Bahasa Malaysia

Strategi Ini Mampu Membantu Pihak Universiti Menyediakan Graduan Berani Berniaga

Secara kasarnya, pihak universiti tidak akan tahu kelebihan dan kemahuan yang wujud pada setiap para pelajar. Tetapi dengan mengasingkan golongan pelajar yang benar-benar ingin memiliki perniagaan sendiri, kursus-kursus yang bersesuaian boleh diadakan untuk mereka. Ini dinamakan personalisation. Dari sini, pihak universiti akan dapat mengenalpasti jenis-jenis perniagaan yang mereka ingin ceburi dan boleh merangka pelan tindakan yang dinamik dan bersesuaian bagi merealisasikan objektif ini.

Beberapa bulan lalu, saya telah dijemput secara rasmi untuk bersama-sama dengan beberapa pensyarah kanan di salah sebuah universiti terkenal di utara tanahair untuk membincangkan tentang tawaran kursus-kursus pengurusan perniagaan bagi tahun yang akan datang. Sesi yang sepatutnya memakan masa dua jam, telah berlarutan menjadi lebih empat jam kerana masing-masing begitu asyik bertukar-tukar pendapat membincangkan topik yang memang sangat menarik. Para pensyarah kanan yang seramai sepuluh orang itu adalah daripada fakulti yang terlibat dengan pemasaran, keusahawanan dan pengurusan perniagaan.

Sebaik sahaja saya diberikan satu kertas senarai kursus-kursus yang bakal ditawarkan tersebut, saya melihat satu persatu nama-nama kursus dan terus tersenyum. Salah seorang rakan pensyarah kanan terus menegur, kenapa Encik Azleen? Saya berkata, senarai-senarai yang ada ini sama dengan senarai kursus ketika saya belajar pada tahun 1993 sehinggalah saya tamat pada 1997 dahulu. Kini sudah 2017.

Untuk memendekkan cerita, saya memberitahu mereka saya sebenarnya tidak nampak bagaimana kursus-kursus ini mampu membantu para pelajar dalam usaha-usaha mereka untuk keluar dari kepompong ingin mencari pekerjaan dan memulakan perniagaan sendiri. Pihak universiti sendiri tidak mampu membantu dengan menyediakan kursus-kursus yang bersesuaian untuk memupuk semangat berniaga. Saya berkata demikian kerana melihat kursus-kursus yang ada ini tidak lebih hanya sekadar menyediakan para pelajar lesen yang dikenali sebagai ijazah untuk keluar mendapatkan pekerjaan di mana-mana syarikat atau agensi kerajaan yang ingin mengambil mereka bekerja. Tidak lebih dari itu. Dengan ‘senjata tumpul’ yang ada, para pelajar ini sama sekali tidak akan mampu bergerak jauh untuk membuka perniagaan mereka sendiri. Namun terdapat juga dikalangan mereka yang berani untuk terus berniaga tanpa berfikir panjang. Mereka ini sebenarnya secara diam-diam sama ada telah pun mendapatkan maklumat-maklumat tentang ini terlebih dahulu dengan cara yang tidak formal melalui portal-portal yang ada di internet, ataupun belajar dari pengalaman saudara-mara yang merupakan ahli-ahli perniagaan.

Di sini, saya ingin memberikan beberapa saranan, strategi dan jenis kursus yang sepatutnya wujud bagi memupuk minat para pelajar untuk berniaga secara formal.

Asingkan kursus-kursus yang melibat selok-belok pengurusan perniagaan secara menyeluruh daripada yang melibatkan pengurusan perniagaan secara korporat. Saya berpendapat kalau boleh jangan lagi libatkan buku-buku keusahawanan yang tebal dari Amerika Syarikat atau United Kingdom dalam hal ini. Itu hanya sekadar tidak lebih dari teori semata-mata yang tidak begitu praktikal di Malaysia. Kemudian asingkan para pelajar yang betul-betul ingin memiliki perniagaan kecil-kecilan atau startup dengan para pelajar yang hanya berminat untuk mengetahui selok-belok pengurusan tetapi apabila tamat pengajian mereka ingin bekerja dalam sektor-sektor korporat dan awam. Apabila pihak universiti tahu para pelajar yang mana ingin memiliki perniagaan dan yang mana pula ingin bekerja, penyediaan kursus-kursus yang lebih tepat dan menjurus kepada minat tadi akan menjadi lebih mudah dan efektif.

Kerjasama pintar. Buat sedikit kerjasama pintar dengan MDEC, MAGIC, CGC, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, SME Corporation, MATRADE, beberapa agensi kerajaan yang lain dan juga dengan syarikat-syarikat startup yang berdaya maju. Dapatkan bantuan bagaimana untuk menyediakan kursus-kursus yang lebih tepat, efektif dan benar-benar realistik. Dalam pada masa yang sama, jemput wakil mereka untuk datang ke universiti dan berikan beberapa siri taklimat, kelas, tutorial, sesi perkongsian dan sebagainya kepada para pelajar. Gunakan pengetahuan dan kepakaran yang mereka ada untuk membantu menyediakan para pelajar universiti ke arah dunia keusahawanan dengan cara yang lebih realistik dan betul.

Subjek-subjek ini lebih tepat untuk disediakan kepada para pelajar yang ingin memiliki perniagaan sendiri atau startup. Para pelajar yang ingin memiliki perniagaan tidak perlulah belajar pengurusan kewangan yang begitu mendalam seolah-olah ingin menjadi akauntan ataupun belajar pengurusan teknologi maklumat yang tahapnya sama dengan para pelajar teknologi maklumat yang benar-benar teknikal. Cukuplah sekadar mereka memahami teknik-teknik penting dalam kewangan dan juga teknologi maklumat, dan bagaimana penggunaannya boleh membantu perniagaan untuk lebih berdaya saing. Sebagai bakal pemilik perniagaan atau CEO, mereka patut belajar bagaimana membuat pelan perancangan perniagaan yang berimpak tinggi, strategi perniagaan jangka panjang sederhana dan pendek, pelan pemasaran yang betul, teknik penjenamaan, pemasaran digital dan penggunaan media sosial, pembinaan kandungan atau content, taktik untuk mencari dana, penjualan, peminjaman modal, cara bootstrapping, bagaimana mendapatkan pelanggan berbayar, strategi harga, khidmat pelanggan, pengurusan operasi syarikat dan sebagainya. Golongan ini mungkin akan memulakan langkah mereka dengan freelancing terlebih dahulu secara kecil-kecilan dan kursus-kursus ini sedikit sebanyak akan membantu mereka untuk bermula.

Subjek-subjek ini lebih tepat untuk disediakan kepada para pelajar yang ingin bekerja di sektor korporat atau awam. Bagi golongan pelajar yang ingin bekerja pula, mereka cuma perlukan lesen atau ijazah sahaja. Jadi kursus-kursus yang berbentuk korporat perlu lebih dititik-beratkan agar mereka mampu membuat persediaan dalam mencari pekerjaan yang sesuai dengan jiwa eksekutif muda mereka. Diantara kursus-kursus yang boleh ditawarkan kepada mereka ialah perhubungan awam, perhubungan media, pemasaran, penjualan, teknik pengurusan pasukan, pengurusan lembaga pengarah, operasi dan yang sewaktu dengannya.

Pendedahan melalui praktikal atau perlaksanaan projek jangka panjang yang benar-benar wujud. Wujudkan beberapa projek secara dalam talian contohnya, yang benar-benar wujud, bagi para pelajar yang ingin memiliki perniagaan sendiri tadi untuk mencuba. Dapatkan mereka seorang mentor yang berpengalaman luas dalam perniagaan yang sama dengan projek yang akan dijalankan itu agar pelajar tadi dapat belajar dengan baik. Ini bakal membantu membuat persediaan yang lebih berkualiti ketika mereka masih belajar lagi. Dan apabila tamat pengajian, projek tadi boleh diteruskan yang boleh dijadikan sebagai perniagaan yang betul. Bagi pelajar yang lebih ke arah korporat pula, mereka boleh diletakkan dalam satu program latihan industri apabila sampai waktunya, ataupun boleh diberikan tugasan untuk bekerja ketika waktu cuti semester mereka yang panjang di syarikat-syarikat yang dikenalpasti oleh pihak universiti. Ini bakal membantu mereka membiasakan diri dengan keadaan sebenar di pejabat mengikut jabatan-jabatan yang mereka ditugaskan.

Kerap menjemput pemain-pemain industri ke universiti. Kebolehan pihak universiti dan para pensyarah terhad dalam akademik sahaja dan mereka hampir tidak pernah menjalankan perniagaan sepenuh masa. Dengan menjemput individu-individu yang mewakili syarikat-syarikat yang dipilih oleh universiti, mereka boleh berkongsi pengalaman, kisah-kisah benar, masalah-masalah yang dihadapi, cara penyelesaian yang dilakukan, teknik-teknik tertentu yang boleh dipelajari dan sebagainya dengan para pelajar. Dengan cara mendekatkan para pemain industri ini dengan pihak akademik, secara tidak langsung semua pihak akan untung kerana dapat belajar di antara satu sama lain melalui idea-idea yang dikongsi bersama.

Secara kasarnya, pihak universiti tidak akan tahu kelebihan dan kemahuan yang wujud pada setiap para pelajar. Tetapi dengan mengasingkan golongan pelajar yang benar-benar ingin memiliki perniagaan sendiri, kursus-kursus yang bersesuaian boleh diadakan untuk mereka. Ini dinamakan personalisation. Dari sini, pihak universiti akan dapat mengenalpasti jenis-jenis perniagaan yang mereka ingin ceburi dan boleh merangka pelan tindakan yang dinamik dan bersesuaian bagi merealisasikan objektif ini. Jadi dengan kursus-kursus yang fokus sebegini mereka akan bersedia dengan lebih awal lagi, berani untuk menghadapi cabaran dan bersemangat kental untuk menjadi usahawan yang berjaya setelah tamat pengajian nanti.

Dan yang pastinya mereka akan berterima kasih pada pihak universiti kerana membantu mereka secara formal pada peringkat yang paling awal sekali.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *