Adakah Betul Keputusan Ini?

Oleh Azleen Abdul Rahim

Ini adalah soalan yang biasa akan bermain-main di minda bakal pembeli ketika berdepan dengan situasi atau semasa hendak membeli sesuatu jenama. Sekiranya sesuatu produk yang mempunyai strategi penjenamaan yang baik, proses pembelian akan menjadi lebih tenang dan berjalan dengan licin. Ini berlaku sekiranya jenama produk yang bakal mereka beli itu tidak begitu terkenal atau kukuh.

Lihat sahaja jenama-jenama besar seperti Apple, Nike, Hard Rock dan AirAsia contohnya. Para pembeli tidak berfikir panjang untuk membeli dan sanggup menyimpan wang yang besar untuk jenama ini. Mengapa? Kerana mereka memang mahu membeli jenama ini sebelum hari pembelian dilakukan. Kerana mereka tahu jenama ini akan memberikan mereka berasa cool, muda, cantik, selesa, dihormati, hebat dan sebagainya. Kerana kepuasan yang bakal mereka perolehi tidak akan terdapat dari mana-mana jenama lain. Ataupun mungkin juga kerana logo jenama tersebut yang nampak ummppphhh.

Adakah harga satu faktor yang penting? Ya, harga sememangnya penting dalam pembuatan sesuatu keputusan tetapi kepuasan yang mereka bakal perolehi jauh lebih penting dan utama berbanding kos produk yang bakal dibayar. Lihat sahaja bagaimana panjangnya orang ramai yang sanggup beratur panjang ketika produk terbaharu iPhone keluar di pasaran. Walaupun terdapat lambakan produk-produk telefon pintar daripada jenama-jenama lain terutamanya dari negara China, namun peminat tegar tetap dengan keputusan mereka untuk membeli produk Apple walaupun harganya jauh lebih mahal.