Sembilan Ciri-Ciri Logo Yang Hebat

Oleh Azleen Abdul Rahim

Logo yang baik akan membantu sesuatu jenama itu senang diingati. Tetapi, logo yang hebat bukan sahaja akan membantu sesuatu jenama itu diingati, ia akan membuatkan orang senang membuat pembelian dan terus membeli.

Seperti berjumpa dengan kawan lama, kadang-kadang kita jarang akan dapat mengingati nama, tetapi mudah untuk mengingati muka kawan kita itu. Begitu juga dengan jenama, kebanyakan orang akan lebih mengingati simbol berbanding nama sesuatu jenama. Jadi, anda perlu pastikan yang bakal pelanggan anda akan mengingati jenama anda melalui logo. Ciri-ciri logo yang hebat ia mestilah:

Senang dilukis. Logo yang hebat ialah logo yang mampu dilukis oleh sesiapa sahaja yang hampir sama dengan logo asli.

Unik. Logo yang anda bina tidak boleh sama dengan yang lain agar bakal pelanggan kita tidak keliru. Anda mungkin tidak biasa dengan keunikannya untuk permulaan, namun lama kelamaan anda akan sedar yang ia meletakkan jenama anda jauh berbeza dari yang lain. Ia akan menjadi ikon apabila lama kelamaan melihatnya. Untuk mendapatkan logo yang akan menjadi ikon, ia memerlukan kreativiti. Bagaimana hendak pastikan logo anda unik? Mudah sahaja. Apabila anda lihat logo anda itu, dan anda teringat logo yang lain atau rasa macam pernah lihat sahaja logo ini, anda perlu bina yang baharu.

Ringkas. Jangan merumitkan suasana, bina logo anda seringkas mungkin. Kurangkan elemen-elemen yang ada di dalamnya. Lagi ringkas logo anda itu, lagi mudah orang akan mengingatinya. Lebih mudah orang mengingatinya, lebih mudah orang akan mengingati jenama anda. Bagaimana hendak pastikan logo anda ringkas? Mudah sekali, letakkan apa yang perlu sahaja. Elemen yang tidak penting, elakkan.

Mempunyai warna yang betul. Pilihan warna yang mampu menguatkan lagi logo anda untuk diingati. Anda perlu berhati-hati dengan kod warna atau kombinasi kod-kod warna yang digunakan agar tiada kaitan dengan jenama yang lain.

Relevan. Keunikan logo anda daripada aspek reka bentuk dan pilihan warna yang sesuai dengan jenama anda, produk atau perkhidmatan yang anda sediakan dan industri anda. Ia perlu berkisar tentang sasaran pasaran anda. Ia perlu bermain dengan emosi yang akan membuatkan mereka memberikan reaksi selepas itu. Contoh yang baik ialah Coca-Cola. Tidakkah anda berasa haus apabila melihat logo Coca-Cola?

Berfungsi dengan apa jua keadaan. Logo yang dibina perlu mampu berfungsi dengan semua media termasuklah media elektronik dan digital. Tidak semestinya logo anda yang berada di surat khabar akan menjadi elok di te­levisyen dan juga di Internet.

Fleksibel. Fleksibiliti yang dimaksudkan di sini ialah ia perlu disediakan dalam beberapa saiz. Di rangkaian media sosial, masing-masing mempunyai saiz kotak yang berbeza untuk logo, jadi keperluan mempunyai beberapa saiz amat penting. Perlu juga dipastikan yang pixel tidak hancur apabila dibesarkan.

Mampu bertahan lama. Logo yang dibina hendaklah sentiasa evergreen, yang tidak dimamah usia. Pasaran akan mengambil masa yang lama untuk mengingati logo anda jadi, ia tidak boleh ditukar dengan sesuka hati. Perubahan kecil masih dibolehkan asalkan struktur asalnya tidak diubah.

Kuat. Logo anda perlu kuat daripada aspek menarik perhatian orang ramai, dan juga mampu meyakinkan mereka untuk meletakkan kepercayaan mereka terhadap jenama anda. Kualiti, kepakaran dan kredibiliti anda perlu ditonjolkan dengan sebaik mungkin.

Ikea, Apple, Amazon, Uber, Volkswagen dan Uniqlo merupakan di antara jenama-jenama global yang mempunyai kriteria-kriteria ini. Di dalam penyediaan logo yang sebegini, tidak ada teknik yang salah atau betul, namun kriteria-kriteria ini mampu memberikan anda sedikit idea bagaimana mereka bentuk logo anda tersendiri yang akan membantu pemasaran anda.