Laman Web Korporat Anda Perlukan Blog

Oleh Azleen Abdul Rahim

Minggu lalu, saya dijemput untuk mengendalikan satu seminar tentang pemasaran digital untuk para usahawan wanita di ibukota. Ia dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Malaysia. Seramai 59 orang usahanita telah hadir pada hari tersebut. Sepanjang sesi tersebut, saya ditanya bertubi-tubi tentang pentingnya laman web. Untuk pengetahuan anda, mereka ini walaupun nampak lemah-lembut dan muslimah, tetapi pengetahuan mereka tentang pemasaran digital dan internet agak kehadapan. Memandang hampir kesemua mereka ini agak canggih, saya perlu memastikan jawapan saya benar-benar terperinci dan lengkap.

Kenapa kita perlukan blog Encik Azleen, mengapa ia perlu berada di dalam laman web korporat dan mengapa pula kita perlu menulis dan terus menulis dengan konsisten pada laman blog tersebut?

Ini soalan-soalan yang dikemukakan ini yang saya dapat rumuskan. Saya memberitahu mereka, laman web adalah sangat penting kerana tanpanya kita sudah pasti tidak akan dijumpai di internet. Walaupun kita boleh menggunakan media sosial untuk meningkatkan jumlah pengikut dan memperbesarkan saiz komuniti, namun kita juga perlu dijumpai oleh para pengguna yang sentiasa mencari produk dan perkhidmatan yang mereka perlukan. Di laman enjin pencarian Google sahaja, sejumlah 3.5 billion pencarian diproses sehari. Dalam erti kata lain, ia merujuk kepada 40,000 pencarian setiap saat. Dan ini satu jumlah yang sangat-sangat besar. Oleh kerana jumlah orang mencari setiap masa adalah sama besarnya dengan jumlah para pengguna media sosial yang berada di internet, jadi sebagai usahawan kita perlu mengambil kesempatan ini untuk dijumpai. Jumlah ini belum lagi termasuk dengan apa yang diproses di Yahoo dan Bing, iaitu enjin-enjin pencarian yang dimiliki oleh Yahoo dan Microsoft.

Kenapa kita perlukan blog? Terlalu ramai usahawan kita yang melakukan kesilapan besar dengan membayar sejumlah wang yang banyak untuk membina laman web yang canggih tetapi tiada bahagian blog di dalamnya. Kesilapan terbesar mereka yang pertama ialah laman web mereka tidak dibina dan dioptimumkan untuk penggunaan peranti mudah alih seperti telefon pintar dan tablet. Ia cuma dibina untuk para pengguna yang menggunakan komputer dan komputer riba. Apabila ia tidak dioptimumkan sebegini, laman web mereka tidak akan dijumpai kepada para pengguna peranti mudah alih. Kesilapan yang kedua terbesar ialah mereka tidak menyediakan bahagian penulisan blog di laman web mereka. Jika bahagian ini tidak wujud, maka laman web tersebut secara automatik tidak akan dikemaskinikan dari masa ke semasa. Ia akan menjadi statik. Laman web yang statik tidak akan dikunjungi oleh algoritma enjin pencarian yang sentiasa dahagakan kandungan-kandungan yang baharu yang dimuatnaik. Sebaliknya apabila sesuatu laman web itu mempunyai bahagian penulisan blog, maka pelbagai artikel boleh dimuatnaikkan di sana dari masa ke semasa. Artikel yang berbentuk pendapat, berita dan pengumuman merupakan diantara kandungan yang boleh dibina. Sebaik sahaja ini dimuatnaik, dengan serta-merta algoritma enjin pencarian Google, Yahoo dan Bing akan dapat dihidu dan seterusnya datang ke laman web anda untuk diindeks.

Mengapa ia perlu berada di dalam laman web korporat dan bukannya di tempat lain? Jika kita melihat corak tingkahlaku para pengguna internet dengan lebih mendalam, mereka pasti ingin mengetahui siapakah yang menulis atau pemilik laman web tersebut sekiranya mereka mendapati pendapat, berita atau pengumuman yang ditulis di laman blog itu tadi amat menarik. Mereka akan terus ke pilihan menu Mengenai Kami atau About Us sebaik sahaja habis membaca artikel yang ditulis. Dan mereka akan lebih mengenali jenama anda setelah berada di mukasurat tersebut. Ini bakal menaikkan tahap kesedaran tentang jenama anda di mata para pengguna.

Mengapa pula kita perlu menulis dan terus menulis dengan konsisten di blog tersebut? Algoritma enjin pencarian amat gemarkan kandungan-kandungan yang dimuatnaik secara konsisten. Sekiranya sesuatu artikel itu ditulis seminggu dua kali, maka mereka akan datang tepat pada masanya iaitu seminggu dua kali di laman web anda. Sekiranya seminggu sekali, maka seminggu sekali mereka akan berada di laman web anda. Tetapi sekiranya tidak konsisten, mereka tidak akan meletakkan kehadiran mereka di laman web anda sebagai keutamaan. Ini sangat bahaya kerana berkemungkinan juga algoritma ini tidak akan dihantar langsung oleh enjin pencarian.