Facebook : Hentikan 3 Kesilapan Ini Untuk Tingkatkan Perniagaan

Oleh Puteri Yusof

DALAM tempoh hampir 9 tahun saya menjadi pengguna Facebook, lebih kurang 6 tahun daripadanya saya gunakan untuk menjalankan aktiviti pemasaran dan jualan produk. Bermula secara kecil-kecilan dan secara separuh masa, sehinggalah saya berhenti kerja dan melakukannya secara sepenuh masa, akaun Facebook peribadi memainkan peranan yang penting untuk saya berinteraksi dengan prospek, pelanggan dan dengan pemilik bisnes yang lain.

Dan selama saya bergantung kepada Facebook itulah, saya mengutip 3 pelajaran yang amat mahal, dan saya mahu berkongsi pengalaman dengan mereka yang baru memulakan perniagaan atas talian dengan menggunakan akaun Facebook peribadi.

Pengajaran pertama melibatkan kekeliruan tentang jumlah Friends & Followers yang dianggap sebagai penentu jumlah prospek dan nilai jualan yang bakal diperolehi. Salah faham ini banyak didorong oleh pemerhatian saya ke atas personaliti-personaliti Facebook yang saya lihat boleh menjual bermacam-macam produk dan servis kepada rakan- rakan & pengikut mereka. Jadi secara ringkas, ramai yang beranggapan sudah tentunya jumlah rakan dan pengikut yang ramai boleh membantu mereka meningkatkan jualan.

Anggapan ini terlalu cetek dan tidak boleh dijadikan sandaran seperti yang disebut oleh Gary Vee, “Your followers don’t give a shit about you!”. Dan ini ternyata benar sekiranya kita tidak memberi nilai kepada mereka. Setiap penulisan dan perkongsian di Facebook harus terlebih dahulu memberi nilai dan berguna kepada pembaca, dan berlaku komunikasi dua hala bagi mewujudkan kepercayaan. Pembaca yang terdiri daripada Friends & Followers kita di Facebook hanya akan membuat keputusan untuk berurusniaga sekiranya kita mampu memberi nilai tambah dan dilhat boleh dipercayai. Jumlah rakan dan pengikut yang ramai tidak menjanjikan apa-apa sekiranya mereka enggan berhubung dengan kita, tidak mahu membaca apa-apa yang kita tulis atau lebih teruk lagi sekiranya mereka tidak selesa dengan apa yang kita kongsi setiap hari. Jadi saya perlu cari jalan keluar dengan segera.

Saya mengambil langkah menukar strategi penggunaan akaun Facebook peribadi supaya ianya lebih selari dengan tujuan asal saya di situ. Saya sudah memahami sedikit sebanyak pengguna Facebook yang berada di dalam jaringan rakan dan pengikut, jadi saya mula memilih nilai yang saya ingin kongsikan bersama mereka. Perkongsian harian saya sudah tidak lagi kerap seperti dahulu kerana saya lebih berhati- hati menulis topik yang sesuai, memilih perspektif yang unik dan mencari titik persamaan dengan rakan- rakan dan pengikut.  Objektif penulisan di akaun Facebook saya kini berubah daripada mempromosi produk kepada usaha menambah nilai kepada pembaca dengan maklumat, tips dan perkongsian pengalaman yang bermanfaat. Kedengarannya seperti kerja yang membosankan tetapi di sinilah kebolehan untuk menulis dengan baik dan komunikasi yang efektif dapat  saya gunakan sepenuhnya.

Saya juga mendapat satu pelajaran yang mahal bahawa apabila Facebook memberi tekanan kepada pengguna dengan algorithma yang sering berubah-ubah, ia menyebabkan ramai peniaga kecil akhirnya berputus asa kerana tiada sambutan kepada penulisan mereka yang mahu memancing perhatian. Tekanan ini penting untuk Facebook memastikan pengguna bertumpu kepada tujuan bersosial dan bukan menjalankan perniagaan semata-mata kerana Facebook sudah menyediakan perkhidmatan iklan berbayar khas untuk perniagaan. Sebagai pengguna Facebook yang telah lama bermain di saluran ini, saya mengalami tekanan untuk mencuba pelbagai langkah penyesuaian bagi memastikan perkongsian saya tentang bisnes berjaya menembusi Newsfeed rakan dan pengikut. Malangnya masa yang diambil untuk tujuan ini telah menggantikan masa yang lebih penting, yang sepatutnya digunakan untuk mengembangkan jaringan dan peluang bisnes.

Cubaan demi cubaan juga adakalanya menyekat kreativiti dan tidak menambah nilai langsung ke atas perniagaan. Pernah satu ketika, demi meningkatkan penyertaan rakan & pengikut memberi komen kepada penulisan saya, saya terikut-ikut cara ramai orang yang sekadar bertanya soalan- soalan santai, hanya kerana mahukan “engagement” tetapi tidak langsung membawa kepada peningkatan jualan. Bulan demi bulan, masa terbuang begitu saja. Dan sebagai seorang pemilik perniagaan, masa itu wang, dan kedua- duanya merosot hari demi hari.

Pada ketika ini saya juga agak buntu berfikir dan mencari penyelesaian. Tetapi pada masa yang sama saya sudah menyedari bahawa jumlah ribuan rakan dan pengikut ini tidak kesemuanya pedulik tentang apa yang saya ingin sampaikan. Jadi saya bertegas untuk kekal dengan topik yang saya pilih, supaya saya dapat menarik dan mengawal kelompok yang saya perlukan sahaja. Saya lebih memahami yang mana golongan rakan dan pengikut berkualiti berbanding mereka yang sekadar ikut-ikutan sahaja. Saya tidak lagi peduli dengan jumlah Likes, atau berapa ramai yang memberi komen, sebaliknya mula memberi perhatian kepada jenis rakan yang benar- benar memberi perhatian. Di saat orang lain berlumba- lumba menambah jumlah kenalan sehingga penuh kuota 5,000 orang, saya terpaksa akur yang saya perlu bermula semula dari bawah, dan buat perancangan baru.

Dua tahun berlalu apabila saya menyedari tentang kesilapan yang ketiga iaitu saya tidak menetapkan kandungan dan penulisan yang benar- benar memberi nilai kepada rakan dan pengikut di akaun Facebook peribadi saya. Tanpa perancangan tentang topik yang mahu dikongsi, kemunculan kita di Facebook tidak ada bezanya dengan jutaan pengguna Facebook yang lain. Apabila tiada perbezaan dan tiada keunikan, amat sukar untuk kita memberi impak dan menarik perhatian bakal pelanggan yang kita idamkan.

Setiap hari pelbagai topik dan isu akan diperkatakan oleh pengguna Facebook dan seringkali juga kita akan terikut-ikut dengan topik semasa. Keadaan ini akan menyebabkan kita hilang fokus dan topik yang kita pamerkan di akaun peribadi tidak lagi seimbang dan konsisten. Topik yang konsisten penting bagi menentukan jenama peribadi kita dalam jangka panjang, dan apabila prosesnya terganggu, kita mungkin terpaksa mengulang dan bermula semula daripada fasa kosong. Ini amat merugikan masa, tenaga dan tidak membawa pulangan langsung.

Saya membuat analisa yang ada beberapa topik dan isu yang dekat di hati saya, tetapi tidak memberi nilai tambah kepada perniagaan. Jadi saya melakukan satu pemerhatian ringkas selama sebulan dengan memilih lima topik utama. Daripada lima topik ini saya melihat topik yang paling sambutan yang diberikan oleh rakan dan pengikut. Dari situlah saya memilih untuk beri lebih tumpuan berkongsi informasi dan pengalaman berkaitan topik tersebut. Cara ini agak mencabar kerana ada masanya kita tidak dapat melakukannya secara konsisten dan bersungguh- sungguh.

Walaupun setelah mengharungi tiga kesilapan ini, saya tidak pula mahu menutup atau berhenti menggunakan akaun Facebook peribadi, sebaliknya saya telah menyusun pelbagai cara dan mencuba beberapa penyelesaian untuk menggunakan saluran ini dengan lebih baik. Pada pendapat saya, akaun Facebook peribadi masih efektif untuk digunakan sebagai medium sebaran kepada kandungan blog dan Fanpage rasmi perniagaan. Walaupun kesilapan ini memberi impak yang perniagaan saya, saya tetap positif ianya juga satu pengajaran yang sangat berguna untuk lebih berjaya di masa akan datang.