Lupakan ‘Peraturan’ Pemasaran, Hanya 6 Taktik Ini Sahaja Yang Anda Perlu

Oleh Azleen Abdul Rahim

PEMASARAN tidaklah begitu rumit seperti yang disangkakan. Sekiranya kita rajin untuk mengambil tahu subjek ini secara berterusan, sama ada melalui pembacaan, pemerhatian atau kedua-duanya ia bukan sahaja sesuatu yang agak mudah untuk dipraktikkan tetapi juga menarik. Ia menarik kerana kita dapat ‘bermain-main’ dengan tingkahlaku orang ramai melalui kempen-kempen yang dilakukan.

Kita tidak tahu siapakah yang menciptakan semua peraturan-peraturan yang tertulis sama ada di internet, majalah dan buku-buku namun yang pasti semuanya tidak konsisten. Apa yang tertulis di buku-buku teks yang terdapat di universiti-universiti jauh berbeza dengan apa yang dihidangkan di internet. Apa yang tertulis di majalah-majalah juga turut berbeza. Jadi, yang mana satu yang perlu kita ikut?

Lupakan semua yang anda baca sebelum ini kerana kebanyakan daripada apa yang dibaca itu agak mengelirukan, tidak praktikal, tidak masuk akal dan tidak sesuai dengan budaya timur kita di Asia. Di sini saya ingin berkongsi tentang beberapa garis panduan yang boleh anda gunakan untuk memasarkan produk dan perkhidmatan anda kepada para pengguna di luar sana.

Pemasaran bukan senjata utama untuk mendapatkan jualan. Sebaliknya pemasaran membantu strategi jualan anda melalui taktik sebaran maklumat atau berita. Apa yang pemasaran lakukan ialah membantu mewar-warkan kepada para pengguna tentang produk atau perkhidmatan anda melalui media-media yang ada agar mereka tahu yang produk anda ini wujud. Wujud dan sentiasa ada. Pemasaran sebenarnya memastikan yang poster, video, artikel, iklan dan status media sosial anda yang ditulis atau apa sahaja bahan kreatif yang dihasilkan itu akan berada di hadapan mata mereka setiap masa, sekerap yang boleh dan selama mungkin.

Pemasaran ialah senjata untuk anda masuk ke dalam ingatan para pengguna. Jika mereka teringat tentang jenama anda apabila mereka ingin membeli sesuatu, maka taktik pemasaran anda telah berjaya. Ini dapat dilakukan dengan menyediakan pelbagai bentuk bahan-bahan yang kreatif, menusuk kalbu dan juga mengusik emosi mereka yang membuatkan mereka membeli.

Untuk menyusup masuk ke dalam ingatan para pengguna, ia akan mengambil masa. Ada yang mengambil masa tidak sampai tiga bulan, dan ada yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk mencapai hasrat ini. AirAsia mengambil masa berbelas-belas tahun untuk mencapai apa yang mereka kecapi sekarang ini. Jenama AirAsia akan sentiasa berada di dalam minda anda sekiranya anda ingin terbang untuk melancong ke destinasi yang anda idamkan. Adakah anda teringatkan jenama lain? Mungkin tidak. Tidak ramai yang teringatkan jenama lain. Lebih 99 peratus orang ramai yang saya telah temubual berkata mereka akan lebih teringatkan AirAsia berbanding yang lain.

Produk dan perkhidmatan anda perlu berkualiti tinggi. Produk dan perkhidmatan yang tidak berkualiti akan membuatkan para pengguna ‘lari’ dari menggunakan jenama anda. Bukan itu sahaja, mereka akan tularkan kepada rakan-rakan mereka yang lain agar menjauhi jenama anda. Ini tidak akan membantu strategi pemasaran anda sama sekali. Perlu diingati yang mempunyai produk yang berkualiti tinggi yang menjadi kegilaan orang ramai juga merupakan salah satu elemen strategi pemasaran yang efektif, yang bakal membantu membuatkan jenama anda lebih terkenal.

Interaksi dengan komuniti dan pelanggan yang mesti dilakukan. Sesuatu talian silaturrahim dan persahabatan itu lahir, kukuh dan kekal lama ialah dengan adanya interaksi di antara satu sama lain. Ini memang telah kita ketahui sejak dahulu lagi, yang diajar oleh ibubapa kita dahulu. Tidak kira sama ada jenama anda lebih cenderung untuk memasarkan produk anda melalui media sosial ataupun tradisional, keperluan berinteraksi dengan para pengguna dan komuniti teramat-amat penting bagi memastikan mereka kenal, ingat dan terus menggunakan produk kita dimana sahaja mereka berada.

Jangan menjual, sebaliknya buatkan mereka membeli. Pemasaran menggunakan taktik yang lebih kepada membuatkan orang tertarik dengan sesuatu produk dan tidak offensive. Pengguna sama sekali tidak gemar dengan jenama-jenama yang terlalu menjual, malah mereka akan menjauhkan diri dari puak-puak ini. Sebaliknya mereka akan membeli sekiranya mereka tertarik dengan sendirinya tentang sesuatu produk itu yang bakal membuatkan personaliti mereka lebih gah, atau mereka akan kelihatan lebih cantik atau membuatkan kehidupan mereka dan keluarga mereka lebih baik.