Malaysia Sebagai Pusat Perdagangan Serantau ASEAN, Lupakan Sahaja

Oleh Azleen Abdul Rahim

Beberapa minggu lalu, sebuah syarikat telekomunikasi yang ‘terkenal’ di Malaysia secara diam-diam telah mengambil kertas cadangan yang dihantar oleh pelanggan saya dan memberikannya kepada syarikat lain. Syarikat pesaing ini kemudiannya memberikan pakej yang jauh lebih murah berbanding apa yang ditawarkan oleh pelanggan saya. Selepas itu, dengan proses yang agak pantas mereka telah diberikan pesanan belian rasmi oleh syarikat telekomunikasi terkutuk ini. Dengan bangganya selang beberapa hari, pesaing itu tadi kemudiannya mengeluarkan pesanan belian rasmi kepada pengeluar produk itu yang berpusat di Amerika Syarikat.

Pada hari yang sama, syarikat pengeluar tersebut telah menolak pesanan belian yang diberikan. Ini kerana syarikat ini tadi bukan pengedar yang berdaftar khusus untuk transaksi ini. Untuk urusniaga lain boleh tetapi bukan untuk transaksi ini. Pengedar yang berdaftar dan sah untuk berurusniaga untuk transaksi ini sebenarnya ialah pelanggan saya. Mengikut prosedur, mana-mana pengedar yang mempunyai potensi pembeli perlulah mendaftarkan nama pelanggan tersebut terlebih dahulu. Apabila nama telah didaftarkan, syarikat pengeluar tersebut akan memberikan kelulusan untuk meneruskan urusniaga itu ataupun tidak boleh sekiranya nama pelanggan itu telah didaftarkan oleh pengedar lain terlebih dahulu.

Setelah pesanan belian ditolak, pesaing tadi terus panik. Pelbagai usaha untuk mengubah keputusan ini dibuat tetapi gagal. Keesokkan harinya pengeluar produk itu membuat satu panggilan telefon kepada syarikat telekomunikasi yang ‘terkenal’ ini tadi dan memberitahu bahawa cara pembelian yang dilakukan adalah tidak sah dan tidak mengikut prosedur rasmi serta tidak adil. Mereka juga memberitahu yang pengedar yang sah yang sepatutnya menerima pesanan belian ini ialah pelanggan saya yang turut mempunyai surat rasmi dari mereka khusus untuk urusniaga ini. Pesaing tadi bukan sahaja tidak mempunyai surat rasmi, malah tidak pernah mendapatkan apa-apa sebutharga pun dari syarikat pengeluar. Tiba-tiba sahaja terus ingin membuat pembelian.

Situasi ini amat memalukan dan sehingga hari ini, drama ini masih berlanjutan.

Syarikat telekomunikasi yang dikatakan ‘terkenal’ ini dimiliki oleh sebuah syarikat gergasi tempatan diantara yang terbesar di Asia, yang menguasai pasaran serantau sehingga ke negara-negara seperti Sri Lanka, Kemboja dan Nepal. Diterajui oleh eksekutif-eksekutif yang dikatakan bijak pandai yang berijazahkan universiti-universiti dari luar negara, sememangnya syarikat ini nampak gah, moden, berfikiran jauh dan canggih. Malah mereka juga menguasai papan-papan tanda besar di sekitar Lembah Klang.

Namun apa yang menyedihkan ialah, mentaliti yang ditunjukkan oleh eksekutif-eksekutif ‘berbakat’ besar ini masih lagi di tahap lantai. Masih lagi di tahap dunia ketiga walaupun negara telah lama maju. Saya melihat mentaliti sebegini bukan sahaja wujud di syarikat telekomunikasi ini sahaja, tetapi juga di kebanyakan kementerian dan agensi kerajaan, syarikat-syarikat korporat tidak kira swasta sepenuhnya ataupun yang berkaitan dengan kerajaan, syarikat-syarikat kecil dan sederhana, dan sebagainya. Semuanya sama sahaja.

Pelbagai bentuk drama akan terjadi bila adanya peluang untuk sesuatu urusniaga itu yang boleh diputarbelitkan. Dan apabila drama seperti ini terjadi, urusniaga tersebut tidak lagi ‘bersih’. Dan apabila tidak lagi ‘bersih’, proses untuk membuat keputusan sudah tidak lagi beretika dan telus. Korupsi berpunca dari mentaliti yang berpaksikan wang, dan ini secara langsung akan membantu menjatuhkan imej negara ketika mana Malaysia pada masa ini sedang berjuang dan bersaing rapat dengan negara-negara ASEAN yang lain untuk menjadi pusat perdagangan serantau yang terulung untuk para pelabur asing.

Proses urusniaga kita nampak telus tetapi sebenarnya tidak. Ya betul, proses ketelusan itu mungkin nampak tertulis dimana-mana tetapi hakikatnya individu yang melaksanakan proses itu sendiri tidak terus. Sekiranya anda pernah mengambil bahagian dalam mana-mana projek, anda tidak akan tahu apa yang berlaku setelah dokumen pembidaan dihantar. Pernahkah anda diberitahu apa status terkini ketika proses penilaian dibuat sekiranya anda tidak disenarai pendek ataupun menang? Jauh sekali, atau mungkin setahun dua selepas itu. Itu pun setelah diberitahu oleh rakan-rakan dari industri yang sama ketika sesi minum petang di warung. Kadang-kadang kelakar pun ada bila anda mendapat tahu yang projek itu telah diberikan kepada syarikat yang anda pun tidak pernah dengar namanya walaupun anda telah berada di industri yang sama selama lebih 20 tahun.

Sekiranya mentaliti sebegini masih ada, dalam masa 5 tahun lagi komuniti perdagangan dunia hanya akan melihat Malaysia sebagai salah sebuah negara yang wujud di ASEAN dan tidak lagi istimewa. Di tahun 2022 nanti, Indonesia, Vietnam dan Filipina akan mendahului kita seperti mana Singapura yang kini jauh ke hadapan.   

Jadi apakah penyelesaiannya? DI negara ini kita tidak berminat dengan penyelesaian hakiki sebenarnya. Kita berminat hanyalah dengan penyelesaian yang bersifat work-around dan sementara. Itu sahaja. Untuk rakyat biasa seperti saya, kita cuma boleh bersiap sedia untuk menghadapi cabaran yang lebih getir – kehilangan pekerjaan ataupun penutupan perniagaan yang ada.