Bahasa Malaysia

Kos Pemasaran Tinggi? Jangan Buntu Bro, Petua Ini Boleh Membantu Perniagaan Startup Anda

Kita perlu akui, sesedap mana sekali pun makan dan minuman yang kita sediakan di cafe, kita tidak hanya boleh berharap maklumat perniagaan kita disampaikan melalui sebaran ulasan pelanggan semata-mata ataupun mouth-to-mouth marketing.

Perniagaan pertama saya secara serius, adalah perniagaan cafe, pada ketika itu saya tidak tahu banyak perkara terutama berkaitan dengan pemasaran. Enam bulan pertama, perniagaan nampak berjalan lancar, namun tidak lama selepas itu ia terpaksa ditutup kerana angka negatif yang merah menyala semakin banyak.

Pada waktu itu, saya sangat kecewa kerana gagal. Saya hampir mengalami kemurungan yang agak teruk, dan banyak menghabiskan masa berkurung di dalam bilik. Pada, ketika itu jugalah, saya sedar di mana punca kesilapan saya – tiada ilmu pemasaran yang betul. Kita perlu akui, sesedap mana sekali pun makan dan minuman yang kita sediakan di cafe, kita tidak hanya boleh berharap maklumat perniagaan kita disampaikan melalui sebaran ulasan pelanggan semata-mata ataupun mouth-to-mouth marketing.

Segera saya bangun dari kegagalan tadi dengan langkah pertama yang amat drastik kali ini. Saya berhijrah keluar dari Pulau Pinang dan menjadikan Shah Alam sebagai destinasi kebangkitan saya, versi saya yang terbaharu. Saya mengambil langkah untuk menghabiskan masa beberapa tahun dengan bekerja di beberapa syarikat yang agak stabil untuk saya belajar cara mereka merancang dan melaksanakan strategi pemasaran mereka dalam perniagaan masing-masing.

Setelah bekerja di beberapa syarikat startups dan juga yang beroperasi lebih dari 10 tahun lalu, di sini saya melihat pelbagai jenis kaedah pemasaran yang telah mereka laksanakan. Petua saya ini amat sesuai sekiranya perniagaan anda masih di peringkat startup. Petua ini juga boleh digunakan untuk anda yang sudah lama berniaga tetapi kurang yakin untuk mencuba kaedah pemasaran yang baharu.

 

Pemasaran Kain Rentang. Setelah sampai di Shah Alam, syarikat pertama saya bekerja merupakan sebuah perniagaan kereta sewa. Di sini saya ditugaskan untuk menguruskan pemasaran. Walaupun saya tiada pengalaman dan zero knowledge, saya tetap diberikan peluang oleh pemilik perniagaan kereta sewa ini untuk jalankan pemasaran atas tunjuk ajar beliau.

Saya akui semasa perniagaan kita di fasa startup, ia bukan satu langkah mudah, kerana banyak perkara yang masih tidak lengkap dan teratur seperti sistem dan SOP atau Standard Operating Procedure. Disamping itu juga, di peringkat startup, syarikat juga mempunyai modal yang sangat-sangat terhad. Cabaran dan tekanan sangat tinggi ketika syarikat di fasa startup. Bijak mengimbang pelbagai faktor adalah jalan terbaik pada fasa ini.

Di syarikat ini, saya tertarik untuk menyentuh tentang kaedah pemasaran menggunakan kain rentang atau banner. Memandangkan peruntukan agak kecil, perkara penting di sini adalah lokasi di mana anda sepatutnya meletakkan banner anda. Tempat yang sesuai adalah memasang di tiang-tiang lampu jalan atau di tiang lampu trafik. Ini lokasi paling tepat bagi saya.

Pemasangan kain rentang di tiang lampu jalan, pastikan kain rentang anda diletakkan “selang satu tiang” dan berulang kali. Ini bagi memastikan pengguna jalan raya sedar akan kewujudan kain rentang anda serta mampu menangkap dan ingat apakah mesej yang anda ingin sampaikan.

Seperti di tiang lampu trafik, apabila lampu merah menyala, pengguna jalan raya akan secara tidak langsung akan membaca tentang pemasaran yang anda jalankan. Pastikan anda juga kenalpasti siapakah sasaran pasaran atau target market anda. Kami memasang kain rentang di kawasan yang mempunyai ramai golongan mahasiswa dan golongan berpendapatan rendah. Hasilnya kami mendapat berpuluh-puluh panggilan dalam masa satu minggu daripada golongan itu tadi.

 

Baucar Diskaun. Penggunaan baucar diskaun mampu menggalakkan pelanggan anda kerap datang mendapatkan servis anda. Saya menyedari banyak kesilapan dalam menggunakan kaedah ini dahulu. Di sini saya ingin mencadangkan tips penggunaan baucar diskaun yang berkesan, supaya anda tidak mengulangi kesilapan yang sama yang saya lakukan dahulu.

Perkara terpenting ialah, menetapkan tempoh waktu penggunaan baucar tersebut. Ini adalah bagi memastikan anda dapat mengira semula keberkesanan penggunaan baucar dalam tempoh yang ditetapkan. Saya cadangkan anda gunakan kaedah ini pada ketika  waktu yang perniagaan anda sedang menghadapi masa-masa sukar untuk mendapatkan jualan atau pada musim pelanggan kurang berbelanja. Untuk mengetahui tentang perkara ini, anda perlulah membuat sedikit kajian terhadap tabiat berbelanja pelanggan anda.

Di dalam penggunaan baucar diskaun anda digalakkan menetapkan kadar diskaun dalam kadar menaik, contoh 5%, 10%, 15% dan 20%. Pastikan anda mengira terlebih dahulu kadar diskaun yang anda berikan supaya ianya tidak melebihi paras tertentu yang boleh merugikan anda. Ini sekaligus tanpa mereka sedar akan membuatkan mereka seronok dan perlu terus-menerus mendapatkan khidmat anda.

 

Flyers. Salah satu saluran pemasaran yang efektif ialah dengan menggunakan flyers. Semasa saya bekerja sebagai ejen penapis air dahulu, ketika itu sanagt sukar untuk saya mendapatkan walau satu jualan sekalipun. Kesilapan yang saya lakukan di sini adalah, saya menyebarkan flyers tersebut di kawasan parking kereta. Apa yang saya lihat adalah, banyak flyers yang saya letakkan di kereta, dibuang begitu saja dan lebih parah lagi, ada yang terbang dibawa angin lalu.

Saya tidak mengalah, jadi saya cuba cari jalan lain, mencari bagaimana penggunaan flyer yang lebih berkesan boleh dilakukan. Saya mengambil langkah untuk mengedarkannya dari rumah ke rumah. Apa yang saya lihat sangat mengejutkan dan saya yakin ini juga berlaku di peti surat rumah anda. Dari satu rumah ke satu rumah saya lihat flyer dari perniagaan lain dibiarkan begitu saja di peti surat sehingga ada flyer yang sudah pudar warnanya dan tidak lagi dapat dibaca mesej yang ingin disampaikan.

Satu ketika, saya diberi peluang untuk duduk di booth jualan, di sini saya dapat berjumpa secara langsung dengan pelanggan. Saya akui ramai yang menolak pelawaan saya untuk menerangkan berkaitan penapis air, namun ada perkara yang yang lebih baik dari flyers saya dibuang saja, saya lihat ada pengunjung yang kurang berminat untuk mendengar penjelasan saya mengenai penapis air tetapi masih sudi untuk mengambil flyer yang saya berikan, dan selepas itu mereka terus beredar sambil membaca maklumat dalam flyers tersebut.

Jadi di sini, placement flyers anda lebih sesuai untuk digunakan pada saat direct approach, yang diletakkan di meja atau tempat tanpa memberikan dengan tangan. Pelanggan akan merasa lebih selesa dengan cara mereka mengambil sendiri.

 

Google. Google menawarkan pelbagai produk yang dapat menjimatkan kos perniagaan anda. Pengalaman saya dari dua buah syarikat yang saya pernah bekerja adalah, pelanggan tidak tahu di mana lokasi perniagaan kami beroperasi. Google Maps sangat membantu memudahkan anda memberi tahu di mana lokasi perniagaan serta mampu memberi tunjuk arah ke lokasi perniagaan anda beroperasi.

Untuk menanda perniagaan anda di dalam Google Maps, anda perlu mendaftar di satu produk Google terlebih dahulu iaitu di Google My Business. Dengan melengkapkan butiran perniagaan anda di sini, ia dapat membantu memberi bakal pelanggan anda gambaran perniagaan anda, khidmat yang anda sediakan, waktu operasi, serta ulasan pelanggan yang pernah melanggan perkhidmatan anda. Ini sekaligus dapat meyakinkan bakal pelanggan untuk datang berkunjung ke premis anda. Selain dari itu, Google My Business juga dapat membantu perniagaan anda muncul di halaman carian Google yang merupakan satu kelebihan dalam menonjolkan entiti perniagaan anda.

Semasa saya melakukan aktiviti pemasaran secara B2B, saya perlu pergi ke lokasi mereka. Kebiasaanya saya akan akan mencari di mana lokasi mereka berada. Pastikan anda menggunakan gambar di bahagian luar premis anda di Google Maps. Tindakan ini bagi memudahkan pelanggan mengenal pasti lokasi premis anda bila berkunjung nanti untuk mendapatkan servis perniagaan anda. Mereka akan kenal papan tanda kedai anda secara lebih jelas.

 

Kenal Pasti Saluran Yang Sesuai. Di dalam apa jua perniagaan sekalipun, kita tidak hanya boleh bergantung kepada hanya 1 atau 2 kaedah pemasaran sahaja. Lebih banyak ‘askar’ yang kita gunakan untuk keluar, maka lebih banyak ia akan dapat membantu menaikkan jualan. Namun ramai yang terlepas pandang dalam mengenalpasti saluran manakah maklumat perniagaan mereka diperoleh oleh para pelanggan.

Anda perlu bertanya dan juga membuat pemerhatian dari jauh tabiat pelanggan anda, dimana mata mereka selalu akan tertumpu dan sebagainya untuk mengetahui saluran manakah mereka mendapat tahu tentang perniagaan anda, bagaimana mereka membeli dan apakah yang menyebabkan mereka membeli. Melalui kajian soal-selidik yang mudah, ia boleh memberikan anda sedikit idea untuk menilai keberkesanan setiap platform pemasaran dan memberikan maklumat yang betul sebelum merancang dan melabur dalam aktiviti pemasaran seterusnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *