Ini Puncanya Kenapa Pendedahan Jenama Anda Masih Lemah

Oleh Azleen Abdul Rahim

PELABURAN yang tersedia untuk pemasaran digital yang mencecah ribuan ringgit sebulan tidak semestinya akan menjanjikan hasil yang terbaik, terutamanya dalam masa yang singkat. Ini ingatan yang sering saya ulang kepada anda terutamanya kepada jenama-jenama yang masih baharu. Mungkin juga jenama anda ini sudah lama di pasaran tetapi yang betul-betul tahu dan arif tentangnya mungkin tidak ramai. Rata-rata pengguna masih lagi belum pernah mendengar tentang jenama anda ini.

Kenapa pendedahan jenama begitu penting kepada pendapatan syarikat? Ramai yang memandang remeh tentang faktor pendedahan kerana ia kelihatan tidak begitu penting. Mungkin kerana sifatnya yang tidak memberikan sebarang pulangan pelaburan yang bersifat fizikal seperti pendapatan langsung kepada syarikat misalnya. Pulangan yang diberikan melalui pendedahan hanyalah seperti jumlah Like dan Engagement di media sosial, aliran trafik, tempoh pengunjung berada di laman web anda dan sebagainya. Namun ramai yang lupa, dari mana sebenarnya datangnya sesuatu jualan itu. Tanpa pendedahan, anda tidak akan ada orang yang tahu tentang jenama produk anda. Dan tanpa dikenali, tiada siapa pun yang akan membeli. Formula yang amat mudah.

Kini anda sedar betapa pentingnya pemasaran, terutama sekali aspek pendedahan jenama di mata orang ramai. Namun setelah beberapa bulan atau setahun berusaha dengan gigih, hasil yang wujud amat jauh menyimpang dari sasaran. Di sini saya ingin berkongsi tentang beberapa punca utama kenapa tahap pendedahan yang ada di internet tentang jenama anda masih lagi lemah dan tidak bermaya.

Sasaran yang dipetik dari udara.  Saya hampir pasti sasaran yang anda gunakan itu sebenarnya dipetik dari udara, dan tidak realistik. Jadi bagaimana untuk mengetahui sasaran anda itu realistik ataupun tidak. Untuk mengetahuinya, jalankan dahulu strategi pendedahan anda selama empat hingga ke enam bulan terlebih dahulu. Dalam masa ini, pastikan anda menguji beberapa kaedah pendedahan yang sesuai sebelum momentum yang sesuai dijumpai.

Penyediaan kandungan Yang membosankan. Kaedah yang pertama yang anda patut uji ialah dengan penyediaan beberapa bentuk kandungan atau content sebelum diwar-warkan kepada umum. Jenis kandungan yang boleh anda lakukan ialah dengan menulis artikel-artikel yang mudah difahami, melukis infografik yang menarik, membuat video yang tidak meniru orang lain yang sesuai dengan jenama anda dan juga melukis poster-poster unik yang menyediakan mesej tertentu tentang jenama anda. Dengan kepelbagaian kandungan yang anda ada ini, proses pendedahan yang dilakukan pasti akan kelihatan lebih hidup, menarik di mata pengguna dan juga mampu memberikan gambaran pertama yang berimpak tinggi terhadap jenama anda.

Tiada pautan ke laman web anda. Setiap apa yang dimuatnaik sebagai status terkini di laman-laman media sosial anda, ia seharusnya diiringi dan diakhiri oleh pautan ke laman web anda. Anda perlu berkongsi dengan para pengguna tentang alamat pautan laman web anda kerana ini akan membuatkan mereka ingat. Apabila terlalu kerap muncul di hadapan mata mereka kerana sering dimuatnaik, sudah pasti akan tiba masanya mereka akan klik pada pautan tersebut untuk mengetahui lebih lanjut tentang jenama anda.

Tidak menulis artikel untuk beberapa laman blog lain. Pastikan laman-laman blog yang anda sumbangkan artikel anda itu lebih popular dan mempunyai jumlah komuniti yang jauh lebih banyak dari laman web anda. Ini akan memberikan jenama anda satu pendedahan yang baik kepada komuniti yang baharu, yang tidak pernah kenal atau tahu tentang jenama anda.

Memuatnaik status media sosial yang tidak konsisten. Memang tidak dinafikan lagi media sosial memainkan peranan yang teramat penting dalam memastikan setiap kempen yang dilakukan dilihat oleh seberapa ramai orang yang boleh yang menggunakan kos yang tidak terlalu tinggi. Anda perlu menggunakannya dengan bijak terutamanya penggunaan iklan di media-media sosial ini kerana tanpa memuatnaik status yang berbayar, pendedahan anda tidak akan kemana.

Tidak mengoptimumkan pencarian enjin atau SEO untuk laman web. Laman web anda tidak dijumpai di internet, terutamanya di enjin pencarian seperti Google, Yahoo ataupun Bing tanpa penggunaan SEO. Dengan mengoptimumkan pencarian enjin untuk laman web anda, para pengguna akan jauh lebih mudah untuk mencari anda.