Guna Taktik Pemasaran Digital Ini Untuk ‘Paksa’ Orang Membaca Status Media Sosial Yang Di Muatnaik

Oleh Azleen Abdul Rahim

Setiap kali anda membuka laman media sosial kegemaran anda melalui telefon pintar dan melihat status-status terbaru yang dimuatnaik oleh jenama-jenama dan kenalan yang anda ikuti, pasti tidak kurang dari 10 status terkini yang anda akan nampak  dimuatnaik. Biasanya ia akan mencecah lebih 25-40 status sebenarnya bergantung kepada jumlah individu dan jenama yang anda ikut. Dan kebanyakan status ini biasanya jenis yang agak ‘masuk air’ dan tidak serius. Ia sesuai sebagai bahan bergelak ketawa bagi melupakan masalah kehidupan harian dan tidak lebih dari itu. Status sebegini juga langsung tidak membantu anda dalam menghadapi kehidupan harian dan juga profesional. Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube mempunyai banyak status-status sampah sebegini. Bukan untuk bergelak ketawa sahaja, terdapat juga status yang berbentuk kutukan, hinaan, cabar-mencabar yang berbaur politik dan video-video tular yang tiada penghujungnya.

Berbeza pula di LinkedIn, yang juga mempunyai ‘sampah’nya yang tersendiri. Banyak status yang menceritakan bagaimana hebatnya diri sendiri, poster yang dikitar semula, pendapat-pendapat yang bernas tetapi tidak realistik, sibuk dengan benda-benda masa hadapan yang terlalu jauh dan lupakan tentang kehidupan mereka hari ini, perkataan dan istilah yang terlalu teknikal agar nampak hebat serta pelbagai lagi. Bagi sesetengah individu, ini penting agar penjenamaan diri sendiri dilihat sebagai pemimpin dan pakar dalam bidang tertentu supaya diterima oleh golongan-golongan elit industri mereka.

Status-status begini yang anda sering lihat setiap kali ada berada di alam maya. Bagi pemasar digital, ini semua dikenali sebagai noise, atau benda-benda menyumbang kepada keadaan bising. Ia dikatakan sebegitu kerana apabila keadaan menjadi bising, tumpuan kita kepada perkara yang benar-benar penting akan terganggu. Di laman media sosial, status-status yang penting sering akan terlepas pandang walaupun kandungan yang dimuatnaik itu sangat berharga. Tidak banyak jenama yang tahu bagaimana untuk mengatasi masalah ini selain daripada membayar rangkaian media sosial dan mengiklan produk mereka agar sentiasa kelihatan dimana sahaja setiap masa. Ini satu kaedah yang baik tetapi mahal.

Jadi, sebagai jenama industri kecil yang tidak mempunyai peruntukan yang besar untuk pemasaran digital apa perlu yang anda lakukan untuk memastikan pembaca yang sering ‘berjalan-jalan’ di Newsfeed berhenti dan membaca status anda yang akhirnya akan membuatkan mereka tertarik dengan jenama dan seterusnya ke laman web anda?

Ada caranya, guna dua strategi ini.

Muatnaik status yang menceritakan tentang Bagaimana Untuk… . Anda perlu lebih menitikberatkan status atau kandungan digital yang berbentuk Bagaimana Untuk, Guna Langkah-Langkah Ini Untuk, 4 Cara Terbaik Bagi dan yang sewaktu dengannya. Dalam Bahasa Inggeris, ini dikenali sebagai How-To. Tulis sesuatu yang dapat membantu pembaca dan orang ramai menyelesaikan sesuatu masalah, memudahkan kehidupan mereka, meringankan beban tentang sesuatu, menambahkan pendapatan dan sebagainya. Tetapi ingat, ia perlu sesuai dengan industri anda dan tidak tersasar jauh. Mengapa ia perlu sesuai dengan apa yang anda jual? Kerana anda mahu mereka secara tidak sedar tahu dan faham yang produk anda mampu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi sekarang. Pastikan juga petua-petua yang ditulis itu tidak terdapat di mana-mana, agar tiada kegiatan plagiat dilakukan.

Muatnaik status yang berbentuk statistik yang spesifik tetapi relevan. Diluar sana, ramai yang tidak sedar yang mereka amat gemar membaca sesuatu yang mereka tidak tahu. Ini adalah realiti. Kebanyakan jenama besar tahu tentang perkara ini, dan mereka mengambil kesempatan untuk dapatkan perhatian melalui status dan kandungan yang berbentuk infografik dan statistik. Jenama-jenama ini sering menerima jumlah respon yang tinggi kerana maklumat yang mereka sediakan ini amat berguna yang tidak pernah dilihat dimana-mana. Penggunaan visual seperti statistik dan infografik ini amat-amat berkesan. Anda boleh menggunapakai taktik yang sama bagi mendapatkan perhatian bagi jenama anda.

Sekiranya anda tidak mempunyai komuniti yang besar yang mengikuti anda di laman sosial, anda perlu mempunyai kandungan yang berbentuk visual untuk memudahkan kandungan atau status anda menarik perhatian pembaca berhenti pada status anda ketika melayari media sosial berbanding status yang berbentuk tulisan. Sebaliknya, kalau anda sudahpun mempunyai jumlah komuniti yang besar, status yang berbentuk penulisan juga mampu menarik perhatian mereka sama seperti kekuatan penggunaan visual.