Bahasa Malaysia

Strategi Penjenamaan Anda Boleh Terjejas Hanya Dengan 5 Perkara Remeh Ini.

Pelaksanaan yang baik ialah dengan menyediakan proses yang berkualiti dan kuat, bukannya langkah. Langkah pula akan terhasil apabila proses telah dikenalpasti. Apabila proses yang baik wujud, maka langkah yang konsisten akan terhasil.

Strategi penjenamaan adalah pekara yang penting. Ia tidak boleh dibuat main-main dan haruslah dirancang dengan bijak dan teliti, kerana ia melibatkan tawaran nilai yang anda sediakan untuk para pembeli. Dengan kata lain, ia adalah jawapan dan sebab mengapa pembeli perlu datang membeli dari anda dan bukannya dari penjual lain. Untuk menjadi satu jenama yang berjaya, anda bukan sahaja perlu memikirkan mencari strategi yang sempurna, tetapi juga bagaimana untuk menjayakannya melalui elemen yang boleh memberi sokongan padu kepada strategi tadi. Anda perlu memberikan perhatian serius kepada pasukan anda yang terdiri daripada golongan pelaksana. Mereka ini golongan elit yang menjadi tunjang utama dalam memastikan strategi dan taktik yang dirancang bergerak dengan sempurna dan segala mesej sampai kepada golongan sasaran.

Pelaksanaan ialah proses.

Pelaksanaan yang baik ialah dengan menyediakan proses yang berkualiti dan kuat, bukannya langkah. Langkah pula akan terhasil apabila proses telah dikenalpasti. Apabila proses yang baik wujud, maka langkah yang konsisten akan terhasil. Kedua-dua proses dan langkah yang konsisten ini akan menghasilkan keputusan yang positif, dan ini akan mengambil masa. Sekiranya anda masih bermasalah dalam kedua-dua ini, bersedialah untuk menghadapi risiko kerana hampir pasti ia bakal merosakkan strategi penjenamaan anda yang dirancang tadi.

Disini, kebijaksanaan dan pengalaman anda dalam pembuatan sesuatu keputusan yang cepat dan tepat amat penting dalam melancarkan proses yang ada. Anda juga harus peka dengan segala masalah yang timbul walaupun kecil. Jangan pandang remeh sekiranya anda menghadapi masalah kecil kerana biasanya ia boleh menjadi masalah yang besar.

Sikap dan seniority.

Diantara kesalahan yang sering anda lakukan ialah menganggap Pengurus ataupun Pengurus Kanan lebih penting daripada pekerja berpangkat rendah ataupun eksekutif. Kesalahan paling besar adalah beranggapan bahawa, untuk mendapatkan strategi dan keputusan yang sempurna hanya terletak kepada pengalaman bekerja dan itu sudah cukup. Oleh sebab itu anda lebih gemar menggaji mereka yang berpangkat tinggi lebih dari pekerja yang berpangkat rendah, kerana mereka dipertanggungjawabkan untuk mereka strategi. Tetapi anda lupa jikalau semua orang ditugaskan untuk mereka bentuk strategi, siapa pula yang akan melaksanakannya? Panglima perang yang hebat sekalipun memerlukan askar untuk berperang, kesimpulannya mereka memerlukan pasukan untuk memudahkan mereka membahagikan tugas. Pengalaman sahaja belum mampu untuk menjamin kekuatan strategi dan mendapatkan keputusan seperti mana yang anda inginkan.

Latihan yang berterusan amatlah penting dan harus ditekankan kepada semua pekerja, ini kerana permintaan pasaran dan juga sikap pembeli yang berubah-ubah. Situasi semasa bergerak pantas saban hari, jadi mereka perlu up-to-date dengan taktik dan teknik terbaru dalam membentuk strategi yang sempurna. Pemilihan latihan intensif yang tepat amatlah penting, jika mereka hanya diberikan latihan yang fokus kepada bahagian mereka bentuk strategi sahaja, dan anda mengabaikan latihan berkaitan pelaksanaan proses, ini akan mendatangkan masalah di kemudian hari. Sebenarnya anda belum cukup membantu mereka, tanpa sedar ini akan merugikan pelaburan yang anda lakukan untuk perkembangan pekerja secara khususnya dan perkembangan syarikat secara amnya.

Antara lain yang merugikan anda adalah, kesalahan semasa menggaji pekerja. Sikap sesetengah pengurus dan pengurus kanan yang beranggapan bahawa proses pelaksanaan bukan diantara kerja mereka dan tugas mereka hanya terhenti di bahagian mereka bentuk dan menyifatkan proses pelaksanaan adalah tugas mutlak pekerja berpangkat eksekutif dan lebih rendah dari mereka. Ini adalah penyebab utama kegagalan strategi yang sempurna, budaya sesebuah organisasi menentukan keberkesanan sesebuah strategi, anda harus sedar bahawa proses pelaksanaan bermula dari peringkat Ketua Pegawai Eksekutif sehingga pekerja diperingkat terendah.

Keseluruhan syarikat haruslah bergerak dan bekerja secara kumpulan dalam memastikan proses pelaksanaan berjalan lancar.  Budaya bertanggungjawab dalam kerja sebagai contoh budaya get-it-done, we are better than me dan sebagainya haruslah dipupuk dalam gaya kerja sesebuah syarikat, ini disokong dengan mewujudkan dan menyelaraskan core value dalam sesebuah organisasi.

Iklan, grafik dan bahan pemasaran atau marketing collateral.

Graphic-01.png

Penyampaian maklumat kepada golongan sasaran adalah perkara yang penting. Anda mungkin pernah mendengar kata-kata yang menyebut, Fitrah manusia kita tertarik kepada perkara-perkara yang cantik dan menarik. Pemilihan grafik, dan juga arahan seni atau art direction dalam menghasilkan koleksi bahan pemasaran atau marketing collateral  sangatlah penting bagi membantu menarik minat pembeli. Dengan menyelaraskan koleksi yang anda hasilkan, elemen ini membantu para pembeli untuk lebih mudah mengingati kepada jenama anda, dalam erti kata lain anda boleh memanipulasikan pemikiran mereka dengan bahan penjenamaan yang menarik.

Sebagai contoh Air Asia, mereka terkenal dengan warna Merah dan Putih sebagai warna rasmi mereka. Mengunakan warna rasmi dalam setiap marketing collateral mereka termasuk baju rasmi, poster, iklan dan bermacam lagi sebagai salah satu perlambangan syarikat mereka. Dalam masa yang sama memudahkan para pembeli untuk mengingati mereka, Ini adalah tambah nilai yang digunakan oleh mereka kepada pembeli supaya pembeli lupa kepada jenama lain.

Apabila kita membantu para pembeli untuk sentiasa dan mudah ingat kepada jenama kita, peratusan mereka membeli dari kita apabila mereka memerlukan produk ataupun servis seperti mana yang kita sediakan adalah amatlah tinggi. Tidak keterlaluan kita boleh menganggap bahawa, marketing collateral seperti poster, risalah, katalog dan lain-lain adalah senjata untuk jenama anda. Realitinya, tanpa anda sedar pemasaran sama seperti situasi perang, dan perang yang saya maksudkan adalah perang melawan jenama-jenama lain di pasaran.

Walaupun anda mempunyai pahlawan, jeneral dan askar yang terbaik, tanpa senjata yang lengkap mereka akan lemah dan tidak akan berjaya melawan jenama lain yang lengkap dengan segala senjata dan perisai. Melengkapkan mereka dengan segala bahan yang diperlukan, membolehkan mereka melawan jenama-jenama lain di pasaran dan meningkatkan peluang mereka untuk menang dalam perperangan ini adalah tinggi. Sedarlah, anda bukan sahaja membantu mereka tetapi anda membantu diri anda sendiri

Proses pelaksanaan melibatkan ramai pihak, lebih dari merencana strategi.

Merancang sesebuah strategi mungkin mengambil masa yang singkat dan tidak memerlukan ramai tenaga pekerja. Satu atau dua pengurus dan pengurus kanan sudah cukup untuk mereka bentuk strategi yang sempurna. Tetapi pelaksanaan sesebuah strategi mengambil masa yang lama dan memerlukan ramai tenaga pekerja mahir, terlatih dan tidak terlatih. Masalah anda selalunya tidak hanya terhenti disini, kebiasaanya anda akan berhadapan dengan masalah dalam mencari golongan pelaksana yang berkebolehan dan ini menjerumus kepada kekurangan tenaga pekerja.

Menggaji pekerja tetap bukanlah sesuatu yang mudah, kerana pemilihan pekerja haruslah tepat, sikap mereka haruslah baik, mudah didekati dan suka bekerja dalam kumpulan. Pengalaman, kebolehan dan tahap pendidikan yang tinggi tidak menjamin seseorang itu untuk menjadi ahli kumpulan yang baik. Ini memberi impak yang besar dalam kumpulan anda nanti, kerana pelaksanaan strategi memerlukan kumpulan pekerja yang kuat dan bijak tetapi itu saja tidak cukup, mereka haruslah boleh bekerja secara berkumpulan dan mempunyai semangat bekerjasama yang sangat tinggi untuk memastikan segala rancangan yang dijalankan berjalan lancar dalam memastikan mesej anda sampai kepada pembeli.

Selain dari masalah untuk mendapatkan pekerja yang bagus dan sikap yang bersesuaian dengan apa yang pasukan anda perlukan, satu lagi masalah besar yang anda akan hadapi adalah kekurangan dana, kerana menggaji pekerja tetap akan meningkatkan kos yang sedia ada. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, berita baik untuk anda adalah masalah ini boleh diatasi dengan mengambil dan menggaji sumber daripada luar. Pelbagai sumber tenaga mahir dan profesional wujud dan berkembang diluar sana. Ada diantara mereka yang bergerak secara berkumpulan dan tidak kurang juga bergerak secara solo.

Banyak syarikat yang berskala besar dan gergasi seperti Coca-Cola, Nike, Air Asia, tidak kurang juga agensi kerajaan sudah mula memandang serius dan beralih arah menggunakan perkhidmatan profesional seperti mereka untuk mereka bentuk strategi ataupun sebagai kumpulan pelaksana dan kos menggunakan khidmat mereka jauh lebih menguntungkan dari segi nilai dan pelaburan yang anda buat. Harus diingatkan bahawa, pemilihan untuk bekerjasama dengan golongan ini juga haruslah bijak bagi memastikan mereka dan anda boleh bekerja sebagai satu pasukan.

1- Perunding.

Perunding biasanya menyediakan analisis dan mencari penyelesaian kepada masalah anda, kepakaran mereka secara umum adalah untuk membantu anda mereka bentuk strategi dan juga membentuk proses pelaksanaan. Mereka biasanya bekerja untuk agency consultant dan ada juga yang bergerak secara solo. Mereka akan berhubung dengan pengurus jenama atau eksekutif pemasaran syarikat anda, untuk memahami segala masalah yang anda hadapi dan juga segala perbincangan yang berkaitan. Tugas mereka mempengaruhi semua aspek termasuk pemasaran dan juga penjenamaan, bermula dari strategi sehinggalah jualan.

Mereka kebiasaannya menawarkan servis secara kontrak, jangkamasa kontrak adalah pelbagai, bermula dari 3 bulan, 6 bulan ataupun 12 bulan. ini lebih menjimatkan dari menggaji pekerja sepenuh masa dan jelas sekali dapat menjimatkan kos yang anda akan keluarkan. Kebiasaannya, caj yang mereka tetapkan berdasarkan servis yang anda diperlukan. Jika anda tidak pasti dengan apa yang anda perlukan, berbincanglah dengan mereka selepas itu mereka akan memberikan nasihat pemilihan servis berdasarkan masalah yang anda hadapi selepas perjumpaan yang pertama.

2- Influencer.

Screen Shot 2017-10-23 at 15.28.10.png

Kita sedia maklum, bahawa kewujudan sosial media seperti Facebook, Instagram , LinkedIn, Twitter dan bermacam lagi adalah impak baru dalam kehidupan sehari-hari. Influencer adalah golongan orang yang berpengaruh yang popular dikalangan rakan-rakan mereka. Golongan ini juga sering menjadi sumber rujukan komuniti dan rangkaian masing-masing. Di dalam persekitaran kemudahan internet di hujung  jari dan kewujudan telefon pintar, media sosial telah bertukar menjadi satu kemestian dan keperluan bagi semua orang dan jenama. Oleh itu, influential ini sering menjadi tumpuan masyakarat dengan ratusan atau ribuan pengikut di saluran media sosial mereka.

Mereka datang dari pelbagai latar belakang antaranya, pengamal industri, penyanyi, pelakon, pengacara, penganalisis, wartawan, ahli akademik, dan juga orang yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang tertentu. Mereka dinilai dari sudut pengikut, jumlah komen dan like di rangkaian mereka. Kumpulan ini dapat membantu anda dalam menyampaikan mesej strategi terus kepada golongan sasaran. Mereka mampu mengubah perspektif dan pandangan masyarakat tentang syarikat dan jenama yang mereka wakili ataupun yang mereka sarankan kerana keupayaan mereka mempengaruhi tindakan dan tingkah laku orang. Pengaruh ini berasal dari kepercayaan dan perhubungan yang telah mereka hasilkan di kalangan anggota komuniti atau rangkaian mereka

3- Freelancer, kumpulan pelaksana terbaik!

Terdapat ramai pekerja bebas di Malaysia yang mempunyai bakat dan juga kepakaran tersendiri. Freelancer atau lebih dikenali sebagai  pekerja bebas, adalah individu ataupun kumpulan yang bekerja secara sendiri dan tidak terikat dengan kontrak jangka panjang kepada mana-mana syarikat ataupun majikan. Mereka memilih pekerjaan ini kerana, mereka bebas bekerja di mana sahaja dan tidak terikat dengan waktu bekerja. Mereka datang dari pelbagai bidang termasuk penulis, juru video, juru gambar, pereka laman web, pereka grafik, dan pelbagai.

Mereka ini tergolong dalam kumpulan pelaksana. Menggajikan mereka adalah satu keputusan yang bijak kerana, mereka mampu menyiapkan kerja tanpa perlu pemantauan yang serius dan berterusan, ini membantu meringankan beban anda dan juga menjimatkan masa. Anda boleh belajar dari kepakaran dan pengalaman mereka yang telah banyak bekerja dengan syarikat-syarikat yang lain, dan mungkin juga ada diantara mereka pernah bekerja dengan syarikat yang menggunakan modus operandi sama ataupun strategi yang sama dengan apa yang anda lakukan. Jangan terkejut kerana ada diantara mereka yang pernah bekerja dengan syarikat pesaing anda. Secara tidak langsung dapat membantu anda untuk menganalisa atau mengkaji keberkesanan strategi anda.

Strategi tanpa pelaksana, ibarat kisah dongeng.

Bedasarkan apa yang telah saya sampaikan tadi, anda seharusnya sedar bahawa untuk menghasilkan dan mendapatkan keputusan yang sempurna dari strategi yang terbaik, bukanlah satu perkara yang mudah. Ia melibatkan banyak pihak, usaha, dan pengorbanan yang tinggi. Pelaksanaan yang sempurna adalah kunci utama kejayaan sesebuah strategi. Tanpa pemantauan, tindakan, dan keseragaman, pastinya anda akan selalu kecewa dengan dengan keputusan yang anda perolehi, salah siapa? Fikirkanlah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *