8 Perkara Ini Menunjukkan Strategi Pemasaran Digital Anda Mempunyai Masalah Yang Serius

Oleh Azleen Abdul Rahim

Anda perlu memberi pertimbangan serius untuk mendapatkan perspektif pihak ketiga di luar syarikat anda sebelum terlambat untuk membetulkan kembali strategi pemasaran digital anda sekiranya terdapat tanda-tanda di bawah:

  1. Pengikut media sosial anda adalah rakan-rakan anda sahaja. Ini sesuatu yang menyedihkan. Sepatutnya jenama anda diikuti oleh bakal-bakal pelanggan dan bukan sekadar rakan, jiran tetangga dan pekerja sahaja.
  2. Orang ramai masih lagi bertanya perniagaan apa yang syarikat anda lakukan sebenarnya. Orang ramai dan komuniti bisnes di sekeliling anda masih lagi tidak pasti perniagaan apa yang anda lakukan. Ini menunjukkan penjenamaan anda masih lagi pada tahap lemah gemalai.
  3. Anda meletakkan tanggungjawab pengendalian pemasaran digital, pengurusan media sosial dan laman web syarikat anda ditangan pelajar latihan industri, siswazah yang baharu mula bekerja ataupun pekerja veteran yang kurang membaca. Ini tidak wajar dilakukan kerana golongan pelajar yang datang menjalankan latihan industri di syarikat anda pun masih lagi tercari-cari arah kehidupan profesionalnya sendiri. Walaupun dia mempunyai akaun rangkaian media sosial dan aktif setiap hari di dalamnya, tidak bermakna dia mahir dengan permainan media sosial dan pemasaran digital untuk perniagaan. Apa tah lagi meletakkan tanggungjawab yang besar bagi mencapai objektif syarikat. Pepatah Inggeris ada mengatakan, you pay nuts you’ll get monkey. Para pekerja yang terlalu veteran juga tidak sepatutnya dijadikan pemasar digital anda. Memandangkan tabiat mereka yang tidak begitu biasa dengan internet, ini sudah pasti akan mengundang masalah kepada syarikat anda nanti. Jangan biarkan jenama anda dijadikan bahan ketawa di luar sana.
  4. Laman media sosial anda hanya penuh dengan katalog dan gambar-gambar produk sahaja. Menjual menjual dan menjual. Sesiapa pun termasuk anda, saya dan semua orang tidak akan suka berkongsi sesuatu yang terlalu menjual. Ia terlalu membosankan.
  5. Anda dan pekerja yang mengendali pemasaran digital anda pun tidak pasti apa objektif sebenar jenama anda berada di internet. Apakah tujuan sebenar anda berada di internet, di media sosial dan mempunyai laman web? Kalau tidak pasti maka anda perlu akui yang anda perlu mendapatkan bantuan segera.
  6. Syarikat anda tiada laman web, atau yang ada laman web tetapi sudah lama tidak dikemaskini. Laman web sebenarnya boleh diibaratkan sebagai sebuah kedai. Kalau ada para pengunjung yang lalu di hadapan kedai anda tetapi tidak berminat langsung untuk masuk, cuma lalu sambil melihat dari luar sahaja apa yang kedai anda ada, maka anda perlu lakukan sesuatu. Untuk mendapatkan jualan anda perlu memastikan para pengunjung lalu, masuk ke dalam kedai anda dan bertahan di dalamnya selama mungkin. Barulah kebarangkalian untuk mereka membeli akan meningkat.
  7. Menggabungkan tanggungjawab pemasaran digital ke atas pasukan jualan. Jualan dan pemasaran adalah dua tanggungjawab berbeza. Malah latar belakang dan cara menjalankannya juga jauh berbeza. Adakah sesuai anda meletakkan tanggungjawab pemasaran digital kepada pasukan jualan anda, atau sebaliknya? Tepuk dada tanya selera.
  8. Anda sebagai pemilik syarikat ataupun pihak pengurusan syarikat juga tidak pasti bagaimana untuk merekabentuk strategi dan arahtuju yang sepatutnya untuk pasukan pemasaran digital anda sendiri. Sebagai pemilik syarikat anda mungkin tahu arahtuju syarikat secara keseluruhannya, tetapi kepakaran untuk memasarkan secara digital sudah pasti bukan salah satu daripadanya. Apa tah lagi untuk meletakkan strategi dan arahtuju yang sesuai dalam membantu strategi perniagaan anda secara keseluruhannya.

Senarai di atas merupakan simptom-simptom utama yang menunjukkan strategi pemasaran digital anda mempunyai masalah yang serius. Walaupun nampak senario tadi agak mudah dan kelakar, tetapi ini adalah realiti yang dihadapi oleh syarikat-syarikat kecil dan sederhana terutamanya di Malaysia.

Pelaburan syarikat kini sudahpun mencecah ratusan ribu malah mungkin juga berjuta ringgit setakat ini. Sudah pasti anda perlukan pelaburan tadi kembali ke dalam syarikat dalam masa tertentu. Namun dengan permasalahan di atas, nampaknya agak sukar untuk anda mendapatkan kembali pelaburan yang telah dikeluarkan kecuali dengan menyelesaikannya terlebih dahulu. Sekiranya ini tidak ditangani segera, ia bakal mengundang masalah yang jauh lebih besar kepada syarikat anda kerana secara langsung strategi pemasaran digital yang sedia ada tidak menyumbang kepada apa-apa jualan. Syarikat sudah pasti tidak akan bertahan lama sekiranya tiada sebarang jualan, dan tiada jualan maka tiadalah keuntungan.

Sebelum terlambat, lakukan sesuatu.