7 Elemen Ini Bakal Kuatkan Strategi Pemasaran Anda

Oleh Azleen Abdul Rahim

KEHEBATAN sebenar mana-mana jenama yang popular sebenarnya bukan terletak kepada strategi pemasaran mereka. Bukan juga melalui cara bagaimana mereka melakukan pemasaran di media sosial mahupun tradisional, dan bukan juga dari kehebatan mereka merekacipta bahan pemasaran yang kreatif melalui video, poster, infografik dan artikel-artikel yang ditulis.

Sekiranya diamati dengan lebih mendalam, kehebatan jenama-jenama seperti AirAsia, Nike, Honda dan HBO misalnya sebenarnya terletak pada penjenamaan mereka. Di sinilah perjalanan sebuah jenama yang baik bermula. Di sini juga bermulanya proses pembinaan kepercayaan yang bakal ‘dijual’ kepada para pengguna di luar sana dan di sini jugalah titik permulaan penyucian otak atau brainwash para pengguna untuk mengingati jenama anda dilakukan.

Dengan menyebut jenama-jenama tadi, saya tahu visual seperti logo, jenis tulisan dan warna korporat mereka telahpun terpampang dan bermain di fikiran anda. Tetapi pernahkah anda terfikir bagaimana perkara ini boleh terjadi? Saya ingin mengupas 7 elemen penjenamaan kerana ia bakal membantu anda untuk menguatkan strategi yang sedia ada. Kali ini biarkan jenama anda pula yang akan berlegar-legar di fikiran para pengguna apabila nama perniagaan anda disebut.

Nama Perniagaan Yang Mudah. Elemen ini nampak mudah tetapi paling sukar sebenarnya. Untuk memikirkan satu nama perniagaan yang mudah, bukanlah mudah. Hindarkan dari menggunakan nama yang bukan-bukan, terlalu kompleks, susah untuk disebut, terlebih hipster dan mempunyai lebih dari tiga suku kata. Cuba pertimbangkan nama yang mempunyai satu atau dua suku kata sahaja, mudah diingati dan mudah disebut.

Logo Yang Senang Diingati. Biasanya perniagaan yang bersaiz kecil dan sederhana menganggap bahawa logo adalah sesuatu yang tidak penting kerana ia tidak membawa apa-apa kebaikan kepada perniagaan mereka. Ia tidak tepat kerana logo sebenarnya berfungsi sebagai ‘muka’ kepada jenama kita. Cuba anda perhatikan bagaimana Nike menggunakan hanya logo tanpa sebarang nama sebelahnya. Sejak beberapa tahun lalu, Nike telah menggugurkan penggunaan nama di semua bahan pemasaran mereka terutamanya di papan-papan tanda iklan kedai mereka. Strategi penjenamaan mereka telah lama matang dan logo mereka sudahpun dikenali ramai. Logo yang baik ialah logo yang mudah diingati. Untuk memastikan logo anda berkualiti, tunjukkan logo anda kepada seorang kanak-kanak berumur 7 tahun untuk seketika. Kemudian mintanya untuk melukis kembali. Sekiranya 70 atau 80 peratus tepat, maka logo anda adalah terbaik.

Slogan. Slogan ialah satu ayat yang pendek, yang menceritakan tentang latar belakang perniagaan anda dan apakah nilai yang ditawarkan kepada pengguna. Slogan ini perlu berada bersama-sama dengan nama perniagaan anda tadi dan juga logo.

Pesanan. Pesanan atau mesej yang ditulis perlu berkisar tentang nilai yang ditawarkan kepada pengguna. Ia perlu berada di dalam slogan tadi. Ceritakan apa yang bakal anda tawarkan yang para pengguna perlu, mereka sukakannya yang tidak terdapat pada mana-mana jenama lain.

Penggunaan Jenis Tulisan. Jenis tulisan, tebal atau pendek, tegak ataupun senget dan saiz juga memainkan peranan yang penting untuk membuatkan para pengguna mudah mengingati jenama anda. Penggunaannya perlu tetap.

Warna Korporat Yang Standard. Ia perlu selari dengan strategi korporat anda secara keseluruhan agar setiap video yang dibuat, setiap poster yang dilukis dan setiap infografik yang direkabentuk perlu memaparkan penggunaan warna korporat yang sama. Perhatikan bagaimana AirAsia menggunakan warna-warna yang sama di setiap kandungan mereka. Warna merah yang berlatarbelakangkan putih yang dominan dan disertai juga dengan warna hitam pada harga yang dipaparkan. Perhatikan betul-betul dan taktik ini mereka gunakan di semua poster mereka.

Elemen Grafik Yang Konsisten. Anda mungkin perasan sekiranya anda melihat sesuatu iklan sama ada di televisyen ataupun di internet, anda sudah tahu iklan tersebut kepunyaan jenama mana. Ini kerana dengan penggunaan elemen-elemen seperti warna yang konsisten, bentuk grafik yang digunakan, gambar yang digunakan dan bagaimana perkataan dan grafik ini diatur kesemuanya akan dibuat untuk merujuk kepada jenama ini sahaja. Ia akan digunakan di semua bahan-bahan pemasaran sebagai sesuatu yang standard. Pengalaman yang sama ketika para pengguna ini berada di laman web anda, begitu juga mereka perlu mengalaminya ketika mereka berada di laman-laman media sosial anda.