Tambah Pengikut Instagram Anda Dengan 5 Taktik Ini Yang Terbukti Berkesan

Oleh Azleen Abdul Rahim

GAMBAR yang baik mampu menarik lebih ramai pengikut di Instagram, tetapi tidak ramai yang tahu bagaimana cara yang terbaik untuk dapatkan lebih ramai pengikut dengan lebih cepat dan percuma. Saya telah mencuba semua taktik ini terlebih dahulu sebelum menulis artikel ini agar saya dapat pastikan yang ia betul-betul berkesan.

Gambar yang betul-betul menarik. Semua orang tahu bagaimana untuk mengambil gambar yang menarik tetapi untuk mengambil gambar yang betul-betul menarik tidak ramai yang tahu. Cuba anda perhatikan beberapa akaun di Instagram yang boleh dijadikan contoh yang baik untuk anda ikuti bagi industri anda sendiri. Bagi anda yang berada dalam industri pelancongan misalnya, anda perlu jadikan konsep gambar-gambar yang terdapat di Airbnb dan GoPro sebagai penanda aras untuk gambar anda sendiri. Kaedah mereka mudah, perlu ada seorang dua di dalam gambar tersebut dan perlu dipastikan agar gambar individu tadi tidak terlalu besar di dalamnya. Dengan kata lain gambar yang diambil tadi perlu juga mempunyai suasana disekelilingnya.

Setiap gambar yang diambil sebaik-baiknya mempunyai elemen orang di dalamnya. Walaupun anda cuma ingin mengambil gambar pemandangan sekalipun, anda perlu mempunyai elemen orang di dalamnya. Ini kerana sesiapa yang melihat gambar tadi boleh kaitkan dirinya dengan orang tersebut. Ini menjadikan gambar tadi mempunyai impak yang tinggi untuk dihayati. AirAsia tidak hanya menayangkan gambar kapal terbang mereka sahaja di dalam bahan pemasaran mereka kerana ia membosankan. Mereka meletakkan pramugari, pramugara, pelancong, juruterbang ataupun kombinasi di antara ini bersama-sama kapal terbang tadi. Baru impaknya akan menjadi lebih kuat.

Gambar yang bersahaja dan candid juga penting. Ramai orang suka dengan gambar yang tidak kaku, yang diambil secara rawak dan bersahaja. Biasanya gambar-gambar yang diambil dengan ‘terkejut’ seperti ini boleh mendorong sesiapa yang melihatnya untuk meninggalkan komen atau sekurang-kurangnya menekan butang Like. Kadang-kadang ia juga mampu mengundang rasa ingin ketawa, menangis, hiba dan sebagainya walaupun tanpa sebarang caption.

Penggunaan aplikasi untuk menaiktarafkan gambar yang diambil seperti Adobe Lightroom juga membantu menjadikan gambar itu jauh lebih terserlah, tajam dan berkualiti. Malah di dalam Instagram itu sendiri juga mempunyai ciri pelarasan yang lengkap untuk tujuan ini. Cuma kekangannya ialah ia cuma untuk Instagram sahaja dan tidak boleh dimuatturun untuk kegunaan lain.

Ikut apa yang pesaing terbesar anda lakukan. Bukan meniru, tetapi ikut cara mereka. Dari konsep gambar, gaya penulisan status, taktik hashtag dan penggunaan lokasi.

Status atau caption untuk gambar yang diambil perlu bersahaja dan mengusik emosi. Jangan mengikut gaya penulisan buku teks. Status anda tidak boleh formal melainkan anda perlu mengikut protokol tertentu. Sekiranya tiada protokol yang perlu diikuti, tolong pastikan tulisan anda separuh formal dengan memasukkan elemen sedih, gembira, girang, kelakar dan sebagainya yang mengusik emosi sesiapa yang melihatnya. Dalam masa yang sama, sila juga pastikan anda tidak menggunakan bahasa-bahasa yang tidak senonoh, ayat yang sensitif kepada keadaan berbilang kaum dan perkataan yang hanya sesuai untuk SMS atau WeChat juga kerana keperibadian anda akan terserlah dengan sendirinya di sini. Jadi, berhati-hati.

Jangan lupa letakkan lokasi. Hanya dengan meletakkan lokasi pada gambar tadi di Instagram, gambar tersebut akan dimasukkan dalam senarai gambar-gambar yang diambil di lokasi tersebut. Dan apabila sesiapa yang ingin mencari gambar-gambar yang diambil di lokasi tersebut pasti akan berjumpa dengan gambar anda. Jika menarik, mereka mungkin terdorong untuk mengikuti anda di Instagram.

Hashtag juga perlu. Penggunaan hashtag juga perlu sekiranya anda ingin status yang anda muatnaik itu berada di senarai gambar-gambar yang dicari. Di sini anda perlu melakukan sedikit kerja rumah kerana tidak semua hashtag sesuai untuk digunakan walaupun di mata anda kelihatan biasa dan boleh digunakan. Terdapat hashtag yang boleh mengoptimumkan pencarian agar gambar dan status yang dimuatnaik senang dicari. Anda cuma perlu menaipkan hashtag yang ingin anda gunakan dan Instagram akan senaraikan hashtag yang menjadi kegemaran dengan jumlah status yang menggunakan hashtag yang sama. Gunakan hashtag yang paling ramai orang gunakan kerana ini bakal membantu menaikkan peluang anda untuk dijumpai.