Facebook Untuk Perniagaan Tidak Semudah Yang Disangka

Oleh Azleen Abdul Rahim

RAMAI yang merungut kepada saya, mengapa boleh jadi begini. Mereka sering mendapat jumlah Like yang mencecah ribuan angka, beratus-ratus komen, perkongsian yang juga tinggi dan begitu ramai sekali yang bertanya tentang produk anda, tetapi yang membeli tidaklah seramai yang ‘sepatutnya’. Apakah yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kebarangkalian mereka untuk membeli?

Masalah ini sering wujud di laman Facebook biasanya, kerana rata-rata peniaga kecil hanya tahu menggunakan saluran media sosial ini, dan Facebook pula merupakan saluran yang mempunyai kadar conversion yang paling rendah di antara semua saluran media sosial. Conversion merujuk kepada penukaran daripada status pengunjung kepada pembeli.

Pandangan saya, peniaga-peniaga ini telah melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan di Facebook. Menarik perhatian di internet bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi untuk mendapatkan penularan yang besar seperti senario di atas tadi. Ia sesuatu yang amat positif. Tahukah anda Facebook dan media sosial lain ialah sekadar saluran untuk memberitahu tentang sesuatu dan ia juga mampu menarik trafik untuk datang berkunjung ke laman web ataupun sekurang-kurangnya di akaun media sosial anda? Itu sahaja. Manakala penularan pula boleh terjadi sekiranya kandungan yang mereka baca di media sosial tadi amat bermakna kepada mereka. Jadi pemasaran melalui media sosial dengan mempunyai kandungan yang baik adalah kaedah yang betul.  

Apa yang perlu anda lakukan sekarang ialah mewujudkan proses ‘memujuk’ tanpa kelihatan terdesak orang-orang yang menekan butang Like, yang meletakkan komen mereka dan berkongsi tadi untuk membuat pertimbangan untuk membeli. Jangan bimbang, ada caranya.

Betulkan Butang Call-To-Action Anda. Mungkin anda tidak sedar ramai yang lebih gemar untuk menghantar pesanan ringkas daripada membuat panggilan ataupun menghantar e-mel. Jadi, di laman bisnes Facebook, anda mungkin perlu untuk menukar butang Call-To-Action atau CTA daripada apa yang ada sekarang kepada Hantar Pesanan Ringkas, atau Send A Message. Bagi yang pertama kali mendengar perkataan butang CTA, ia merupakan butang yang terdapat di bahagian atas laman Facebook bisnes anda yang membantu pengguna untuk menghubungi anda secara terus apabila mereka ingin tahu lebih lanjut tentang produk atau perkhidmatan anda di Facebook.

Jawapan Yang Lebih Pantas Dari Pantas. Untuk memastikan jawapan yang lebih pantas daripada biasa, di bahagian Setting anda perlu membuat tetapan kepada Jawapan Automatik atau Auto Reply. Di sini, anda harus memasukkan ayat yang sesuai dan menarik yang memberitahu mereka bahawa pertanyaan mereka anda akan jawab dengan secepat mungkin. Dengan janji ini, sebaik sahaja anda selesai dengan tugas yang tengah anda siapkan, anda perlu terus menjawab pertanyaan tadi. Bina persahabatan yang lebih erat melalui interaksi ini dan anda bakal mempunyai pelanggan anda yang baharu.

Jawapan Yang Lebih Peribadi. Bayangkan sekiranya jenama-jenama di luar sana memanggil anda dengan nama yang betul. Anda pasti teruja dan berasa lebih ‘dekat’ dengan jenama itu bukan? Di bahagian tetapan laman Facebook bisnes, anda boleh membuatkan jawapan anda kepada pertanyaan mana-mana pengguna dengan meletakkan nama pertama pengguna tadi. Dengan kata lain, anda boleh membuatkan Jawapan Automatik anda dalam bentuk yang lebih peribadi atau personalise yang hampir pasti akan mewujudkan rasa ‘selesa’ kepada pengguna yang bertanya.

Khidmat percuma, dan produk percuma. Mungkin anda boleh pertimbangkan untuk mewujudkan produk percuma dengan mana-mana pembelian tertentu. Atau memberikan perkhidmatan percuma setelah pembelian dilakukan. Ini perlu dicanangkan segera agar semua orang tahu tentangnya.

Harga yang bersesuaian. Kita semua tahu, 99 peratus rakyat Malaysia amat sensitif dengan harga. Jadi semahal mana pun produk atau perkhidmatan yang anda ada, keperluan untuk mewujudkan satu produk berstatus tahap permulaan atau entry-level perlu ada. Apakah yang dimaksudkan dengan produk berstatus tahap permulaan ini? Ia merujuk kepada sesuatu produk yang paling murah yang anda ada, yang berstatus mampu milik. Produk seperti ini harus ada agar ia memudahkan para pengguna untuk membuat pembelian pertama mereka. Setelah mereka membeli dan berpuashati dengan produk anda, mereka akan sanggup untuk datang kembali untuk membuat pembelian yang kedua. Kali ini, harga sudah tidak memainkan peranan paling penting lagi, tetapi kepuasan dan kualiti pula akan mengambil alih.