Tiga Langkah Awal Bina Jenama Peribadi

Oleh Puteri Yusof

SEPANJANG enam tahun saya menjalankan perniagaan atas talian, saya telah melihat ramai rakan- rakan sealiran memasarkan pelbagai produk. Produk yang mereka pasarkan datang dan pergi, silih berganti dan ada ketikanya mereka boleh memasarkan 4-5 produk dalam satu masa. Dan oleh kerana medium pemasaran seperti Facebook ini dilihat sebagai cara paling mudah untuk berniaga, jadi semakin hari semakin ramai mencuba nasib memulakan perniagaan mereka.

Walau berapa banyak pun produk yang datang dan pergi, apa yang saya perhatikan ialah rakan- rakan saya ini tetap masih tidak jemu berada di dalam dunia perniagaan atas talian ini, bulan demi bulan, tahun demi tahun. Ini membuatkan saya terfikir, walaupun produk mereka tidak kekal, individu- individu ini tetap masih mahu meneruskan perniagaan atas talian mereka. Jadi saya berpendapat, sesuatu mesti dilakukan agar kehadiran mereka disedari, diingati dan menjadi bualan, lantas akhirnya boleh menjadi laluan bagi mereka menjana pendapatan. Tidak mengira samada mereka hanya menjual krim muka secara sambilan pun, mesti ada jalan untuk memastikan nama mereka menjadi sebutan.

Saya terfikir, adakah mereka tahu tentang penjenamaan peribadi (personal branding) yang boleh digunakan untuk tujuan berniaga atas talian? Ini kerana saya percaya, apabila mereka sudah ada jenama, kerja- kerja untuk memasarkan apa juga produk pun boleh menjadi lebih mudah. Dunia atas talian hari ini membolehkan jenama dibina dan dimiliki oleh individu- individu biasa dan tidak lagi terhad kepada syarikat- syarikat besar sahaja. 

Secara ringkas penjenamaan peribadi atau “personal branding” merujuk kepada keupayaan seseorang membentuk persona tersendiri sehingga mudah diingati oleh oleh orang lain, dan mengaitkan dengan perniagaan, produk atau syarikat yang dimiliki atau diwakilinya.  Jika mahu mengambil contoh penjenamaan peribadi yang berjaya, kita boleh melihat contoh Dato’ Sri Vida, atau Abang Terlajak Laris Dato’ Aliff Syukri. Walaupun pelbagai pendapat boleh dilontarkan kepada dua nama ini, semua orang boleh bersetuju bahawa jenama mereka sudahpun melekat kukuh di mata dan hati rakyat Malaysia.

Mungkin bagi kita yang hanya menjalankan bisnes kecilan secara sampingan, untuk jadi jenama gah seperti dua tokoh di atas dilihat seperti jauh panggang dari api. Tidak mengapa, kerana saya mahu mengajak anda perhatikan personaliti- personaliti popular di Facebook yang bukan selebriti. Mereka ini biasanya akan berkongsi ilmu dan pendapat di Facebook setiap hari, dan tulisan mereka kerap mendapat liputan meluas apabila tulisan mereka akan tular, dikongsi oleh beribu- ribu pengguna Facebook yang lain. Dan setiap pengguna tegar Facebook pasti ada mengikuti setiap posting personaliti- personaliti kegemaran mereka, dan sudah pasti peluang ini digunakan sebaiknya untuk pelbagai urusniaga seperti penjualan produk, ulasan produk berbayar, dan juga seminar- seminar yang menguntungkan.

Jadi bagaimana peluang ini mahu diambil oleh peniaga kecil dari rumah, dropshipper sambilan, pengedar produk jualan langsung, ejen insurans, dan sebagainya? Saya kongsikan 3 langkah mudah yang boleh beri idea kepada kita untuk mulakan penjenamaan peribadi, hari ini juga.

Langkah pertama, seperti yang dikongsi oleh Shama Hyder, seorang penulis dan usahawan yang diangkat oleh LinkedIn sebagai “Top Voices” dalam bidang pemasaran dan sosial, penjenamaan peribadi mesti dimulakan dengan cara berfikir yang tepat. Fikirkan diri kita sebagai satu jenama, dan bagaimana kita mahu orang lain melihat kita, sebagai jenama yang mereka suka. Kita mahu orang ingat kita lantas mengaitkan kita dengan sesuatu yang positif dan diidami oleh mereka. Untuk menjadikan diri kita sebagai satu jenama, Hyder menekankan bahawa kita tidak perlu pula jadi orang lain, dan harus bersifat jujur. Tonjolkan kualiti terbaik yang kita ada, dan pada masa yang sama usah berubah sehingga dilihat seperti tidak asli pula. Selain itu perlu juga diingat, walaupun kita mahu diri kita dilihat sebagai jenama, ia tidak bermakna kita mesti menjual diri kepada orang lain. Apa yang kita mahu buat ialah supaya kita sentiasa menjadi tempat rujukan dan sentiasa ada apabila diperlukan oleh orang lain yang memerlukan pandangan dan pendapat kita.

Selesai mengubah cara berfikir tentang jenama diri, kita mulakan langkah kedua. Langkah ini mungkin paling mudah untuk dilakukan, malah mungkin boleh terus dibuat segera. Audit semula semua akaun media sosial yang kita miliki, dan seragamkan gambar profil kita. Pilih gambar terbaik (terbaik bermaksud gambar yang jika ianya muncul di suratkhabar, kita bangga melihatnya!), seelok- eloknya dari jarak dekat, diberi fokus pada bahagian pinggang ke atas. Setelah memilih gambar, gunakan gambar yang sama untuk semua profile, baik di Facebook, Instagram, Twitter, Google, email dan lain- lain lagi. Dengan cara ini, apabila orang melihat gambar profil kita di mana- mana saja, mereka sudah boleh tahu siapakah kita dan apa yang kita sering bual bicarakan. Mudah kan?

Seterusnya langkah ketiga yang penting bagi mengukuhkan jenama peribadi atas talian ialah melalui laman web milik kita sendiri. Akaun Facebook, Instagram dan Twitter sahaja tidak mencukupi jika kita benar- benar serius mahu menaiktarafkan diri kita sebagai satu jenama. Laman web merupakan platform terbaik untuk kita memberi posisi yang paling tepat tentang kepakaran dan kelebihan diri kita kepada orang lain. Usah rasa rendah diri sekiranya kita hanya seorang ejen insurans yang baru bermula, atau pengedar produk jamu kampung beroperasi di rumah, atau peniaga jualan langsung sambilan, kita tetap ada sesuatu yang unik untuk dikongsi dengan orang yang melayari laman web kita. Laman web milik peribadi lebih dekat dengan pembaca berbanding laman web syarikat besar dan terkemuka, dan ini beri kelebihan kepada kita di mata dan hati pelanggan.

Pembinaan jenama peribadi boleh dimulakan dengan  mudah, namun untuk memastikan ianya konsisten dilakukan setiap hari sehingga kita menjadi jenama yang dipercayai, memerlukan usaha yang bukan sedikit, namun hasilnya sangat berbaloi. Dalam dunia atas talian yang luas dan tanpa sempadan, pembinaan jenama diri yang tepat, akan membuka pelbagai peluang yang tidak kita sangka di masa hadapan. Usah bertangguh, mulakan hari ini!