Naikkan Jumlah Pengikut Media Sosial Anda Dengan Taktik Ini

Oleh Azleen Abdul Rahim

AGAK terkejut juga apabila saya diberitahu oleh beberapa rakan yang berjawatan tinggi di organisasi masing-masing, yang mereka tengah membuat penstrukturan semula laman web korporat mereka untuk memasukkan bahagian blog di dalamnya. Ini sesuatu yang positif. Maklumlah, setelah bertahun-tahun lamanya saya ‘membasuh’ pemikiran mereka tentang pentingnya blog di laman web korporat, kini usaha saya mula menampakkan hasil. Saya bertanya, mengapa sekarang? Mereka menjawab, sebelum ini prestasi syarikat berjalan lancar dan bagus. Kini, jualan semakin menurun dan tidak nampak tanda-tanda akan naik. Jadi keperluan pemasaran di internet terutamanya untuk dijumpai di laman enjin pencarian amat penting.  

Patutlah. Pemasaran biasanya akan menjadi penting sekiranya prestasi jualan menjadi hambar yang akhirnya mempengaruhi keuntungan syarikat. Dan apabila kembali pulih, strategi pemasaran akan dilupakan kembali. Ini perkara biasa. Ia sama seperti memberus gigi di waktu malam. Apabila sakit gigi, barulah terhegeh-hegeh hendak memberus gigi sebelum tidur. Siap berkumur dengan Listerine atau Oral B lagi. Kalau tidak, memang sehari sekali sahaja memberusnya, iaitu di waktu pagi. Hanya yang konsisten memberus gigi sahaja, rajin ke klinik gigi untuk pemeriksaan sahaja yang akan mempunyai gigi yang cantik.

Kenapa perlu menulis blog? Pertama, ia mampu menjadikan laman web korporat kita lebih menarik. Kedua, ia mampu menaikkan ranking laman web di laman enjin pencarian. Ketiga, melalui blog kita boleh mengemaskini laman web dengan kandungan-kandungan yang baharu. Ini bakal membuatkan mereka ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang latar belakang syarikat, lalu mereka akan klik di pilihan About Us. Dan yang keempat, kita boleh mengumpul pengikut sebagai komuniti kita.

Hanya melalui laman web sahaja kita dapat memastikan setiap apa yang dimuatnaik akan dapat dilihat oleh pengikut dengan seratus peratus. Apa yang mereka perlu lakukan untuk menjadi komuniti di sini ialah mereka hanya perlu mendaftar alamat e-mel mereka sahaja, mudah. Perkara sebaliknya pula berlaku di media sosial. Di Facebook, Twitter, LinkedIn, dan Instagram misalannya, tidak lebih 5 peratus sahaja yang akan dapat melihat apa yang kita muatnaik sebagai status. Jika kita mahukan kandungan tersebut dilihat oleh lebih ramai lagi, kita perlu membayar kepada mereka. Tetapi amat penting untuk kita naikkan jumlah pengikut di media sosial terlebih dahulu sebelum mengikuti kita juga di laman web. Namun media sosial korporat agak sukar untuk kelihatan menarik berbanding media sosial individu yang boleh meroyan sana sini, menulis status yang merapu dengan gambar dan video menarik, terus mampu menarik pengikut baharu. Untuk syarikat pula, kita boleh menggunakan taktik di bawah untuk percepatkan lagi proses mendapatkan pengikut.

Sediakan sedikit pelaburan harian untuk boost. Syarikat biasanya akan menggunakan halaman perniagaan atau Business Page, dan ia mempunyai fungsi periklanan di dalamnya. Anda perlu mengeluarkan sedikit pelaburan untuk menarik para pengguna untuk datang dan ikuti laman perniagaan anda di media sosial tersebut.

Selain boost untuk dapatkan pengikut, anda perlu pastikan status-status yang mendapat sambutan juga dibayar untuk proses boost. Ini penting kerana kita boleh menarik lebih banyak perhatian kepada mana-mana status yang telah dimuatnaik yang mendapat sambutan hanya dengan sedikit bayaran sahaja berbanding kita membayar sesuatu status yang baharu.

Pastikan keadaan laman perniagaan ini hampir sama dengan laman web. Anda perlu pastikan logo diletakkan di tempat yang betul, gambar header juga perlu menggunakan gambar yang ada di laman web, slogan anda perlu diletakkan pada tempat yang sepatutnya dan isi kesemua maklumat yang diminta di ruangan profil secara lengkap. Ini bakal membantu jenama anda untuk dijumpai dan dikenali dengan segera oleh orang ramai.

Lebihkan kandungan visual. Kini algoritma yang wujud di media-media sosial lebih gemarkan kepada rakaman video dan video secara langsung. Namun anda juga boleh memuatnaik gambar-gambar yang beresolusi tinggi dan menarik juga sebagai kandungan.

Penggunaan perkataan dan ayat yang mampu mencuit emosi. Video dan gambar sahaja tidak mencukupi untuk menarik perhatian orang ramai. Ia perlu disertakan bersama dengan status-status yang kelakar, sedih, gembira, kecewa dan sebagainya yang mencuit emosi sesiapa yang melihatnya. Jika anda melihat mana-mana status yang viral, kesemuanya mempunyai status yang hebat yang menggunakan perkataan dan ayat yang tepat untuk video atau gambar tersebut. Elakkan memuatnaik kandungan yang negatif.

Miliki pesona tersendiri. Kesilapan terbesar yang biasa jenama-jenama kecil dan sederhana sering lakukan ialah dengan meniru gaya jenama lain yang lebih besar. Sekiranya anda berbuat demikian dan orang ramai yang datang ke halaman perniagaan anda dapat mengetahui yang anda mengingatkan mereka tentang sesuatu jenama lain, mereka akan terus tinggalkan anda dan menuju ke jenama tersebut dengan serta-merta. Percayalah. Jadi jangan meniru, miliki gaya dan pesona jenama anda yang tersendiri. Be authentic and people will appreciate you more!

Minta bantuan pekerja dan rakan niaga untuk jemput rakan mereka. Jangan segan silu dan malu untuk meminta para pekerja dan rakan niaga anda untuk menjemput kenalan mereka untuk Like halaman perniagaan anda. Berikan sedikit imbuhan kepada mereka sekiranya perlu. Ini taktik yang paling ‘ganas’ tetapi cepat dan berkesan.