Kini Kita Di Bawah Belas Kasihan Algoritma Facebook

Oleh Azleen Abdul Rahim

SUDAH beberapa bulan saya mendapati Facebook kini semakin mendesak kita untuk membayar dan terus membayar sekiranya kita mahukan status kita yang dimuatnaik dilihat oleh para pengikut kita sendiri. Yang saya maksudkan di sini ialah laman bisnes Facebook, dan bukannya di sebelah personal. Dua minggu lalu saya mengikuti satu forum atas talian yang para ahlinya turut merungut tentang Facebook.

Ada yang bercadang untuk meninggalkan Facebook, ada yang mahu mengeksploit di sebelah personal dengan kaedah tertentu dan ada juga yang masih sanggup untuk terus membayar bagi mengekalkan momentum yang ada. Jumlah beratus-ratus ribu Like yang ada kini sudah tidak bermakna lagi apabila hampir tiada siapa yang melihat apa yang dimuatnaik untuk dilihat.

Tidak lama dahulu, selama bertahun-tahun algoritma Facebook menjadi sebahagian besar dari strategi pemasaran media sosial bagi setiap agensi dan jenama untuk mencapai sasaran pembaca dan pelanggan yang lebih besar. Namun kini ia telah bertukar. Facebook semakin mendesak para pengguna di laman bisnes untuk terus membayar untuk kekalkan rentak. Menurut perbincangan maya yang berlangsung di Twitter baru-baru ini, saya melihat ada agensi-agensi yang membuat spekulasi tidak lama lagi Facebook akan memperkenalkan algoritma baharu yang akan jauh lebih agresif dari sekarang kepada kita semua.

Jadi apa yang boleh kita lakukan untuk dapatkan lebih banyak trafik organik atau tidak berbayar sekiranya masih ingin terus menggunakan laman bisnes Facebook sebagai saluran utama dalam memasarkan produk dan perkhidmatan kita?

Video.  Menurut ketua pegawai eksekutif di sebuah agensi media sosial yang menulis di laman forum itu berkata, mereka mendapati bahawa Facebook sekarang lebih gemar dengan kandungan yang berbentuk video. Mereka terang-terang mahukan video berbanding kandungan lain. Ramai tahu Facebook kini sedang bersaing sengit dengan Snapchat dan YouTube, jadi untuk terus mendahului kedua-dua pesaing terdekat ini, video perlu dijadikan senjata. Dia mendapati jumlah trafik organik iaitu yang tidak dibayar, naik dengan banyak jika video dimuatnaik dengan konsisten. Menurut beliau lagi, video perlu dijadikan sebagai kandungan utama dan cuba untuk mengurangkan kandungan berbentuk artikel, infografik dan gambar di Facebook.

Rakaman Video Secara Langsung. Selain video yang dirakam, penggunaan Facebook melalui rakaman video secara langsung juga boleh menaikkan jumlah trafik organik untuk datang berkunjung ke laman bisnes Facebook. Ini disebabkan oleh fungsi notifikasi yang diberikan kepada setiap pengikut kita apabila terdapatnya satu-satu siaran langsung diadakan.

GIF. Ia dikenali sebagai Graphic Interchange Format atau Format Penukaran Grafik. Ia juga satu bentuk video, tetapi jauh lebih pendek yang dimainkan berulang-ulang kali. Selepas ini anda perlu membuat sedikit kerja rumah apakah itu GIF dan bagaimana untuk membuatnya dengan mudah.

Ketiga-tiga kandungan ini mampu membantu dalam mendapatkan trafik. Saya juga ada terbaca di forum yang sama tentang beberapa jenama lain yang juga akan menggunakan kaedah lain dalam mendapatkan trafik ke laman bisnes Facebook mereka.

Kaedah Pemasaran Tradisional. Tidak dinafikan juga trafik yang besar boleh ditarik melalui kaedah pengiklanan di akhbar-akhbar utama, radio, papan iklan, mencetak kemeja T, topi, katalog dan bahan-bahan pemasaran yang lain.

Berita Berkala atau Newsletter. Dikenali juga sebagai pemasaran e-mel, ia memerlukan para pengikut anda untuk melanggan berita berkala anda melalui alamat e-mel mereka.

Rangkaian Media Sosial Lain. Mereka menasihatkan agar berhati-hati dengan Instagram kerana ia juga kepunyaan Facebook. Pasti dalam masa terdekat ini, algoritma Instagram juga akan bertukar dan para pengguna yang sudah lama melekat dengannya tidak boleh tidak mesti perlu membayar untuk setiap status mereka dilihat. Oleh itu, ramai yang mula memberikan fokus mereka kepada penggunaan Twitter dan Periscope, LinkedIn, YouTube dan juga Flipboard. Kombinasi komuniti keseluruhan rangkaian-rangkaian ini adalah sebesar komuniti Facebook, jadi tidak mustahil ia mampu membantu mendapatkan trafik dari sini.

Dalam forum yang sama, ramai juga yang mengeluh. Mereka berkata, dahulu kita perlu menulis artikel dan blog untuk membina trafik. Kemudian keperluan untuk ada gambar wujud. Kini, video pula. Perkara ini tidak akan habis dan amat mengelirukan kita semua. Kita semua sebenarnya berada di bawah belas kasihan algoritma Facebook, ini realitinya.