Masalah Utama Pemasaran Bagi Syarikat Baharu Ialah Ini

Oleh Azleen Abdul Rahim

DALAM satu sesi perundingan saya dengan seorang Ketua Jabatan Pemasaran sebuah agensi kerajaan minggu lalu, terkeluar satu soalan dari beliau yang betul-betul menyengat sehinggakan saya masih terasa sehingga hari ini. Ia sangat terkesan kerana saya tidak mempunyai jawapan yang khusus sebenarnya. Soalan itu walaupun nampak mudah, tetapi jawapannya amat banyak sekali dan boleh datang dari pelbagai sudut. Dan dari gaya mukanya yang bersungguh-sungguh, saya tahu dia hanya inginkan satu jawapan yang benar-benar jujur.

Soalannya ialah, “Azleen, apakah masalah utama pemasaran yang biasa dihadapi oleh syarikat-syarikat startup, yang baharu ditubuhkan?”

Sebelum saya menjawab soalan itu, saya bertanyakan kepada beliau kenapa soalan yang sebegini yang ditanya sedangkan dia menerajui sebuah agensi kerajaan dan bukannya syarikat baharu. Dia berkata yang jawapan kepada soalan tadi amat penting kepadanya untuk memuatkan dalam perancangannya untuk menjenamakan semula badan ini dan menjadikannya ia sebagai satu agensi kerajaan yang berdaya maju, dinamik dan tidak kelihatan terlalu ‘kerajaan’. Mereka mahukan imej baharu yang lebih moden. Badan ini telah lama beroperasi, sudah lebih tiga puluh tahun dan amat dahagakan pembaharuan untuk merancakkan semangat para pekerja. Di samping itu juga mereka mahu badan kerajaan ini kekal relevan untuk berpuluh-puluh tahun yang akan datang. Untuk itu, mereka amat memerlukan inisiatif penjenamaan semula ini. Selepas penerangan beliau tadi, baru saya faham.

Kemudian saya memberitahu beliau tentang jawapan kepada soalannya tadi. “Hendak buatkan orang kenal jenama kita, ikut kita dan percayakan kita dalam masa yang paling singkat. Ini masalah pemasaran yang paling utama sekali untuk semua syarikat baharu, tidak kira industri apa sekali pun.”

Kemudiannya saya memberitahu beliau, kebanyakan syarikat baharu yang ada tidak begitu mengendahkan sangat atau memandang rendah tentang perkara ini. Bagi mereka, siapkan laman web yang menarik, buatkan akaun media sosial di semua saluran yang ada, sediakan satu atau dua kenyataan akhbar dan pelanggan akan datang dengan sendirinya. Mereka tidak sedar bahawa apa yang mereka lakukan itu bakal menjadi kesilapan yang paling mahal yang pernah mereka lakukan. Ditambah pula sekiranya kewangan syarikat itu datangnya dari para pelabur luar dan bukannya sumber dalaman. Sekiranya strategi pemasaran mereka tidak menjadi, keadaan pasti kecoh kerana terpaksa menjawab kepada mereka ke mana pembiayaan itu semua disalurkan, dan kenapa tiada hasil yang memuaskan.

Untuk mengatasi permasalahan ini, kita perlu kembali kepada asas pemasaran itu sendiri. Gunakan pendekatan strategi pemasaran yang bermula dari titik akhir perjalanan pemasaran syarikat atau working backwards. Kita perlu tahu siapakah sasaran pasaran kita dengan khusus. Kita perlu spesifik dalam pencarian ini kerana sekiranya terlalu umum, usaha-usaha yang bakal dibuatkan nanti akan ‘menembak’ ke semua tempat. Ini bakal menjadikan kos pemasaran meningkat. Kemudian kita perlu tahu apakah yang bakal membuatkan mereka membeli barangan atau perkhidmatan tertentu, dan bagaimana mereka boleh mengambil keputusan tersebut. Kita juga perlu fikirkan lagi kenapa mereka membeli dengan kita dan bukannya dengan orang lain yang juga mempunyai barangan atau perkhidmatan yang sama kualitinya. Setelah itu, kita juga perlukan taktik dan teknik untuk mendapatkan kepercayaan mereka terhadap jenama kita. Untuk ini, kita perlu perkenalkan dahulu jenama kita kepada mereka, dan apakah saluran yang ada yang boleh kita gunakan. Untuk mengetahui saluran mana, kita perlu tahu dimana sasaran pelanggan kita berada. Dimanakah mereka berikan lebih perhatian, dan kandungan yang bagaimanakah yang mereka suka dan tidak suka. Untuk menyediakan kandungan yang mereka suka, apakah elemen yang perlu wujud semasa membuat kandungan itu. Apakah penulisan artikel, infografik ataupun video pendek merupakan kandungan yang boleh menarik perhatian mereka? Kemudian bagaimana untuk memastikan mereka melihat kandungan tersebut dan teringat tentang jenama kita. Apakah yang boleh membuatkan mereka terfikirkan jenama kita dan membuatkan ia melekat ke dalam fikiran mereka.

Masalah tadi wujud kerana tiada kesabaran yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat baharu. Bagi mereka, kejayaan yang cepat mampu dibeli dengan wang ringgit. Malangnya, mereka tidak sedar kesemua proses yang saya nyatakan tadi mengambil masa untuk dihasilkan dan kesabaran amat perlu untuk berjaya.