David Sharpe: Pendapatan Lumayan Melalui Internet Dengan 6 Langkah

Oleh Azleen Abdul Rahim

SAYA terbaca satu artikel menarik yang diterbitkan oleh satu majalah pemasaran digital tempatan, Wooowiii.com tentang bagaimana perjalanan seorang jutawan bernama David Sharpe yang memperolehi pendapatan 8 angka hanya melalui internet pada usia tidak sampai 25 tahun. Beliau, yang dilahirkan pada tahun 1991 ini adalah pengerusi dan pemilik bersama syarikat Empower Network yang berpusat di Florida, Amerika Syarikat dan juga pemilik kelab bolasepak Inggeris Wigan Athletic.

Latar belakang perjalanan David dan perniagaannya ini agak menarik dan anda boleh membaca tentang beliau dengan lebih mendalam di internet. Dalam artikel ini saya ingin fokus dan berkongsi dengan anda apakah nasihat David untuk memperolehi pendapatan yang lumayan dan berterusan melalui internet? Beliau menyatakan terdapat 6 langkah yang telah terbukti berkesan, yang dialaminya sendiri. Ini nasihat David.

Pertama, baca dan perhati apakah yang berlaku kepada syarikat-syarikat internet yang ada dan bagaimana mereka mendapatkan pelanggan mereka. Jangan fikirkan terlebih dahulu tentang bagaimana untuk mendapatkan trafik untuk laman web anda, cara mengoptimumkan enjin pencarian, cara pengiklanan melalui media sosial dan taktik-taktik yang teknikal lain. Terdapat langkah yang lebih awal yang perlu anda lakukan, iaitu berhenti sejenak, baca dan perhatikan dengan lebih mendalam tentang bagaimana syarikat-syarikat seperti Google, Facebook, WhatsApp, Uber, Apple dan Airbnb contohnya, menggunakan internet dan bagaimana mereka mendapatkan pelanggan berbayar yang setia. Adakah mereka fokus kepada jualan pada awal perniagaan mereka atau berusaha mewujudkan tawaran nilai atau value proposition yang amat kukuh kepada para pelanggan terlebih dahulu? Sebenarnya fokus mereka ialah memberikan tawaran nilai dengan menjawab segala kehendak dan keperluan yang diperlukan pengguna internet terlebih dahulu.

Kedua, tanya diri sendiri apakah yang anda ingin lakukan. Apabila anda tahu bagaimana ‘permainan’ internet tadi, anda perlu fikir apakah yang anda ingin lakukan sebenarnya? Adakah anda ingin menjadi seorang pakar media sosial, pemilik laman blog terkenal, pakar pemasaran dgital atau apa? Apa pun pilihan anda, ternyata anda perlu menulis, perlu mempunyai laman web dan perlu juga mendapatkan trafik internet untuk datang ke laman web anda. Letakkan keutamaan untuk belajar teknik dan taktik perniagaan dan pemasaran internet dari sumber yang betul. Untuk ini, anda perlukan wang. Tanpa wang, perjalanan anda akan terbantut.

Ketiga, kesanggupan anda untuk berkomunikasi dengan orang lain. Cuba anda lihat sesetengah individu popular di Facebook, YouTube atau mana-mana saluran media sosial yang ada. Kesemua mereka mempunyai jumlah Like, komen atau perkongsian kandungan yang tinggi kerana mereka rajin membalas komen orang lain terhadap status yang dimuatnaik. Mereka yang tidak popular pula tidak konsisten dalam berkomunikasi dengan pengikut mereka. Ternyata di sini, komunikasi adalah jambatan penting sama ada anda akan gagal ataupun berjaya.

Keempat, pilih industri yang anda ada kekuatan. Kekuatan dari aspek minat sahaja tidak mencukupi, anda perlu ada pengetahuan dan juga kepakaran. Dan kesemua ini perlu diluahkan di laman web melalui penulisan. Laman web anda perlu dijadikan rumah dan trafik-trafik yang dicari sama ada melalui media sosial, enjin pencarian atau dari mana sahaja perlu kembali ke rumah. Berikan nasihat, pendapat dan petua-petua tertentu kepada pengikut anda. Bina kandungan yang menarik untuk membuatkan mereka datang.

Kelima, jangan percaya kepada individu yang datang dan menawarkan anda jalan pendek untuk berjaya. Mereka adalah penipu besar kerana tidak pernah wujud jalan pendek untuk berjaya. Jika anda lihat usahawan-usahawan internet yang berjaya di luar, kesemua mereka telah melalui masa yang amat sukar sebelum berjaya. Pastikan sumber pembelajaran dan nasihat yang diterima datangnya dari profesional atau pakar dan bukannya dari yang bukan ahli.

Keenam dan terakhir, fikirkan taktik untuk dapatkan jualan dari tawaran nilai yang diberikan tadi. Cuba fikirkan taktik bagaimana untuk mengubah mereka menjadi pelanggan berbayar anda. Mesej tentang tawaran nilai anda tadi perlu diulang-ulang sehingga berjaya memujuk mereka perlahan-lahan untuk mereka setuju menjadi pelanggan anda. Proses pengulangan itu perlu dijadikan aktiviti anda yang konsisten dan berterusan. Hasil dari ini tidak akan diperolehi dengan cepat, ada yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Ya betul, tahun dan bukan bulan.