Bahasa Malaysia

Bagaimana Saya Lalui 9 Bulan Ujikaji Penjenamaan Peribadi

Dengan ketiadaan ilmu pemasaran, apatah lagi pengetahuan tentang penjenamaan, kami mencari punca jualan merosot dan dengan mudah kami simpulkan bahawa pasaran sudah tepu, terlalu ramai yang berniaga, dan produk sudah tiada lagi permintaan.

Dalam tahun 2012 apabila saya mula menggunakan platform media sosial untuk berniaga, istilah penjenamaan peribadi masih belum pernah saya dengar. Ketika itu, setiap hari saya dan rakan- rakan mengambil langkah paling mudah untuk berniaga di Facebook iaitu dengan membuat hard selling. Kami tawarkan produk, kami gembar- gemburkan kelebihan produk, dan kami berjaya membuat jualan.

Kami bernasib baik ketika itu kerana belum ramai rakan dan kenalan yang berniaga di Facebook jadi kami dapat membuat jualan setiap hari dan berkongsi jaringan kenalan dengan selesa. Tiga tahun berlalu, kami leka dengan cara mudah ini dan tiba- tiba kami tersentak apabila jualan merosot dan terus merosot.

Dengan ketiadaan ilmu pemasaran, apatah lagi pengetahuan tentang penjenamaan, kami mencari punca jualan merosot dan dengan mudah kami simpulkan bahawa pasaran sudah tepu, terlalu ramai yang berniaga, dan produk sudah tiada lagi permintaan.

Pengalaman ini adalah pelajaran paling mahal saya lalui sepanjang saya saya berniaga atas talian, dan bila saya kenangkan kembali kesannya kepada perniagaan dan juga motivasi saya yang jatuh merudum ketika itu, menjadikan saya tidak berhenti mencuba pelbagai jalan untuk kembali membina jenama diri di media sosial. Dan saya telah mengenalpasti lima langkah penting yang mesti diambil dalam kita merangka jenama diri kita yang baru di media sosial.

Awal tahun ini saya mula memerhatikan kumpulan audien yang saya mahukan untuk memulakan penjenamaan semula diri saya sendiri di Facebook. Ada 3 kumpulan utama di dalam Facebook yang sering berkomunikasi dengan saya. Kumpulan pertama ialah kenalan dan rakan- rakan yang pernah menjadi pelanggan dan sudah pun menjadi rakan kongsi perniagaan. Kumpulan kedua ialah kenalan baru yang ada potensi untuk jadi pelanggan  dan rakan kongsi perniagaan. Kumpulan ketiga ialah rakan- rakan dan kenalan yang juga berniaga produk dan perkhidmatan yang serupa atau lebih kurang sama dengan saya.

Langkah seterusnya yang saya ambil ialah mengenal pasti gain and pain mereka. Saya perlu tahu apakah yang boleh saya tawarkan agak mereka peroleh keuntungan atau gain dengan mengikuti konten saya di Facebook, dan saya perlu tahu bagaimana saya boleh menawarkan produk atau perkhidmatan bagi membantu mereka mengatasi masalah atau pain yang dihadapi.

Saya perhatikan setiap kumpulan ada pain and gain yang berbeza, dan sudah tentu saya tidak boleh selesaikan setiap satu masalah mereka. Kepelbagaian ini menyebabkan setiap kali saya menulis di Facebook, saya akan mendapat respon yang pelbagai. Adakalanya penulisan saya langsung tiada respon, dan adakalanya respon akan mendapat lebih perhatian daripada kumpulan pertama dan langsung tidak dipeduli oleh kumpulan kedua. Ianya langsung tidak seragam dan memeningkan kepala saya untuk merancang kandungan Facebook harian. Saya mahu menghasilkan kandungan yang mendapat perhatian yang seragam daripada ketiga- tiga kumpulan.

Untuk mengetahui samada saya berjaya atau tidak menyediakan konten yang boleh menyeragamkan pain and gain kumpulan- kumpulan ini, saya telah melaksanakan beberapa percubaan menulis beberapa topik dan melihat samada saya mendapat respon yang sesuai dengan objektif saya untuk ketiga- tiga kumpulan.

Jenis kandungan yang pertama saya buat percubaan ialah berbentuk tips dan panduan menggunakan blog sebagai cara memulakan perniagaan atas talian. Saya berkongsi cara- cara ringkas membangunkan blog, cara memilih kandungan blog, cara menggunakan teknik pemasaran emel, dan bagaimana saya membina perniagaan atas talian dengan menggunakan blog peribadi. Saya memilih kandungan ini kerana saya berpendapat, jika saya boleh menarik minat ramai orang untuk mulakan perniagaan mereka di blog, mereka adalah calon rakan kongsi saya yang paling baik.

Namun begitu apabila saya lakukan percubaan ini selama sebulan saya dapati ini bukan topik yang sesuai dan tidak boleh mendapat respon seragam daripada ketiga- tiga kumpulan yang telah saya kenalpasti.

Tips dan panduan blogging yang saya kongsi, hanya mendapat sambutan di kalangan pesaing saya sahaja. Dan walaupun tips yang saya kongsi dapat menyelesaikan masalah mereka, namun saya tidak dapat menawarkan apa- apa pun selepas itu kerana produk dan perkhidmatan saya bukan di dalam servis membina blog ataupun khidmat konsultansi SEO.

Saya juga mendapati saya tidak boleh memberi panduan yang lebih terperinci apabila mereka mengajukan soalan atau pandangan yang di luar kemampuan saya kerana saya sendiri masih lagi belajar. Pengalaman bertahun-tahun memiliki blog tidak bermakna saya mampu memberikan tips dan panduan yang baik, jadi saya putuskan bahawa konten jenis ini perlu saya hentikan dan mencuba topik yang lain pula.

Topik kedua yang saya pilih ialah perkongsian bahan bacaan kegemaran saya. Saya telah memilih dua buah buku self help yang popular, dan setiap hari saya akan kongsi ringkasan daripada setiap bab. Saya lakukan ini selama lebih sebulan dan saya berjaya mengumpul pengikut yang menunggu kandungan terkini daripada bab-bab di dalam buku tersebut setiap hari.

Namun begitu sambutannya masih tidak memuaskan hati saya. Apa yang saya mahu ialah supaya ketiga-tiga kumpulan sasaran tadi memberikan respon yang sama. Walaupun setiap kumpulan sasaran ada memberikan maklumbalas dan menyukai konten tersebut, jumlahnya jauh lebih kecil berbanding sambutan terhadap tips dan panduan menulis blog.

Selesai saja saya berkongsi dua buah buku, saya lantas membina satu siri emel khas dan saya umumkan kepada mereka supaya mengisi saja emel di blog saya untuk terima rumusan buku-buku tersebut di dalam emel. Selepas itu saya terus berhenti menulis kandungan jenis ini di Facebook saya.

Dalam kedua-dua percubaan ini, saya dapati jumlah rakan dan kenalan yang mahu berkongsi penulisan saya itu juga tidak memberangsangkan. Kesemua kandungan Facebook saya untuk kedua-dua topik jarang dikongsi oleh orang lain, dan ianya tidak tersebar luas. Jumlah rakan baru dan pengikut di Facebook juga tidak ada perubahan dan saya membuat kesimpulan bahawa kedua- dua topik ini gagal menepati objektif saya untuk menyediakan kandungan yang mendapat perhatian seragam, menjadi sebutan dan mahu dikongsi oleh ketiga- tiga kumpulan sasaran.

3 bulan lepas saya mencuba satu lagi topik, masih dalam usaha mahu mendapat perhatian yang seragam daripada kumpulan sasaran yang berbeza. Saya yakin topik ini boleh menarik perhatian, samada pelanggan tetap, bakal pelanggan dan juga bakal rakan kongsi perniagaan. Selepas sebulan saya menjalankan ujikaji, bukan saja pengikut dan rakan baru bertambah, penulisan saya juga telah mula tersebar luas sehingga dijadikan rujukan pula.

Topik ini jika dilihat secara umum adalah sangat klise kerana ianya bertemakan kempen kesihatan sahaja. Dalam bidang perniagaan saya sebagai pengedar produk kesihatan, sememangnya topik ini terlalu biasa ditulis oleh ramai orang lain juga. Namun saya tetap mahu mencuba dengan mengolahnya sendiri dan saya namakan kempen ini sebagai Cabaran 30 Hari Tanpa Gula atau 30 Days No Sugar Challenge.

Saya menambah 3 perkara dalam percubaan kali ketiga ini. Yang pertama, saya tetapkan kempen ini dalam jangka masa 30 hari.  Yang kedua, saya tetapkan satu tingkahlaku yang spesifik untuk menarik perhatian ramai iaitu makan dan minum tanpa gula dan yang ketiga saya bersedia untuk berkongsi tips dan info harian untuk makan dan minum tanpa gula untuk semua orang ikuti tanpa henti selama 30 hari berturut- turut.

Hasilnya tamat sahaja 30 Days No Sugar Challenge, saya menerima penambahan rakan dan pengikut lebih 500 orang, kandungan saya dikongsi dan dicadangkan oleh orang lain untuk rakan-rakan mereka, dan saya diminta untuk mengajar orang lain yang berminat untuk melakukan cabaran 30 hari juga. Lebih mengujakan saya ialah kandungan yang saya bawa dalam kempen ini dapat diseragamkan untuk menarik perhatian ketiga-tiga kumpulan sasaran saya tadi. Pelanggan dan bakal pelanggan lebih giat memberi pendapat dan pandangan, rakan perniagaan mula terinspirasi untuk menggunakan idea yang sama, malah pesaing- pesaing juga dengan sukarela menjemput pengikut mereka pula untuk menjadi pengikut penulisan saya. Ternyata topik ini  memenuhi keperluan pain and gain kumpulan sasaran.

Satu perkara penting yang saya belajar daripada hasil kempen ini, bukan sahaja terletak pada kesanggupan melakukan percubaan demi percubaan selama hampir 6 bulan, tetapi yang paling utama terletak pada konsistensi 30 hari fokus kepada topik yang sama. William Aruda, seorang juruperunding penjenamaan peribadi menyebut dalam satu artikel dalam majalah The Forbes, “konsistensi adalah kunci kepada penjenamaan, malah kemampuan untuk konsisten itu sendiri akan melangkaui produk dan perkhidmatan yang kita tawarkan kepada pelanggan”. Aruda berkata, sekiranya pada masa hadapan kita mahu menukar produk lain atau menawarkan perkhidmatan yang berbeza, jenama peribadi yang dibina sudah tersedia tanpa perlu bermula dari kosong.

Kesimpulannya, bagi memperoleh jenama peribadi yang baik, kita haruslah ada keupayaan untuk  menghasilkan kandungan secara sistematik, tepat pada masa dan tidak pernah berhenti. Tingkahlaku yang konsisten ini berupaya membenihkan kepercayaan yang semakin hari semakin meningkat di kalangan kumpulan sasaran dan apabila kepercayaan sudah terbina, jenama kita akan diberi nilai yang tinggi dan orang dengan yakin dan sukarela akan menyarankan jenama kita kepada orang lain pula. Oh ya, kempen saya itu kini saya sambung menjadi 100 hari pula, dan telah pun memberi tambahan kepada hasil jualan bulanan saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *