5 Taktik Gunakan Kualiti Produk Untuk Kuatkan Penjenamaan Anda

Oleh Azleen Abdul Rahim

Penjenamaan yang baik ialah apabila pengguna teringat tentang satu jenama tertentu apabila mereka melihat atau menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan. Contoh, syarikat penerbangan apakah yang akan anda ingat sekiranya anda bercadang untuk ke Pulau Langkawi ketika cuti sekolah nanti? Sudah semestinya anda akan teringatkan AirAsia. Mengapa? Kerana pada fikiran anda, harga tambang yang ditawarkan adalah murah. Dan keduanya, mereka menawarkan pengalaman penerbangan yang amat mengujakan disamping pakaian seragam pramugarinya yang merah dan cantik.

Pernahkah anda terfikir bagaimana anda boleh teringatkan jenama penerbangan tambang murah ini sedangkan harga yang ditawarkan itu tidak semestinya murah? Ini disebabkan oleh dua faktor utama, iaitu taktik pemasaran mereka yang menarik anda menggunakan perkhidmatan mereka. Dan pengalaman positif yang tidak dapat dilupakan setelah anda menggunakan khidmat penerbangan mereka.

Anda mungkin biasa melihat jenama-jenama yang mempunyai strategi pemasaran yang hebat tetapi tidak ramai yang akan datang lagi setelah mencuba produk ataupun perkhidmatan mereka. Ini disebabkan kualiti yang disediakan tidak menepati citarasa, penanda aras dan juga jangkaan ketika promosi diadakan. Nampaknya kualiti produk tidak sama dengan penceritaan yang diadakan ketika kempen. Jadi dengan sendirinya orang ramai pun tidak akan datang lagi, malah bukan itu sahaja mereka akan bercerita dengan rakan-rakan mereka lagi tentang jenama anda. Orang ramai kini mempunyai banyak pilihan di tangan mereka dan tidak perlukan anda kerana produk atau perkhidmatan yang sama ada bersepah diluar sana.

Di sini ada beberapa taktik yang boleh anda gunakan untuk mengatasi masalah diatas dan seterusnya menjadikan kualiti produk atau perkhidmatan anda menjadi buah mulut orang dan seterusnya membantu menguatkan lagi penjenamaan anda di pasaran.

Fokus kepada jaminan kualiti produk atau perkhidmatan anda dengan teliti. Sebelum sesuatu promosi dijalankan, anda perlu fokus terhadap jaminan kualiti atau quality assurance ke atas semua produk yang dijual. Pastikan semuanya berada pada tahap yang amat memuaskan dan sekiranya terdapat mana-mana produk yang tidak begitu sedap, kurang menarik atau ada sesuatu yang tidak kena, jangan tawarkan langsung. Selidik terlebih dahulu sama ada bahan-bahan yang digunakan sudah tamat tempoh, basi dan sebagainya.  

Kongsikan maklumbalas positif dari para pelanggan. Jangan lupa untuk kongsikan semua maklumbalas-maklumbalas yang diberikan oleh para pelanggan yang datang di semua saluran media anda. Ini bagi memberitahu kepada mereka yang belum lagi datang mencuba produk atau perkhidmatan anda itu untuk segera membuat tempahan atau datang. Untuk impak yang lebih kuat, maklumbalas tadi perlu ada gambar atau video sekali. Ini kerana minda manusia akan lebih cepat memproses sesuatu maklumat yang berbentuk visual berbanding tulisan.

Sentiasa inovatif dalam menawarkan sesuatu yang baharu. Sekiranya anda seorang penjual char koey teow misalnya, dan biasanya anda dan pasukan anda akan memasak beberapa menu biasa setiap hari. Apa kata seminggu sekali perkenalkan satu atau dua menu baharu yang masih berasaskan char koey teow agar para pelanggan anda bukan sahaja tidak jemu dengan apa yang ada, malah akan sentiasa teruja untuk terus datang ke premis anda. Dengan strategi seperti ini yang inovatif, para pelanggan setia anda terutamanya tidak akan berasa bosan.

Interaksi dengan para pelanggan anda. Jangan harapkan kepada para pekerja sahaja, anda sebagai pemilik perniagaan dan jenama juga perlu berinteraksi dengan para pelanggan yang datang. Pastikan anda berbual mesra, bertanyakan khabar, memperkenalkan diri anda kepada para pelanggan yang baharu ataupun sekurang-kurangnya berterima kasih kepada mereka kerana sudi datang ke kedai anda. Sama juga di media sosial, jangan lupa untuk terus berinteraksi dengan mereka agar silaturrahim dapat dirapatkan, dan apabila rapatnya silaturrahim maka dengan sendirinya mereka akan datang lagi mencuba produk atau perkhidmatan anda.

Jadikan mereka istimewa. Maksud istimewa di sini ialah, jadikan mereka sebahagian dari kawan rapat anda. Ambil tahu pasal mereka sebagai sahabat, berjumpa mereka di luar waktu perniagaan, hadir ketika dijemput kenduri kendara dan sebagainya. Dengan cara ini, mereka secara tidak langsung akan membantu anda membuat promosi percuma atau berkongsi di media sosial mereka ketika mereka datang ke kedai anda.