Bagaimana Jenama Anda Boleh Diingati Selalu Oleh Para Pelanggan

Oleh Azleen Abdul Rahim

TANPA asas yang amat kukuh, sesuatu jenama itu sama sekali tidak akan mampu membuatkan orang ramai ingat tentang jenama tersebut. Buatlah macam mana sekalipun, mereka cuma akan nampak jenama anda buat seketika dan kemudiannya beralih pandangan kepada benda seterusnya. Kini, dunia dibanjiri dengan berjuta-juta jenama. Menurut angka yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, setakat 31 Disember 2016 lalu terdapat 6.375 juta perniagaan di negara ini yang berdaftar.

Cuba anda fikir sejenak, bagaimana untuk jenama anda bangkit dan berdiri jauh lebih tinggi dari mereka yang lain. Dan segelintir daripada jumlah ini pula mungkin pesaing anda. Bayangkan jumlah pesaing anda cuma 0.05 peratus dari 6.375 juta perniagaan tadi. Namun ia masih satu angka yang besar. Dan mereka mungkin jauh lebih berkemampuan dari anda dari semua aspek termasuklah modal.

Di sini saya ingin berkongsi dengan anda tentang bagaimana untuk membuatkan jenama anda lebih terserlah berbanding pesaing anda yang lain. Betul, tanpa menggunakan wang yang banyak anda masih mampu lakukannya. Anda cuma perlu kreatif sahaja. Ini faktor-faktor penting yang perlu dimasukkan dalam strategi penjenamaan anda:

Apakah masalah yang anda selesaikan? Faktor ini yang paling asas diantara kesemuanya. Anda perlu pastikan jenama anda dapat membantu bakal pelanggan anda untuk menjalani kehidupan peribadi atau profesional dengan lebih baik lagi dari aspek tertentu. Sebelum ini mereka terpaksa mengharungi sesuatu yang sukar, meletihkan, membosankan, menyusahkan, melecehkan dan sebagainya tetapi kini tidak lagi.

Apakah penyelesaiannya? Apabila mereka tahu jenama anda boleh membantu mereka dalam mengurangkan sesuatu beban tertentu dalam kehidupan harian mereka sama ada profesional mahupun peribadi, anda perlu kuatkan persepsi ini dengan memberitahu mereka tentang penyelesaian yang anda tawarkan kepada mereka. Penyelesaian ini sudah tentunya dengan penggunaan produk ataupun perkhidmatan milik anda.

Apakah tawaran nilai yang anda berikan? Mereka juga perlu tahu mengapa mereka perlu menggunakan produk dan perkhidmatan anda dan kenapa tidak menggunakan jenama-jenama lain yang mempunyai fungsi yang sama. Di sini tawaran nilai anda memainkan peranan kritikal. Tawaran nilai bermaksud satu pesanan yang diberikan kepada para pengguna tentang kualiti yang produk atau perkhidmatan anda ada yang tidak terdapat pada produk atau perkhidmatan pesaing anda. Hanya anda sahaja yang mempunyai sesuatu kualiti itu. Dengan membezakan jenama anda dengan orang lain, ini bakal menjawab persoalan mengapa mereka perlu membeli jenama anda.

Adakah para pengguna ‘nampak’ dan faham? Terdapat beberapa jenama yang menggunakan perkataan dan ayat-ayat yang kompleks dan ber’standard’ tinggi, konon-kononnya ingin menjaga status. Biasanya jenama seperti ini tidak akan ke mana kerana sasaran pelanggan mereka tidak akan faham apa yang mereka perkatakan. Untuk mengelakkan masalah ini berlaku kepada anda, sila gunakan bahasa yang mudah difahami dan ringkas serta jelas maksudnya. Pastikan juga mesej yang disampaikan itu mampu difahami oleh orang ramai dengan menggunakan kualiti IQ yang tidak terlalu tinggi dan tidak juga rendah.

Dimanakah sasaran pelanggan anda yang paling hampir? Mulakan langkah anda dengan mengenalpasti sasaran pelanggan anda yang paling hampir sekali. Tidak perlu sasarkan ke seluruh negara, setiap peringkat umur, setiap lokasi dan sebagainya. Ambil sedikit masa untuk duduk dengan tenang selama beberapa hari dan fikirkan dengan baik siapakah bakal pelanggan anda sebenarnya dengan lebih khusus.

Adakah anda mempunyai mesej atau pesanan Pemasaran yang kuat? Hanya dua jenis pesanan sahaja yang perlu anda letakkan pada setiap bahan-bahan pemasaran yang ada. Pertama, janjikan mereka akan perolehi manfaat tertentu dan kedua, pastikan mereka tahu yang mereka akan sangat-sangat rugi sekiranya terlepas peluang yang ditawarkan ini.

Adakah mereka boleh kaitkan anda dengan jenama lain? Sekiranya mereka boleh kaitkan jenama anda dengan jenama yang lain, maka dengan sendirinya asas jenama anda belum lagi kukuh. Tidak teragak-agak mereka berkata anda meniru jenama tersebut dan bukan sebaliknya. Mereka tidak akan membeli dari anda kerana tiada sebab untuk mereka berbuat demikian. Jadi, pastikan jenama anda unik dan asli dari semua sudut.