Bahasa Malaysia

Pemasaran Atau Kreatif, Siapakah Yang Lebih Layak Menjadi Ketua Untuk Membentuk Strategi Penjenamaan?

Sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang Pengarahan Kreatif dan memilih untuk menjadi Pakar Penjenamaan Bersepadu ataupun dipanggil Integrated Marketing Specialist, saya terpangil untuk memberi pandangan peribadi berdasarkan topik ini berlandaskan pengalaman dalam kedua-dua bidang yang saya tempuhi sepanjang tempoh pekerjaan saya.

Siapakah yang paling layak dan patut memikul tanggungjawab dalam merekabentuk strategi penjenamaan, Pengarah Kreatif ataupun Pakar Strategi Penjenamaan? Siapakah yang paling layak menjadi ketua diantara kedua-dua posisi ini dalam setiap projek yang berkaitan dengan penjenamaan? Sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang Pengarahan Kreatif dan memilih untuk menjadi Pakar Penjenamaan Bersepadu ataupun dipanggil Integrated Marketing Specialist, saya terpangil untuk memberi pandangan peribadi berdasarkan topik ini berlandaskan pengalaman dalam kedua-dua bidang yang saya tempuhi sepanjang tempoh pekerjaan saya.

Titik mula perjalanan

Dahulu, cuti semester adalah sesuatu yang dinantikan oleh setiap pelajar, ini kerana cuti semester adalah cuti sekolah bagi pelajar di peringkat universiti. Seingat saya, bulan Mac sampai Jun 2011 adalah cuti penggal saya yang pertama sebagai pelajar ijazah Reka Bentuk Industri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Memang lama. Ramai di antara kawan sekelas saya memilih pulang ke kampung untuk berehat dan tidak kurang juga ada yang mengambil peluang ini untuk melancong.

Saya diberi peluang oleh pensyarah fakulti saya ketika itu untuk bekerja sementara dengan sahabat beliau yang bekerja di sebuah syarikat juruperunding perkakasan pejabat. Di situ saya diberi pendedahan tentang grafik dan alam pekerjaan sebenar. Saya bekerja secara kontrak sambilan dan ia berterusan sepanjang tempoh pengajian saya di UiTM.

1910617_1053061081419347_3118315541345211733_n

Ahli Seni Rekabentuk perlu bangkit.

Selepas tamat tempoh pengajian di UiTM, saya terus di terima bekerja sebagai Perekabentuk Produk di sebuah syarikat pengeluar dan pengedaran lampu. Disebabkan kekangan jumlah pekerja ketika itu memandangkan kami hanya syarikat yang kecil, saya diarahkan supaya memegang dua jawatan sekaligus dalam satu masa yang sama, Ketua Rekabentuk dan Pembangunan Produk dan juga sebagai Penolong Pengurus Pemasaran. Dua kerja dengan gaji yang sama merupakan situasi yang agak pelik, tetapi saya tetap lakukan yang terbaik. Segalanya bermula apabila saya diarahkan untuk menyusun strategi penjenamaan dan juga pemasaran, kemudian diberi pilihan untuk mencari Pakar Strategi Penjenamaan untuk bekerjasama dengan saya atau melakukannya sendiri.

Selepas berfikir disamping melihat jumlah kewangan syarikat, saya memilih untuk melakukannya sendiri untuk menjimatkan kos. Dari detik itu, bermula kisah baru dalam kehidupan profesional saya. Saya belajar bagaimana penyelidikan tentang strategi dilakukan dengan baik, apakah elemen-elemen yang wujud dalam penjenamaan dan juga pemasaran. Sebagai contoh kajian pelanggan berdasarkan kuantitatif dan kualitatif, konsep 4W1H, kajian tingkah laku pelanggan berdasarkan produk, 4P dan bermacam lagi. Dari sini, saya melihat kesinambungan penting kedua-duanya dengan aktiviti Rekabentuk Industri.

Saya terpesona dan tertarik untuk mengkaji dan belajar dengan lebih mendalam lagi tentang kesinambungan tadi. Di sini juga titik permulaan minat saya kepada rekabentuk yang kini menjadi profesion saya sekarang. Jika kita sebagai seorang perekabentuk yang mempunyai matlamat sebagai pembuat keputusan, kita harus berani mencuba dan merebut segala peluang yang ada di depan mata dan haruslah memahami konsep perniagaan secara keseluruhannya. Petikan kata-kata oleh Michael Johnson dari Johnson Banks masih saya ingat sehingga kini. Beliau berkata, “if a designer wants any level of control, they must be willing to step into the boardroom”.

Definisi Penjenamaan.

Pertama, kita memerlukan definisi jelas tentang maksud di sebalik perkataan penjenamaan. Memetik dari dash.com, untuk mencipta jenama bagi sesebuah syarikat, kita perlulah mencipta dan merekabentuk imej dan visual yang berkesan untuk senang diingati oleh pengguna. Penggunaan logo dan slogan melalui kempen yang diadakan amat membantu. Matlamat penjenamaan adalah untuk menghasilkan sesuatu yang unik, yang menjadi persona sesebuah jenama itu untuk mendapatkan perhatian daripada pasaran.

Seth Godin, seorang pemasar, penulis dan usahawan terkenal Amerika Syarikat berkata, jenama adalah “set jangkaan, kenangan, cerita dan hubungan yang diadun bersama bagi menyumbang kepada keputusan seseorang pengguna untuk memilih produk atau perkhidmatan untuk dibeli. Godin juga menekankan bahawa umumnya jenama pada masa dahulu hanya dikenali melalui rekabentuk logo, warna dan packaging. Tetapi hari ini ia hanya menjadi sesuatu yang melambangkan gaya hidup dan jenama memainkan peranan penting di dalamnya. Dia membuat kesimpulan bahawa, dalam pembinaan jenama yang utuh, rekabentuk sangat penting yang membantu menaikkan sesuatu jenama.

Nilai Rekaan Grafik.

Pakar Penjenamaan sering mengatakan, logo ataupun rekaan grafik bukan di antara aspek penting dalam melahirkan sesuatu jenama itu terkenal. Jika apa yang dikatakan itu betul, cuba bayangkan sesuatu jenama itu tanpa logo dan rekaan grafik yang menarik. Kemudian anda cuba bina satu jenama yang kuat tanpa kedua-dua elemen tadi. Terus-terang saya berani katakan, jenama yang anda cuba bina tadi akan gagal.

Sama ada anda suka atau tidak, logo dan rekaan grafik masih menjadi raja dalam proses penjenamaan walau dimana sekalipun anda berada. Jadi, mengapa dalam proses penjenamaan ramai di antara pakar pemasaran dan penjenamaan masih mahu menidakkan fakta bahawa rekaan grafik adalah titik permulaan penjenamaan yang baik? Jika anda bersetuju bahawa logo, rekaan grafik dan sebagainya adalah lambang pengenalan kepada semua jenama di dunia, maka kita perlu mengiktiraf perekabentuk grafik sebagai faktor penting dalam penjenamaan yang sangat penting dalam sesebuah pasukan pemasaran.

Penghargaan haruslah diberikan kepada mereka disamping autoriti untuk membuat keputusan tentang sesuatu rekaan itu sama ada ia sempurna ataupun sebaliknya.

Apa yang membuatkan identiti penjenamaan itu bagus?

Penjenamaan yang baik ialah apabila ia sering diingat. Maka teknik pembuatan visual yang baik datangnya dari hati, keikhlasan yang kaya dengan nilai yang dibawa jenama tadi dan juga mesej yang mudah difahami. Tidak kira sama ada ia digital, bahan cetakan ataupun video, konsep ini diterimapakai untuk semua. Dengan kata lain, identiti jenama yang bagus datangnya daripada kekuatan mesej dan kekuatan visual yang menyampaikan mesej itu juga. Dari sini, pengguna akan memberikan kepercayaan mereka dengan lebih baik. Disinilah kebijaksanaan perekabentuk grafik diperlukan.

Isu Kawalan

Isu yang selalu terjadi kepada pasukan perekabentuk grafik semasa menghasilkan rekaan adalah campur tangan pihak lain yang tidak mempunyai kepakaran langsung dalam bidang rekabentuk. Walaupun masing-masing di dalam pasukan pemasaran yang sama, tetapi campur tangan ini sangat tidak dialu-alukan. Jikalau anda sebagai pakar strategi pemasaran, buat kerja dan berfikir sebagai pakar strategi pemasaran. Tidak perlu masuk ke ‘kawasan’ perekabentuk grafik. Kita tahu apa kerja kita, yang tidak perlu diarah sana sini. Kita adalah pakar dalam grafik, bukan anda. Fokus kepada kerja dan tanggungjawab masing-masing, cuba untuk lebih menghormati kepakaran orang lain.

10700337_772130999512358_4548664852612778304_o

Mungkin niat anda ingin membantu dengan berkongsi pendapat dan idea bernas kepada perekabentuk grafik, dan ini sangat baik. Cuma kalau boleh biarlah ia sekadar berkongsi idea sahaja dan bukan terus hendak menyibuk. Kita akur, pindaan boleh dibuat tetapi apa yang kita hendak elakkan di sini ialah campur tangan ketika dalam proses penyiapan sesuatu rekabentuk grafik. Ia boleh membantut kreativiti yang hampir pasti akan terpesong dari konsep asal ketika perbincangan awal.

Mimpi Ngeri

Umpama menyuruh ikan mengajar, memanjat dan memetik kelapa, begitu juga dengan situasi merekabentuk grafik. Saya sering melihat syarikat-syarikat di luar sana yang memberikan tanggungjawab merekabentuk kepada yang bukan ahli. Ini satu mimpi ngeri. Hasilnya, kualiti bahan-bahan pemasaran atau marketing collateral menjadi kucar-kacir.

Lahirnya grafik yang “miskin”. Miskin yang saya maksudkan tadi adalah dari segi nilai sesebuah rekaan yang tidak kreatif, hodoh dan seperti ada yang tidak kena. Rekabentuk grafik yang bemutu tinggi yang sepatutnya menjadi kunci kejayaan untuk menarik minat dan perhatian pelanggan untuk lebih mengenali jenama anda kini hanya tinggal kenangan. Sekaligus, ini akan menjadikan strategi penjenamaan anda terumbang-ambing.

Membenarkan diri ditindas. Ini lagi satu senario mimpi ngeri yang sering terjadi kepada perekabentuk grafik. Mereka membenarkan maruah mereka dikawal dan ditentukan oleh rakan lain yang juga dalam pasukan pemasaran yang sama. Perekabentuk grafik dilihat hanya sekadar pelaksana dan tidak ada kepentingan dalam perbincangan langsung. Kesalahan ini saya letakkan 100% kepada perekabentuk grafik. Ini kerana sikap mereka sendiri yang tidak mahu tegas. Mereka gemar meletakkan tanggungjawab mereka hanya di bahagian sokongan, bukannya di barisan pembuat keputusan.

Kesimpulan.

Saya mahu melihat para perekabentuk grafik berada dalam kelompok yang lebih tinggi dari sekarang. Anda perlu di barisan hadapan dan membantu membuat keputusan sama seperti orang lain. Untuk merealisasikan impian ini, anda sendiri perlu bangkit dan tegas dalam menjalankan kerja anda. Jangan hanya terikat kepada warna dan font sahaja.Saya percaya dalam mencapai objektif strategi penjenamaan yang lebih berkesan hasil kreativiti rekabentuk grafik haruslah berjalan seiring kerana strategi keseluruhan syarikat. Ini boleh diibaratkan seperti ikan dilaut, asam didarat, dalam periuk, bikin mufakat. Walaupun masing-masing datang dari dunia yang berbeza, tetapi dalam sesuatu projek masing-masing saling melengkapi antara satu sama lain.

Saya mahu melihat pereka grafik tersenarai dalam ahli lembaga pengarah. Saya ingin melihat mereka setanding dengan pakar ekonomi dan pakar perniagaan yang menghiasi kulit majalah, menjadi ikon dan public figure. Saya melihat bahawa strategi penjenamaan adalah peluang kepada perekabentuk grafik untuk menunjukkan kebolehan mereka dalam melaksana, merangka dan membuat keputusan. Apabila pakar pemasaran bekerjasama dengan pakar kreatif, ini adalah kombinasi yang sangat mantap dan berpotensi menjadikan sesuatu keputusan yang dibuat itu sangat luar biasa.

Berdasarkan pengalaman saya, rekaan grafik adalah antara faktor utama dalam mengubah sesuatu perniagaan. Saya percaya reka bentuk grafik dapat menyumbang secara langsung dalam menjadikan perniagaan anda dikenali dan jenama anda menjadi pilihan para pelanggan. Sudah tiba masanya reka bentuk grafik diletakkan setanding dengan strategi perniagaan dan bukan lagi sebagai pasukan sokongan.

Kata-kata: Azraai Hafiz

Pereka Produk, Pereka Grafik, Juru Foto, Pengarah Kreatif, Pengarah Pemasaran dan Penjenamaan, Penasihat Pemasaran dan Penjenamaan, Penasihat Kreatif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *