Bahasa Malaysia

Peluang Kerjaya Anda Akan Lebih Cerah Dengan Penjenamakan Diri Yang Kuat. Ini Caranya.

Formula-formula lapuk sudah tidak boleh digunakan lagi. Tidak kira sama ada anda sedang dalam usaha untuk mencari pekerjaan ataupun mencari pelanggan untuk produk anda, sekiranya anda masih menggunakan cara lama, anda akan gagal.

Era internet sekarang sangat mencabar dan anda perlukan strategi baharu yang lebih baik untuk berjaya. Formula-formula lapuk sudah tidak boleh digunakan lagi. Tidak kira sama ada anda sedang dalam usaha untuk mencari pekerjaan ataupun mencari pelanggan untuk produk anda, sekiranya anda masih menggunakan cara lama, anda akan gagal.

Dahulu, menghantar keterangan ringkas diri atau resume dalam pencarian pekerjaan adalah lebih dari mencukupi. Kini tidak lagi. Anda perlukan lebih dari ini. Lihat sahaja jumlah graduan yang tidak mendapat pekerjaan selepas 6 bulan tamat pengajian yang dikongsi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini, tidak kurang 54,103 kesemuanya. Ini baru jumlah lepasan universiti dan belum lagi golongan yang telah bekerja yang kini menggangur. Adakah kualiti anda mampu mengalahkan beribu-ribu yang lain yang mungkin jauh lebih berkualiti, berkelayakan dan berpengalaman dari anda?

Bagi pihak majikan pula, mereka bukan sahaja melihatkan kelayakan, pengalaman dan kebolehan anda, ia lebih dari itu. Setelah melihat kesemua kriteria yang ada, mereka akan bertanya mengapa anda perlu dipilih dan bukannya orang lain. Soalan ini biasanya akan keluar pada peringkat akhir pemilihan. Ia lebih kepada mengapa. Sekiranya ini ditanya kepada anda, mungkin agak sukar untuk menjawabnya. Mengapa mereka perlu memilih anda dan bukan orang lain?

Biasanya tidak ramai orang yang tahu menjawab soalan ini. Kebanyakan jawapan yang diterima semua tidak boleh pakai. Jawapan yang betul sebenar terletak kepada tawaran nilai atau value proposition yang ada pada diri anda yang boleh membantu bakal majikan tadi untuk lebih berjaya. Apakah kualiti yang anda miliki yang tidak terdapat pada orang lain yang bakal majikan tadi boleh jadikannya sebagai aset yang berharga untuk menjadikan mereka lebih kuat dalam mengharungi cabaran persaingan dan ekonomi yang sengit di luar sana. Anda akan berjaya jika jawapan anda konkrit.

Dahulu orang menggunakan kenalan yang bekerja di dalam syarikat tersebut, yang juga dikenali sebagai kabel untuk tujuan ini. Ada yang masih lagi menggunakan kaedah kuno ini kerana ia berkesan. Mengapa ia berkesan? Mana tidaknya, orang yang meminta bantuan tadi merupakan kawan, kawan baik, saudara-mara, adik-beradik ataupun kawan kepada kawan. Jadi, masing-masing saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Ini formula dahulu.

Konsep yang sama digunakan pada zaman ini, yang dikenali sebagai penjenamaan diri, iaitu membuatkan diri kita dikenali oleh seramai mungkin orang di luar sana. Ini dilakukan secara dalam talian. Cuba bayangkan anda ke satu temuduga untuk jawatan Eksekutif Teknologi Maklumat di salah satu syarikat terkemuka di ibukota dan ketua Jabatan Sumber Manusia dan pengurus Jabatan Teknologi Maklumat di syarikat tersebut mengenali anda lebih awal melalui media sosial contohnya. Sudah pasti peluang anda agak cerah di sini. Mengapa? Kerana masing-masing telah kenal terlebih dahulu.

Ini yang dimaksudkan dengan penjenamaan diri. Ini pengalaman saya bagaimana cara yang terbaik untuk mewujudkan satu penjenamaan diri yang kuat melalui internet.

LinkedIn. Saya minimumkan semua aktiviti-aktiviti tidak berfaedah di Facebook, sebaliknya tumpukan perhatian kepada LinkedIn. Ia merupakan rangkaian profesional yang lebih berkualiti untuk saya bergaul dengan golongan yang betul. Di LinkedIn, hampir kesemua ahli terdiri daripada para profesional, korporat dan usahawan. Formula yang saya gunakan adalah mudah. Gunakan gambar profil yang betul, ringkasan latar belakang yang berkualiti dan setiap hari aktif berinteraksi dengan orang lain. Dalam masa tidak sampai 6 bulan, penjenamaan diri saya telah mula kelihatan.

Menulis. Biasanya bakal pelanggan akan melihat syarikat-syarikat yang pernah menjadi pelanggan saya sebelum mereka memberikan apa-apa kontrak. Untuk anda yang mencari pekerjaan, bakal majikan akan melihat pengalaman bekerja. Dahulu, pengalaman saya tidak begitu banyak jadi peluang untuk mendapatkan kontrak agak tipis. Tetapi saya alihkan perhatian mereka kepada penulisan. Setiap minggu saya akan menulis blog di LinkedIn tentang pendapat saya mengenai pemasaran digital. Sehingga kini saya masih menulis. Dengan cara ini, perhatian mereka lebih tertumpu kepada penulisan saya daripada pengalaman.

Jual dengan cara tidak menjual. Saya lebih suka berkongsi petua dan rahsia berdasarkan pembacaan dan pemerhatian yang saya lakukan melalui penulisan tadi. Dengan kaedah ini, saya menjual perkhidmatan saya dengan cara yang lebih profesional. Saya menjual dengan cara tidak menjual, tetapi bercerita.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *