Pemasaran Mulut Ke Mulut, Betulkan Strategi Anda

Oleh Azleen Abdul Rahim

SEMUA orang tahu pemasaran mulut ke mulut adalah satu kaedah yang amat efektif untuk menjual sesuatu produk. Ia perlahan pada mulanya tetapi apabila ia mula menunjukkan sedikit pergerakan, kesannya bukan sahaja amat mendalam malah boleh menjadi viral. Ini mampu dicapai tanpa perlu bergantung kepada internet. Dahulu pemasaran mulut ke mulut pada asalnya wujud melalui mulut tetapi sekarang ia boleh terjadi juga melalui jari-jemari yang menaip.

Bagaimana sesuatu produk atau perkhidmatan itu boleh menjadi buah mulut orang?

Sesuatu yang unik dan luar biasa. Sesuatu benda itu akan menjadi buah mulut orang apabila berlakunya keadaan yang luar biasa dan unik. Sesuatu yang belum pernah terjadi kepada mereka. Perkara yang biasa berlaku tidak akan menjadi buah mulut orang. Ia bermula dengan penggunaan nama syarikat, produk atau perkhidmatan yang unik, tahap kualiti produk yang hebat yang dihasilkan, cara bagaimana produk itu dihasilkan yang belum pernah dilihat sebelum ini sehinggalah kepada tahap kualiti perkhidmatan yang tinggi yang disediakan, kesemua ini bakal menjadi viral para pengguna sekiranya mereka belum pernah merasakan apa yang mereka terima dari anda. Apabila para pengguna merasakan apa yang mereka lalui itu sesuatu yang unik yang tidak pernah terlintas di fikiran mereka untuk merasakan produk itu sebelum ini, ia pasti akan menjadi bahan cerita mereka kepada rakan-rakan mereka.

Kelebihan yang diberikan. Bayangkan anda ke sebuah bank yang sememangnya terkenal dengan masa menunggu yang paling lama. Semua cawangan termasuk yang anda kunjungi itu memang ramai orang. Setiap kali anda di sini, seperti biasa anda sudah tahu pasti tidak kurang dari 2 jam anda akan berada di kerusi menunggu di situ sebelum nombor anda dipanggil. Cuba anda bayangkan hari ini anda dilayan dengan sedikit kelainan. Tidak sempat anda hendak duduk, tiba-tiba nombor anda terus dipanggil. Dalam masa 10 minit, urusan anda selesai. Dengan muka yang terkial-kial, anda terus memuatnaik status di laman media sosial kegemaran anda, menceritakan pengalaman pelik tetapi benar anda tadi. Mana-mana perkhidmatan yang amat baik dan cepat yang membuatkan para pengguna berasa istimewa, pasti akan viral.

Jenama anda dirujuk apabila pengguna inginkan sesuatu produk. Saya ada satu soalan mudah untuk anda. Sekiranya anda ingin ke Pulau Langkawi bulan hadapan untuk percutian keluarga selama seminggu, jenama penerbangan manakah yang anda akan terfikir terlebih dahulu? Tanpa perlu berfikir panjang, saya pasti anda akan menjawab AirAsia kan? Sepanjang beberapa bulan ini, saya membuat sedikit kajiselidik tentang ini dan bertanyakan kepada ramai orang . 99 peratus akan menjawab AirAsia. Hanya segelintir sahaja yang menjawab jenama lain. Kesungguhan yang dilakukan oleh syarikat penerbangan tambang murah ini patut dipuji kerana strategi pemasaran mereka yang amat berjaya. Kini sesiapa sahaja akan bercakap tentang jenama ini dan bagaimana mereka kini mampu terbang.

Harga yang ditawarkan amat berpatutan. Baca betul-betul. Berpatutan tidak bermaksud paling murah. Berpatutan bermaksud pengguna akan memperolehi sesuatu yang setanding, berbaloi atau lebih dari apa yang dibayar. Contoh yang baik yang mudah dilihat ialah kedai makan. Mana-mana kedai makan di kawasan perumahan atau pejabat anda yang masakannya memang tiada tandingan sedapnya, dan harganya pula berpatutan, anda pasti tahu bila tiba waktu makan sudah semestinya akan ramai pengunjung. Kenapa? Ia sudahpun menjadi buah mulut orang.

Naluri manusia yang ingin menolong dan ingin mencuba. Faktor terakhir ialah bermain dengan kandungan atau topik yang menyentuh naluri kemanusiaan untuk membantu seseorang yang dalam kesusahan. Atau untuk mencuba sesuatu yang baru seperti kedai makan yang baru, aktiviti lasak yang baru dan sebagainya.

Perkara yang tidak sepatutnya anda tahu. Jika sesuatu perkara itu tidak ‘sepatutnya’ diceritakan oleh seseorang, perkara itulah yang bakal menjadi bahan cerita. Contoh yang paling hampir dengan kita semua ialah pada ketika telefon baru dari jenama Apple atau Samsung yang bakal dilancarkan. Kita akan dengar dan baca pelbagai ulasan dan khabar angin yang terbang sana-sini tentang telefon tersebut terutamanya tentang ciri-ciri terbaharu yang akan dilancarkan.