Mengapa Semua Universiti Di Malaysia Perlu Melabur Dalam Pemasaran Digital Sekarang Sebelum Terlambat

Oleh Azleen Abdul Rahim

Universiti-universiti di seluruh Australia telah melabur hampir 1.7 billion dollar Australia (RM 5.1 billion) dalam aktiviti pemasaran sepanjang tujuh tahun kebelakangan ini. Pelaburan besar ini dilakukan semata-mata bertujuan bagi menarik bukan sahaja para pelajar dari seluruh dunia untuk datang belajar di Australia, tetapi juga para eksekutif profesional luar bagi mengukuhkan pentadbiran universiti mereka untuk mencapai status global. Jumlah pelaburan ini dilaporkan oleh portal Sky News pada 9 September 2017 yang lalu.

Saya amat tertarik dengan jumlah pelaburan tersebut yang diletakkan khusus untuk pemasaran dan tidak kepada yang lain. Menurut artikel Sky News itu lagi, mereka bersungguh-sungguh memastikan bukan strategi pemasaran digital dilakukan dengan lebih baik, tetapi juga pemasaran bentuk lain seperti pengiklanan, penajaan, pembangunan semula penjenamaan, pembinaan logo dan slogan baharu dan pengedaran kandungan-kandungan dilakukan dengan agresif yang dibuat ke seluruh dunia termasuklah ke Malaysia. Tanpa pelaburan sebegini, Australia tidak akan mencapai status sepertimana sekarang. Negara kangaru ini kini merupakan salah satu negara utama pendidikan tinggi dunia setaraf dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Bukan sahaja pusat pengajian tinggi di Australia kini dipandang tinggi oleh para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi mereka, universiti-universiti ini juga kini menikmati hasil dari pelaburan mereka dalam bentuk keuntungan yang besar. Ini secara tidak langsung menunjukkan tahap pemikiran pengurusan mereka yang matang. Mereka telah membuat keputusan yang amat bijak kerana mengutamakan aktiviti pemasaran berbanding yang lain.

Saya mengatakan bijak kerana mereka tahu di mana pelaburan yang sepatutnya dilakukan. Mereka tahu dengan fokus yang diberikan kepada pemasaran ia bakal memberikan pulangan yang sepatutnya, dan tidak akan hangus terus. Malah pulangan tersebut bakal dinikmati dengan kadar segera dengan jumlah yang jauh lebih besar lagi berbanding jumlah pelaburan yang dibuat. Dan bahagian yang paling utama yang sepatutnya diperuntukkan sumber kewangan untuk dilaburkan ialah Pemasaran.

Saya tidak rasa mereka mempunyai peruntukan yang amat besar setiap tahun. Saya berpendapat peruntukan mereka juga ada batasnya, namun yang membezakannya ialah keputusan yang dilakukan mengenai arahtuju peruntukan yang ada ini harus dibelanjakan. Kualiti keputusan tentang peruntukan kewangan pula amat jauh berbeza di Malaysia.

Saya secara peribadi berpendapat bahawa pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia tidak kira yang dimiliki kerajaan mahupun swasta, perlu mengambil perhatian yang serius tentang perkara ini. Kita perlu tahu bagaimana hendak membuat keputusan yang lebih berkualiti, perlu juga tahu merancang objektif dan strategi pemasaran masing-masing untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Dalam masa yang sama, persoalan-persoalan ini juga perlu dijawab dengan jujur:

Adakah strategi pemasaran yang ada mampu membawa universiti kita ke persada antarabangsa ?

Adakah universiti kita bersedia untuk perhatian dunia, dari aspek infrastruktur, mentaliti, proses, kualiti jurusan-jurusan yang ditawarkan dan sebagainya?

Adakah kita membelanjakan wang peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada pemasaran, diberikan kepada bahagian-bahagian lain yang bukan sahaja tidak berimpak tinggi tetapi tidak memberikan pulangan sewajarnya?

Berdasarkan kepada interaksi yang saya dengan rakan-rakan akademik di seluruh negara, kebanyakan universiti di negara ini tidak mempunyai peruntukan kewangan yang mencukupi bagi tujuan pemasaran. Ada pula universiti yang mempunyai peruntukan pemasaran yang hampir tidak wujud. Kegilaan apakah ini?

Nampaknya selama ini kita amat bergantung harap kepada pihak kerajaan pusat dan negeri sahaja untuk mendapatkan para pelajar terutamanya dari luar negara. Dalam masa yang sama, setiap universiti akan bersaing sama sendiri bagi merebut para pelajar tempatan yang ada. Strategi lemah sebegini tidak akan membawa kita ke mana-mana. Kita akan terus kekal dengan kekangan kewangan dari tahun ke tahun, yang akan berterusan sampai bila-bila.

Apa yang boleh universiti kita lakukan bagi menarik para pelajar dan eksekutif profesional luar negara sama seperti apa yang dilakukan di Australia?

Ini boleh dilakukan sekiranya universiti kita sedikit kreatif dalam merangka pelan pemasaran mereka dan tidak perlu berbelanja sehingga berjuta-juta ringgit setahun untuk ini. Kini tiba masanya untuk kita mulakan strategi baharu yang lebih berimpak tinggi. Mulakan dengan merangka keseluruhan strategi universiti anda dengan strategi pemasaran digital terlebih dahulu. Kemudian baharulah diikuti dengan strategi penjenamaan yang jauh lebih baik dari sekarang, strategi operasi yang lebih berkualiti dan mudah, strategi khidmat pelanggan yang lebih berdaya saing, strategi penawaran kursus-kursus yang lebih sesuai, strategi infrastruktur yang lebih baik, strategi kewangan yang lebih seimbang dan sebagainya.

Ubah strategi universiti kita yang telah lapuk ini kepada yang lebih baik. Tolonglah, kita bukan lagi berada di tahun 1980 tetapi 2017. Ambil kesempatan ke atas kepakaran orang lain untuk membantu anda dan jangan terlalu bergantung kepada kepakaran diri sendiri sahaja. Perspektif dari luar juga amat penting untuk kita maju ke hadapan. Strategi pemasaran digital yang berkualiti tidak menggunakan pelaburan yang besar tetapi ia mampu memberikan daya saing yang besar jauh lebih baik dari apa yang terhasil sekarang.