Bahasa Malaysia

Hati-Hati, Semua Orang Kini Pakar Pemasaran Digital

Dalam era media sosial yang serba canggih ini, setiap pemasar digital mudah membuat apa sahaja promosi yang mampu dilihat oleh beribu-ribu orang dalam masa yang paling singkat. Mereka boleh bercakap tentang pemasaran dan menawarkan apa sahaja perkhidmatan mereka tanpa berfikir panjang. Mereka tidak memikirkan implikasi yang bakal ditanggung para pelanggan dengan setiap promosi dan harga yang tidak munasabah yang dijanjikan.

MEMANG tidak dapat dinafikan keadaan di luar sana amat ‘bising’ sekali. Kita boleh lihat di media sosial tidak kira sama ada di laman Facebook, LinkedIn, Twitter mahupun Instagram ataupun YouTube, setiap orang kini mengaku diri mereka seorang pakar pemasaran digital. Mereka bukan sahaja memiliki agensi pemasaran digital sendiri, tetapi juga berpengalaman luas walaupun sebenarnya baharu sahaja menjadi graduan seminggu yang lalu.

Mereka mendakwa mempunyai kepakaran dalam membuat strategi pemasaran digital yang jauh lebih baik daripada agensi-agensi yang telah lama bertapak, walaupun sebenarnya kepakaran mereka tidak lebih dari sekadar mencari setiap maklumat di laman pencarian Google untuk penyebaran umum. Dalam pada masa yang sama, harga yang ditawarkan untuk khidmat pemasaran digital mereka juga terlalu menarik sekali, yang kadarnya jauh lebih murah daripada bayaran bulanan sebuah motosikal kapcai terpakai.

Dalam era media sosial yang serba canggih ini, setiap pemasar digital mudah membuat apa sahaja promosi yang mampu dilihat oleh beribu-ribu orang dalam masa yang paling singkat. Mereka boleh bercakap tentang pemasaran dan menawarkan apa sahaja perkhidmatan mereka tanpa berfikir panjang. Mereka tidak memikirkan implikasi yang bakal ditanggung para pelanggan dengan setiap promosi dan harga yang tidak munasabah yang dijanjikan.

Kebanyakan dari mereka tidak memikirkan risiko yang diambil para pelanggan mereka ketika perkhidmatan mereka ditagih. Biasanya para pelanggan akan berasa tertipu setelah beberapa bulan kontrak diikat kerana pelbagai masalah yang timbul. Rupa-rupanya baharu para pelanggan tadi sedar yang ‘pakar pemasaran digital’ yang mereka gunakan itu sebenarnya merupakan seorang pekerja di syarikat lain dan bisnes ini hanyalah separuh masa sahaja untuk pendapatan sampingan.

Sebagai seorang pelanggan, anda perlu lebih berhati-hati dengan kebisingan sebegini. Risiko anda terlalu tinggi sekiranya ‘pakar’ yang anda gunakan itu sebenarnya hanyalah seorang penganggur bertauliah. Dengan rangkaian media sosial yang dinamik, mereka menggunakan video dan poster untuk mempromosikan ‘jenama diri’ mereka. Mereka sememangnya tidak mampu untuk membuatkan anda percaya dengan kebolehan mereka tetapi mereka boleh membuatkan anda membeli dengan penawaran harga yang tidak masuk akal murahnya. Mereka tahu rakyat Malaysia memang gemar membeli produk dan perkhidmatan yang murah, walaupun kualiti yang ditawarkan diragui.

Bagaimana mereka boleh menjadi seorang pakar sedangkan hendak menulis pun tidak pandai? Jangan kata Bahasa Inggeris yang berterabur ejaan dan suku kata, penulisan Bahasa Malaysia yang digunakan dalam percakapan setiap hari juga tunggang-langgang. Seorang pakar pemasaran sebenar mampu untuk menterjemahkan pemikiran mereka dalam bentuk penulisan yang mampu difahami oleh pembaca. Mereka boleh menggunakan ayat-ayat yang mudah bagi membuatkan para pembaca memahami sesuatu topik yang kompleks.

Bagaimana boleh mengaku pakar strategi pemasaran tetapi berumur 24 tahun? Tidak salah untuk mengaku diri sendiri sebagai seorang usahawan atau Ketua Pegawai Eksekutif dalam usia muda tetapi untuk mengaku sebagai seorang pakar adalah sesuatu yang luar biasa. Berapa lama pengalaman pemasaran yang mereka ada dan siapakah pelanggan korporat yang pernah menggunakan khidmat mereka?

Bagaimana boleh mengaku sebagai pakar kalau nama sendiri pun tidak dapat dijumpai di Google? Ini salah satu cara untuk mengenalpasti kesahihan mereka. Cuba taip nama mereka di Google dan kemudian lihat di senarai yang dipaparkan. Sekiranya tiada langsung nama mereka tersenarai walaupun nama mereka ditaip secara langsung, anda boleh meragukan ‘kepakaran’ mereka.

Pastikan tahap kewibawaan atau authority mereka dalam industri pemasaran dengan melihat profil LinkedIn mereka. Pertama sekali, lihat terlebih dahulu berapa ramai pengikut dan rakan LinkedIn yang mereka ada dalam laman sosial profesional ini. Kemudian lihat pula berapa banyak artikel yang berkisar tentang pemasaran pernah mereka tulis di sini. Akhir sekali cuba anda pantau bagaimana interaksi mereka dalam menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh rakan-rakan mereka. Adakah kesemuanya konsisten? Jika tidak, maka anda perlu tahu risiko yang bakal anda hadapi sekiranya perkhidmatan mereka masih anda mahukan.

Mana-mana pakar pemasaran digital tidak akan mampu menjamin apa juga hasil dalam masa yang singkat, kerana ia cuma akan tercapai sekiranya sedikit masa diberikan. Tetapi ada ‘pakar-pakar’ di luar sana yang dapat menjamin hasil yang positif dalam masa yang singkat dengan harga yang tidak masuk akal murah. Jadi pesanan saya kepada anda – berhati-hati.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *