rakan-rakan anda yang akan membuat review tentang hotel yang mereka lepak, restoran yang mereka pergi, jenama pakaian yang dipakai, kereta yang mereka beli dan sebagainya. Disamping itu, di antara mereka akan menjadi pengguna tegar dan seterusnya menjadi duta tidak rasmi jenama tersebut. Hebat bukan.

Publisiti dalam talian. Strategi kandungan menjadi teramat-amat penting dalam mendapatkan publisiti di kalangan komuniti yang ada. Mereka perlukan perhatian. Sama ada di sektor korporat mahupun individu, masing-masing akan lebih kerap memuatnaik status-status terkini mereka sama ada dalam bentuk video, infografik dan juga gambar-gambar mereka untuk dinikmati orang ramai. Jenama-jenama ini mahu mereka dilihat sebagai satu jenama yang menarik, yang memberikan faedah-faedah tertentu kepada sesiapa yang mengikuti mereka di media-media sosial ataupun di laman blog.

Bermain dengan strategi thought-leadership atau pemimpin dalam sesuatu topik. Jenama-jenama ini tahu untuk mendapatkan pengguna berbayar untuk produk mereka, orang ramai perlu melihat mereka sebagai pemimpin dalam bidang atau industri tertentu. Sama ada bidang mereka di dalam pemasaran digital, peruncitan, elektronik, kecantikan dan sebagainya, orang ramai perlu melihat mereka sebagai pemimpin yang tahu selok-belok tentang industri mereka sendiri. Apabila jenama mereka tonjol sebagai pendahulu, dengan sendirinya orang ramai akan lebih percaya kepada kualiti jenama tersebut.

Pasukan jualan bakal bergantung sepenuhnya kepada pasukan pemasaran. Dahulu, banyak syarikat yang menggunakan pasukan jualan yang besar dan berpengalaman untuk keluar mendapatkan jualan. Kini, strategi ini agak kurang efektif kerana para pengguna kini akan terlebih dahulu membuat sedikit penyelidikan tentang sesuatu jenama yang mereka bakal cuba di internet. Pasukan pemasaran kini telah mengambil alih peranan pasukan jualan dan terus akan relevan untuk masa akan datang.

Penggunaan newsletter atau berita berkala melalui e-mel, dan media sosial yang bakal meningkat. Di Malaysia, kadar pemilikan peranti pintar dan mudah alih bagi setiap rakyat di negara ini adalah dengan nisbah 2:1. Ini bermakna setiap orang mempunyai dua peranti di bawa ke mana sahaja mereka pergi. Dan setiap dari peranti itu mempunyai akses internet. Di sini segala bentuk maklumat boleh diperolehi dengan mudah, termasuklah pelbagai perspektif tentang mana-mana jenama produk sama ada ia positif, negatif atau kedua-duanya. Melalui internet juga, keputusan akan dapat dibuat dengan lebih cepat dan tepat. Jadi, di sini kita dapat lihat pemasaran digital melalui media sosial, berita berkala dan Google bakal meningkat dengan lebih dahsyat lagi.

Media sosial akan menjadi lebih mahal dari hari ini. Dahulu, semuanya percuma. Apa yang dimuatnaik oleh sesiapa sahaja tidak kira rakan atau jenama yang kita ikuti pasti akan dapat dilihat di Newsfeed. Kini tidak lagi. Sekiranya jenama anda inginkan perhatian walaupun dari kalangan pengikut anda sendiri pun, anda perlu membayar. Dan harga yang ditawarkan oleh rangkaian media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, LinkedIn dan lain-lain tidak semurah dahulu. Mulai tahun ini dan seterusnya, kadar harga mereka pasti akan terus meningkat dari masa ke semasa selari dengan perubahan algoritma yang ada.

Arah tuju pemasaran digital di Malaysia akan terus berubah dan ini secara tidak langsung akan membentuk perlakuan para pengguna dalam membuat pembelian. Lihat sendiri bagaimana cara anda terpengaruh untuk membeli sesuatu produk itu.