Strategi Pemasaran Digital: Laksanakan Bank Kandungan Dahulu

Oleh Azleen Abdul Rahim

SETELAH strategi pemasaran digital anda ditulis dan dirangka dengan baik, kini tiba masanya untuk anda laksanakan strategi tadi. Mana-mana pemasar digital yang berpengalaman, mereka akan memulakannya dengan membina apa yang dikenali sebagai Bank Kandungan atau Content Bank. Ia merupakan satu tempat simpanan setempat di internet untuk semua kandungan-kandungan yang bakal kita buat dan kumpulkan. Di sini, setiap ahli pasukan pemasaran, pihak pengurusan, jabatan jualan, operasi dan jabatan-jabatan lain yang mempunyai kepentingan berkaitan dengan pemasaran boleh diberikan akses untuk menggunakan kandungan yang sama untuk tujuan masing-masing.

Google Drive, Dropbox, Box dan OneDrive merupakan diantara perisian perkongsian dokumen percuma yang popular di dunia yang biasanya digunakan oleh pemasar digital bagi tujuan Bank Kandungan ini. Rata-rata menyediakan saiz simpanan yang agak besar. Google Drive misalnya menyediakan saiz simpanan sebanyak 15GB secara percuma, Dropbox pula akan memberikan saiz yang lebih besar dengan percuma sekiranya anda memperkenalkan rakan-rakan untuk turut menggunakannya, Box pula memberikan 10GB percuma manakala OneDrive pula 5GB diberikan percuma. Kesemua platform ini rata-rata mempunyai berpusat di Amerika Syarikat dan anda perlu berhati-hati juga. Jadi kaveat di sini ialah, anda tidak digalakkan menyimpan dokumen-dokumen sensitif di platform-platform ini kerana tahap keselamatan yang ditawarkan agak kurang sesuai untuk tujuan itu.

Secara peribadi, saya lebih berminat menggunakan Google Drive kerana ia bukan sahaja memberikan storan yang jauh lebih besar berbanding yang lain, tetapi lebih dari itu. Saya juga dapat menggunakan Google Document yang disediakan secara automatik. Google Document ialah versi Google untuk Microsoft Word, Excel dan Powerpoint. Saya juga boleh menggunakan Google Keep sebagai nota harian saya. Fungsi-fungsi ini membantu saya dalam proses penyediaan kandungan untuk dimuatnaik ke dalam Bank Kandungan. Ini semua diberikan secara percuma, yang juga boleh diakses melalui mana-mana peranti.

Berikut adalah contoh senarai dokumen yang anda boleh simpan di Bank Kandungan ini. Untuk kelihatan lebih bersih, menarik dan mudah untuk mencari, anda boleh asingkan jenis-jenis dokumen mengikut folder masing-masing.

Laporan. Di bahagian ini, anda perlu menempatkan kesemua laporan mingguan untuk diukur prestasi masing-masing. Dari media sosial seperti LinkedIn, Twitter, Facebook, Instagram, YouTube, Google Plus dan sebagainya, sehinggalah kepada prestasi aliran trafik yang ditunjukkan oleh laman web kita. Di sini jabatan-jabatan berkaitan terutamanya pihak pengurusan dapat mengetahui dengan lebih cepat setiap apa yang berlaku melalui akses yang diberikan. Anda tidak perlu lagi mencetak dan memberikan mereka fail yang tebal sebagai laporan.  

Artikel. Artikel ialah cerita yang ditulis di laman web atau blog.

Logo. Setiap lakaran, logo yang telah siap atau logo yang perlu diubahsuai.

Media Sosial. Gambar header, jadual status-status media sosial yang bakal dimuatnaik, dan status-status dari rakan niaga anda yang perlu anda masukkan ke dalam jadual yang sama.

Perhubungan Awam atau PR. Siaran akhbar yang bakal dihantar ke media-media berkaitan, dan juga keratan akhbar yang menyebut tentang jenama anda.

GIF. GIF atau dikenali sebagai Graphic Interface Format ialah satu bentuk video mini yang dimain berulang-ulang. Ini juga satu bentuk kandungan yang mampu menaikkan jenama anda.

Video. Video terbahagi kepada dua, kepunyaan anda dan dari prinsipal atau rakan niaga anda.

Infografik. Infografik ialah informasi yang mempunyai kombinasi rekabentuk dan juga ayat. Kesemua infografik yang dilukis perlu dimasukkan di sini juga.

Gambar. Segala gambar-gambar tidak kira daripada stok simpanan anda, yang dibeli dan juga yang percuma perlu dikumpulkan di folder ini. Ini memudahkan rakan sekerja media sosial anda untuk mencari bagi tujuan promosi.

Poster. Ini pula gambar-gambar yang dilukis, atau gambar yang dinaik taraf dari asal yang mempunyai tulisan-tulisan diatasnya.

Ikon. Laman web anda, poster dan lain-lain kandungan biasanya akan mempunyai ikon, emoji dan simbol tertentu yang unik kepada jenama anda. Ini juga perlu disimpan untuk memudahkan proses pencarian di masa akan datang.

Lain-lain. Terdapat juga dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan syarikat yang sentiasa diperbaharui, berita atau pengumuman tertentu yang perlu anda gunakan dalam pemasaran anda. Ini juga perlu disimpan secara setempat di sini.

Tempat simpanan setempat atau central depository ini bukan sahaja memudahkan anda dan pasukan pemasaran digital anda untuk mencari dan mengakses sesuatu maklumat, tetapi juga turut membantu hampir keseluruhan organisasi anda mencari sesuatu kandungan tertentu. Dalam dunia pemasaran digital, di luar sana adalah peperangan. Jadi keperluan untuk menghasilkan kandungan terbaik dan kelajuan untuk mencapai sesuatu maklumat itu amat penting.