Bahasa Malaysia

Strategi Pembinaan Laman Web Yang Terbaik, Gunakan Taktik Ala IKEA

Ia direka bukan tanpa tujuan, tetapi ia bagi memastikan anda akan lalu di setiap pelosok kedai mereka, mencuba setiap apa yang mereka tunjukkan dan yang paling penting sekali memastikan juga anda berada di dalamnya selama mungkin.

Sekiranya anda pernah ke IKEA, anda pasti akan berada di sana tidak kurang 2 jam ataupun lebih. Ini kerana bukan sahaja anda teruja untuk ke sana setiap kali perkataan IKEA disebut, ia menyediakan satu pengalaman membeli-belah perabot yang tidak terdapat di mana-mana walaupun terdapat beberapa pesaingnya cuba untuk memberikan yang sama.

Sebaik sahaja anda melangkah ke IKEA, susunan perabot dilakukan dengan begitu teliti sekali, dan mereka menggunakan khidmat pereka dalaman bagi memastikan setiap susunan itu menarik. Mengapa ia perlu menarik? Di IKEA, mereka menjual idea atau buah fikiran kepada anda bagaimana cara yang paling efektif untuk mempunyai rekabentuk dalaman rumah yang selesa, tenang dan kondusif. Apabila anda ‘terbeli’ dengan apa yang anda lihat, maka dengan sendirinya anda akan membeli barangan IKEA kerana produk IKEA sahaja yang mampu memberikan apa yang anda ‘hendak’ untuk kediaman anda. Mereka tidak menjual produk, tetapi mereka membuatkan anda membeli produk mereka.

Anda juga perlu menggunakan laluan yang telah direka agar anda dapat meneroka IKEA tanpa perlu berfikir panjang. Ia direka bukan tanpa tujuan, tetapi ia bagi memastikan anda akan lalu di setiap pelosok kedai mereka, mencuba setiap apa yang mereka tunjukkan dan yang paling penting sekali memastikan juga anda berada di dalamnya selama mungkin. Kalau boleh dari pagi sampailah ke malam.

Mengapa?

Kerana apabila anda berada lebih lama lagi di IKEA, kebarangkalian untuk anda membeli sesuatu produk dari mereka adalah sangat tinggi. Lebih lama, lebih tinggi peluang yang ada. Ataupun setidak-tidaknya, anda pasti akan membawa pulang pensel kayu yang pendek itu dan juga menyilok pembaris kertas yang berada di sana. Jangan tipu, di rumah anda pasti ada kedua-dua benda ini dan bersepah di sana-sini betul? IKEA memang mahu anda membawa pulang pensel dan pembaris itu dengan harapan saudara-mara, sahabat handai dan rakan-rakan yang datang ke rumah anda akan juga melihat logo dan nama IKEA tertera di pensel dan pembaris kertas tadi. Mereka mahu nama mereka terpampang di mana-mana sahaja bakal pelanggan mereka berada. Walaupun IKEA hanya wujud di beberapa lokasi sahaja, namun di Malaysia semua orang tahu dan pernah dengar tentang IKEA. Ini yang IKEA lakukan pada anda setiap kali anda berada di sana. Paling kurang mesti berjam-jam lamanya. Sedar tak sedar anda telah membawa pulang sesuatu dari IKEA.

Sekarang cuba bayangkan kedai IKEA tadi adalah laman web anda. Tahukah anda selagi para pengunjung laman web anda berada di dalamnya, kebarangkalian mereka untuk membeli produk atau perkhidmatan anda semakin tinggi? Dan mereka hanya akan kekal di dalamnya sekiranya ia direkabentuk dan disusun dengan lebih bersih, cantik dan mudah untuk diterokai. Kandungan-kandungan yang ada mampu memberikan idea, buah fikiran atau sesuatu yang memberikan manfaat kepada para pengunjung laman web anda untuk kehidupan peribadi dan profesional mereka agar menjadi lebih baik dari hari ini.

Cuba anda lihat laman web anda ketika ini, adakah anda berasa selesa berada di dalamnya setelah 7-8 minit atau sudah pun berasa sesak nafas dan ingin keluar?