Bagaimana Hasilkan Blog Yang Menarik Minat Pembaca?

Oleh Azleen Abdul Rahim

MAHU tidak mahu, untuk memudahkan para pengguna internet mencari jenama anda di dalam talian, anda perlu menulis. Anda tidak dapat lari dari realiti ini. Kenapa? Sebenarnya lebih kerap anda menulis, akan lebih kerap lagi algoritma pencarian enjin seperti Google, Yahoo dan Bing akan datang ke laman web atau blog anda untuk proses mengindeks dan setiap perkataan dan ayat yang telah diindeks tadi akan disimpan. Sekiranya terdapat beberapa individu yang ingin mencari sesuatu benda dan memasukkan perkataan dan ayat yang kebanyakannya ada tertulis di laman web anda, maka dengan sendirinya laman web anda itu akan berada pada kedudukan yang teratas. Ini disebabkan perkataan dan ayat tadi yang telah diindeks, dikeluarkan sebagai salah satu senarai jawapan kepada pencarian tadi. Dengan sendiri juga, laman web anda akan berada pada mukasurat yang pertama atau kedua.

Untuk sentiasa memperbaharui kandungan laman web anda secara kerap dan konsisten, penulisan blog adalah cara yang terbaik. Ia bukan sahaja mampu menyediakan perkataan-perkataan baharu untuk diindeks oleh algoritma pencarian enjin, malah ia juga mampu menarik pembaca untuk mengikuti perkembangan jenama anda dengan lebih dekat lagi.

Jadi bagaimanakah cara terbaik untuk menulis blog yang mampu menarik perhatian dan minat pembaca? Kalau anda perhatikan dengan lebih mendalam di akhbar-akhbar, majalah ataupun di laman blog yang ada di luar sana, hanya beberapa bentuk penulisan sahaja yang boleh membuatkan orang tertarik dengan penulisan blog anda.

Penulisan yang berbentuk garis panduan. Ia seperti memberikan nasihat atau langkah-langkah yang perlu diambil untuk berbuat sesuatu. Contohnya ialah seperti 6 Perkara Penting Yang Selalu Orang Lupa Sebelum Membasuh Kereta Sendiri. Atau 3 Sebab Utama Mengapa Gigi Anda Longgar Sebelum Mencecah Umur 40 Tahun. Penulisan jenis ini paling diminati ramai sekiranya tajuk dan perenggan pertama anda digubah dengan baik. Para pembaca inginkan sesuatu yang boleh mereka belajar, ambil iktibar dan mengikut apa yang telah ditulis itu. Mereka mengharapkan dengan mengikuti garis panduan dan langkah-langkah tadi, ia akan membuatkan hidup mereka lebih baik dan berkualiti, mengurangkan kos, menambahkan pendapatan dan sebagainya.

Penulisan yang melibatkan kajian kes. Kajian kes atau case study amat diminati terutamanya kepada individu atau pemilik syarikat yang tidak begitu pasti apakah langkah atau keputusan seterusnya yang perlu mereka ambil dalam mencapai sesuatu perkara. Misalnya, tentang kaedah pencarian kerja yang paling efektif, cara menjual sesuatu produk dengan lebih cepat, bagaimana untuk membuat video yang menarik dan lain-lain. Dengan kajian kes, mereka dapat belajar daripada pengalaman syarikat lain atau individu lain yang telah melalui perkara yang sama, dan berjaya. Jejak langkah ini yang paling mereka ingin tahu dan ikuti agar mereka tidak perlu lagi mengulangi kesilapan yang sama yang telah dilakukan individu atau syarikat tersebut.

Penulisan tentang pengalaman. Ia sama dengan dengan kajian kes tadi tetapi bezanya ialah ia merupakan pengalaman sendiri penulis. Seperti saya yang berbelas-belas tahun mempunyai pengalaman dalam subjek Pemasaran Digital ini, setiap penulisan yang dikongsi dengan anda merupakan pengalaman saya sendiri. Ini membolehkan anda tidak perlu lagi menghabiskan masa berbelas tahun lamanya untuk mendapatkan pengalaman yang sama. Hanya cukup dari membaca dari pengalaman yang ditulis. Ini akan menjimatkan masa anda untuk mengejar kejayaan pemasaran digital anda.

Penulisan yang berbentuk soal-jawab. Soal-jawab biasanya akan dilakukan dengan individu yang telah berjaya dan dikenali ramai. Soalan-soalan yang dikemuakan biasanya akan lebih tertumpu kepada kejayaan individu tersebut dan ‘formula’ yang digunapakai untuk mencapai kejayaan tadi. Dengan cara penulisan sebegini, emosi para pembaca akan lebih tertumpu kepada jawapan kepada setiap soalan yang ditanya, iaitu formula kejayaan. Mereka ingin sangat untuk mengetahui tentangnya kerana mana tahu ada jalan yang lebih pendek atau shortcut yang boleh digunakan ataupun tidak.

Dalam pada yang sama, perlu juga untuk anda memastikan yang penulisan anda itu tidak terlalu membosankan seperti di dalam buku-buku teks. Ia perlu lebih beremosi, ceria atau sedih, marah atau gembira dan sebagainya. Sesiapa pun memang tidak suka membaca buku teks, percayalah. Dan jangan lupa juga gambar-gambar yang menarik yang perlu ada bersama penulisan anda tadi.