Penjenamaan, Kesannya Perlu Di Hati. Bukan Di Fikiran

Oleh Azleen Abdul Rahim

Saya dipanggil untuk berbincang oleh satu agensi kerajaan beberapa hari lepas tentang hasrat mereka untuk membuat penjenamaan semula. Setelah ditanya mengapa mereka mengambil keputusan besar sebegini, dan saya menerima jawapan mereka dengan nada yang lebih serius. Mereka menyatakan ia kerana hasil pendapatan mereka sudahpun mencapai tahap tepu dan ia kelihatan tidak lagi stabil. Pada masa yang sama, jenama yang sedia ada juga sudah tidak bermaya dan lapuk, tidak lagi mampu bertahan di zaman yang serba-serbinya internet dan mereka berpendapat adalah perlu untuk melindungi jenama ini agar terus relevan.

Pelbagai soalan saya tujukan kepada mereka, dan setelah sejam berbalas-balas ‘tembakan’ soalan dan jawapan, saya pun menggunakan papan putih yang ada di bilik mesyuarat tersebut untuk melukis. Lukisan infografik tersebut digunakan untuk berkongsi dengan mereka tentang keadaan jenama mereka sekarang secara menyeluruh. Selepas itu, saya menerangkan mengapa ini terjadi dan bagaimana ia harus ditangani dengan efektif. Di penghujung perbincangan tadi, akhirnya mereka bersetuju yang sebenarnya jenama ini tidak perlu dirombak secara besar-besaran. Ia cuma perlu dihidupkan semula dan diberi nafas baharu. Itu sahaja. Dengan cara ini, ia masih lagi akan kelihatan baru dan pelaburan yang perlu dilakukan pun jauh lebih rendah.

Mungkin anda tertanya-tanya, bagaimanakah dengan memberikan nafas baru kepada penjenamaan boleh membantu menaikkan pendapatan syarikat, menjual produk dan perkhidmatan dengan lebih baik?

Tawaran Nilai. Sebelum ini, para pengguna tentu agak kabur atau tertanya-tanya apakah kebaikan, manfaat dan keuntungan yang mereka akan perolehi sekiranya mereka membeli produk anda. Kini mereka lebih memahami kenapa mereka perlu membeli produk atau perkhidmatan anda, dan bukannya produk lain. Jawapan kepada persoalan ini perlu dijawab tanpa perlu ditanya. Ia perlu diletakkan sebagai mesej, yang perlu ditulis dengan jelas dengan menggunakan perkataan-perkataan yang mudah difahami oleh pelbagai peringkat umur. Ia seharusnya dijadikan sebagai slogan yang posisinya ialah berdekatan dengan logo syarikat anda.

Persona. Mungkin sebelum ini jenama anda tidak kelihatan besar, korporat, gah dan peneraju industri anda. Mungkin juga personaliti jenama anda dilihat sebagai sekadar pengikut kepada trend yang ada, atau agak terkebelakang dan tidak menonjol langusng yang menyebabkan para pengguna tidak begitu yakin dengan kemampuan syarikat anda. Kini setelah memberikan nafas baharu, segala-galanya menjadi terbalik. Mereka melihat anda sebagai satu jenama yang moden, gah, mengikut arus perubahan, besar, peneraju kepada industri anda sendiri, kreatif dan amat rugi jika mereka tidak membeli produk anda. Ini semua dikenali sebagai persona, yang amat penting untuk menjadikan pelanggan anda sebagai seorang yang hebat, bergaya, menarik atau cantik sekiranya menggunakan produk anda itu.

Arah Tuju. Arah tuju jenama anda yang lebih jelas akan membantu anda dan pasukan anda untuk lebih memahami dan mendalami sebab apakah wawasan perjalanan korporat jenama anda, kenapakah ia perlu, mengapa ia harus dipertahankan dan bagaimana ia harus dilakukan agar terus pacu ke hadapan. Para pelanggan anda juga harus tahu ke mana arah tuju jenama anda dan adakah anda mempunyai masa depan yang cerah untuk mereka terus ikuti ataupun tidak.

Fokus Kepada Sasaran Pasaran. Ia turut membantu anda untuk memberikan fokus yang lebih spesifik terhadap sasaran pelanggan agar strategi pemasaran anda menjadi lebih baik dan berkualiti. Ia kelihatan mudah namun sebenarnya tidak. Sifat-sifat yang betul perlu wujud pada jenama itu sendiri, perlu dibina agar sesuai dan kelihatan menarik dari mata kelompok pelanggan yang anda sasarkan. Jadi jenama anda itu perlu dibina khusus untuk mereka sebelum pemasaran bermula.

Tanamkan Jenama Anda Dalam Fikiran Mereka . Apabila penjenamaan itu sendiri kini lebih jelas, terang, spesifik, unik dan mudah diingati, proses untuk menanam logo, nama jenama, slogan, apakah jenis perniagaan yang jenama anda lakukan, warna korporat dan sebagainya akan menjadi lebih mudah. Hanya dengan melihat mana-mana elemen ini tadi, mereka akan tahu yang ini kepunyaan jenama anda tanpa perlu diperkenalkan lagi.

Faktor-faktor yang dikongsikan ini sebenarnya dilakukan semata-mata untuk men’cair’kan hati mereka sebaik sahaja mereka melihat produk atau perkhidmatan yang jenama anda tawarkan. Sama seperti pepatah Melayu berkata, Dari Mata Jatuh Ke Hati.