Tidak Mempunyai Bajet Yang Besar: Tidak Ada Masalah. Guna Taktik Ini Untuk Menikmati Potensi Pemasaran Digital Yang Maksimum

Oleh Azleen Abdul Rahim

Kebanyakan syarikat yang berada dalam kategori industri kecil dan sederhana di Malaysia kini mula 'mengikat perut' akibat kemelesetan ekonomi dunia yang semakin teruk. Perbelanjaan yang tinggi yang tidak seimbang dengan kadar jualan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan yang merosot menyebabkan syarikat terpaksa mengambil langkah drastik untuk mengurangkan seberapa banyak kos yang boleh. Pihak pengurusan syarikat amat memerlukan jualan bagi menampung kos-kos tetap yang tidak dapat tidak, perlu dibayar.

Pihak pengurusan syarikat pula dalam keadaan dilema. Untuk mendapatkan jualan pula, peruntukan kewangan perlu ada. Sekiranya ini dicantas, maka pasukan pemasaran digital tidak dapat menjalankan kerja mereka dengan baik dalam misi mereka mendapatkan perhatian pasaran dan seterusnya jualan produk. Sekiranya tidak dikurangkan pula, kantung syarikat pula tidak mampu lagi untuk menampung kos operasi pemasaran digital yang ada.

Taktik-taktik di bawah boleh digunakan dengan baik kerana kesemuanya adalah percuma. Ia mampu membantu anda meneruskan kerja-kerja pemasaran digital tertentu dalam keadaan yang sukar pada masa ini.

Gunakan blog bagi mendapatkan kedudukan atau ranking yang tinggi di enjin pencarian Google, Bing atau Yahoo. Fokus kepada dua strategi ini untuk memastikan kedudukan atau ranking laman web anda berada pada tahap tertinggi di enjin pencarian Google. Jangan risau, kedua-dua taktik ini adalah percuma. Pertama, pastikan anda menulis blog secara berterusan dan konsisten setiap minggu. Kalau tidak mampu menulis satu blog sehari pun tidak mengapa, tetapi ia perlu dilakukan sekurang-kurangnya satu atau dua kali seminggu. Tulis secara konsisten, maksudnya sekiranya anda mampu menulis sekali seminggu jadi tulis sekali seminggu secara berterusan. Ini penting untuk algoritma Google yang datang bertandang ke laman web anda dapat mengindeks kesemua kata kunci atau keywords yang ada pada penulisan anda tadi.

Gunakan Canva untuk melukis poster dan infografik. Perisian percuma memang di antara perisian yang paling berguna yang pernah dihasilkan. Ia boleh diakses melalui laman web dan juga aplikasi, dan ini menjadikan ia paling mudah untuk digunakan walaupun pengguna itu bukan seorang perekabentuk grafik. Apa yang perlu anda lakukan ialah akses Canva dan berdaftar sebagai pengguna. Kemudian anda akan lihat beberapa pilihan rekabentuk yang boleh digunakan untuk membina apa jua kandungan yang ingin anda lakukan. Dari poster, infografik, kulit album dan presentation slide, kepada pembinaan kandungan untuk dimuatnaik di media sosial, merekabentuk resume, logo, kad perniagaan dan sebagainya. Hampir kesemua jenis kandungan boleh direkabentuk di perisian ini – dan ini semua percuma.

Ambil kesempatan ke atas video yang dirakam, video secara langsung atau live video. Anda tahu video kini memang di antara kandungan yang paling diutamakan di semua rangkaian media sosial. Mereka amat dahagakan video berbanding status-status lain seperti penulisan blog dan infografik. Ini kerana di luar sana peperangan sengit tengah melanda di antara YouTube yang dimiliki Google, SnapChat, Periscope yang dimiliki Twitter, Facebook Live dan Instagram kepunyaan Facebook. Keempat-empat gergasi media sosial ini masing-masing memerlukan video tidak kira sama ada ia dirakam ataupun secara langsung sebagai peluru untuk peperangan mereka.

Cuba anda muatnaik video yang telah dirakam ataupun merakamkan video secara langsung dalam rangkaian media sosial kegemaran anda. Hampir pasti anda akan menikmati kadar reach yang luar biasa tinggi berbanding kandungan lain yang pernah anda muatnaik sebelum ini. Malah, video anda yang dirakam secara langsung itu tadi akan diberikan perhatian istimewa apabila platform media sosial anda itu tadi sanggup menghantar pemberitahuan atau notification kepada semua pengikut anda di media sosial itu. Sampai begitu sekali pentingnya kandungan video. Kalau anda tidak percaya, cubalah. Dan kelebihan ini diberikan percuma lagi.

Jemput semua pelanggan dan rakan niaga berdasarkan alamat e-mel di kad perniagaan mereka yang ada dalam simpanan anda untuk melanggan laman web syarikat anda segera. Saya yakin anda tentu menyimpan beratus-ratus atau beribu kad perniagaan pelanggan dan rakan kongsi anda. Ada yang lama dan ada juga yang baru anda dapat sebentar tadi. Yang pasti, membiarkan kad-kad perniagaan ini berabuk adalah sesuatu yang sangat tidak wajar. Ini kerana terdapat maklumat penting di dalam kad perniagaan mereka yang amat bernilai harganya – alamat e-mel. Kumpul kesemua alamat e-mel yang ada dalam satu senarai dahulu. Kemudiannya anda boleh gunakan alamat-alamat e-mel yang ada untuk memberitahu mereka yang langganan mereka di laman web syarikat anda amat dialu-alukan. Ceritakan mengapa mereka perlu melanggan dan mengikuti setiap perkembangan syarikat, pendapat, pandangan dan juga pemerhatian syarikat tentang industri anda secara lebih spesifik melalui penulisan blog.

Naikkan jumlah perkongsian status-status media sosial anda dengan memberikan petua-petua yang bernas berdasarkan industri anda. Cuba hentikan atau kurangkan memuatnaik status-status yang tidak berguna kepada pengikut media sosial anda. Mereka tidak gemar dengan apa yang anda muatnaik selama ini. Apabila mereka tidak gemar, mereka tidak akan kongsikan kepada rakan-rakan mereka. Sebaliknya, mereka akan terbuka hati untuk berkongsi sesuatu sekiranya apa yang mereka lihat dan baca adalah sesuatu yang memberikan manfaat kepada mereka, sesuatu yang bermain dengan emosi mereka ataupun sesuatu yang mereka akan berasa rugi sekiranya tidak kongsikan status yang anda muatnaik tadi. Cuba anda fikirkan status dan kandungan yang bagaimana yang mampu menarik perhatian mereka yang bakal membuatkan mereka kongsikannya.

Pernah dengar tentang Google Plus? Tidak banyak jenama terutamanya di Malaysia yang membuka akaun di rangkaian media sosial Google Plus atauGoogle+ yang dimiliki oleh Google ini. Ia tidak begitu popular sebagai saluran media sosial yang hebat seperti Facebook, Twitter dan LinkedIn tetapi ia amat penting untuk jenama anda dijumpai di enjin pencarian Google. Sekiranya anda dapati kedudukan anda tidak begitu baik pada ranking Google, kini tibanya untuk anda aktif di Google+. Muatnaik seberapa kerap dan konsisten yang boleh di Google+ dan anda akan dapati yang jenama anda akan berapa di mukasurat teratas Google walaupun SEO anda tidak begitu kuat. Google+ mampu membantu anda atasi kelemahan SEO anda.