Bahasa Malaysia

Ketahui Cara Rancang Kempen Kesihatan Di Facebook Guna Petua Komunikasi Dale Carnegie

Apabila manusia diletakkan dalam beberapa kumpulan, mereka cenderung untuk berlawan dan bercanggah pendapat. Akhirnya terlalu banyak masa dihabiskan untuk menegakkan pendapat masing- masing, dan tujuan asal kempen untuk memberi kesedaran kesihatan kepada masyarakat tidak lagi dipedulikan.

Pada pertengahan tahun ini, saya telah membaca buku tersohor “How To Win Friends and Influence People” karya tokoh motivasi dan komunikasi terkenal Dale Carnegie. Ini adalah kali kedua saya membacanya, dan beberapa bulan selepas itu, ia telah mencetuskan ilham untuk saya aplikasikan kepada kempen kesedaran kesihatan di Facebook milik saya, bertajuk No Sugar Challenge.

Saya perhatikan walaupun hubungan manusia kini sangat cenderung kepada penggunaan media sosial dan telah membina corak komunikasi yang berbeza, intipati dan panduan di dalam buku Carnegie yang ditulis dalam tahun 1936, masih sangat relevan dan boleh diaplikasikan. Pada pandangan saya, walaupun cara berhubung dan bersosial sudah berbeza, kehendak dan kecenderungan manusia dalam membina kepercayaan dan perhubungan tetap sama dan tidak banyak berubah.

Saya juga membuat pemerhatian kepada beberapa kempen kesedaran kesihatan di media sosial yang dilaksanakan oleh pelbagai personaliti dan kumpulan- kumpulan tertentu. Ada pelbagai pendekatan yang diambil dan yang paling ketara pada pendapat saya, kempen- kempen di media sosial cenderung untuk meletakkan manusia di dalam kelompok atau kumpulan yang berbeza. Apabila manusia diletakkan dalam beberapa kumpulan, mereka cenderung untuk berlawan dan bercanggah pendapat. Akhirnya terlalu banyak masa dihabiskan untuk menegakkan pendapat masing- masing, dan tujuan asal kempen untuk memberi kesedaran kesihatan kepada masyarakat tidak lagi dipedulikan.

Berdasarkan sedikit pemerhatian ini dan 3 petua dalam buku Carnegie, saya memulakan kempen No Sugar Challenge yang kini telah masuk hari ke-122.

Bersetuju, Tanpa Perlu Berhujah

Sudah jadi lumrah pengguna media sosial, mereka sentiasa mahu memberitahu orang lain tentang kelebihan dan kehebatan masing- masing. Walaupun cara ini mungkin boleh meyakinkan sesetengah pihak, saya berpendapat ianya tidak dapat menyatukan semua orang untuk bersetuju dengan satu perkara. Jadi langkah pertama yang diambil oleh kempen No Sugar Challenge ialah dengan mengumumkan kepada khalayak bahawa ini adalah permulaan dan percubaan sahaja. Ini bertujuan untuk meletakkan pembaca hanya sebagai pemerhati sahaja terlebih dahulu.

Untuk itu, pada awal kempen, penulisan untuk kempen ini lebih memfokuskan kepada pengalaman diri sendiri dan bukan bercerita tentang orang lain dan perbandingan- perbandingan dengan perkara lain. Walaupun dalam topik dalam kempen No Sugar Challenge memberi ruang kepada penulisan berbentuk kritikan, saya pilih untuk menulis kandungan kempen dalam bentuk umum dan mengelak penulisan berbentuk hujah mencari penyokong dan pembangkang. Matlamat kempen pada peringkat ini hanya untuk mengumpul seberapa ramai orang yang menjadi pemerhati sahaja.

Sememangnya selama 30 hari pertama, kempen ini tidak begitu “panas” dan memang majoriti memilih untuk menjadi pemerhati sahaja. Oleh kerana kandungan yang ditulis tidak berbentuk kritikan yang boleh diperdebatkan, tidak ada satupun kandungan Facebook saya dikongsi oleh orang lain, apatah lagi menjadi viral. Saya menumpukan penulisan dalam bentuk pengetahuan am, fakta- fakta menarik dalam sejarah, trivia berdasarkan pelbagai bahan bacaan dan video- video yang saya tonton.

Namun begitu, selepas tempoh masa 30 hari, kempen ini mula menerima sokongan apabila rakan- rakan mula mewar- warkan kepada jaringan kenalan mereka pula. Saya juga diminta untuk berkongsi panduan supaya mereka boleh boleh melakukan cabaran hidup sihat tanpa gula. Walaupun kempen berjalan secara agak perlahan dan mendatar pada 30 hari pertama, saya tetap berpuas hati kerana menurut Carnegie, apabila kita mahu memulakan perbualan, jauhkan sikap suka berhujah dan mahu menang. Ianya tidak akan bawa kita ke mana- mana, malah mungkin akan menimbulkan tekanan dan menambah musuh pula. Jika kempen ini mendapat perhatian kerana sikap saya yang suka berhujah dan menang, pastinya ia tidak dapat dilaksanakan dalam jangkamasa yang panjang.

Jadilah Angin, Bukan Matahari

Menurut Carnegie, kita boleh berkomunikasi dalam gaya yang nyaman dan segar seperti angin, atau dengan gaya panas dan terik seperti matahari. Namun kita perlu tahu bahawa, komunikasi yang nyaman memudahkan kita membina kepercayaan dan menyebar pengaruh. Oleh kerana penulisan di media sosial seperti di Facebook amat mudah mencetuskan emosi pembaca, saya amat berhati- hati untuk memilih supaya kandungan penulisan kempen ini memberi kesegaran dan keseronokan kepada orang yang membaca dan mengikutinya.

Penulisan yang segar perlu mengelak daripada menulis dalam bentuk kritikan, cemuhan dan kutukan. Walaupun topik yang dibawa itu penting dan perlu diberi perhatian oleh khalayak, pendekatan secara mengkritik, mencemuh dan mengutuk boleh menyebabkan pembaca berbelah bahagi untuk bersetuju dengan kita. Kerapkali saya menemui penulisan di Facebook yang secara prinsipnya saya bersetuju tetapi amat tidak berminat dengan cara penyampaian yang merendah- rendahkan orang lain, memerli dan malah mengutuk secara terang- terangan.

Kempen ini membawa mesej yang penting kepada masyarakat dan saya tidak mahu ianya dikompromi dengan penulisan yang memberi kesan panas dan menyakitkan hati para pembaca. Untuk kempen ini, saya menyusun kandungan harian berbentuk santai, memberitahu tanpa mengajar pembaca dan memberi kesedaran tanpa memecahbelahkan.

Rahsiakan Kebijaksanaan Sendiri

Sambutan terhadap kempen No Sugar Challenge di Facebook hanya mula mendapat perhatian selepas lebih 30 hari ianya berlangsung. Dan dalam jangkamasa ini saya belajar saya perkara yang paling penting bagi memastikan kempen saya terus menjadi bualan orang ramai.

Dale Carnegie dalam bukunya ini ada menyebut tentang kecenderungan manusia yang seringkali mahu jadi lebih pandai daripada orang lain. Ini adalah tingkahlaku biasa kita temui apabila ramai orang mahu menjadi “lebih tahu” atau yang “paling tahu” dalam penulisan dan ketika melontarkan pendapat mereka. Saya juga melalui pengalaman ini sepanjang kempen dijalankan. Selain menerima reaksi positif dan bersetuju, saya juga berhadapan dengan komentar- komentar yang kurang bersetuju dengan pendekatan kempen dan tidak kurang juga yang mencadangkan pelbagai lagi cara lain yang boleh dicuba.

Kesemua komentar ini adalah berniat baik dan saya perlu berhati- hati untuk tidak terlalu emosi apabila memberi tindakbalas. Pengalaman sebegini boleh digunakan untuk menguji sejauh mana kita boleh bertoleransi dan berkomunikasi tanpa perlu timbul kontroversi. Pendekatan mudah yang digunakan dalam kempen ini ialah dengan secara berhemah menerima pendapat orang lain, mengaku kesilapan jika ada dan melakukan lebih banyak interaksi dalam bentuk pertanyaan dan meminta pendapat.

Pada saya, yang paling penting dalam kempen ini bukanlah mahu membuktikan saya lebih pandai, atau lebih bijak dan ada lebih ilmu dan maklumat, tetapi sejauh mana orang ramai mahu terus bersama- sama saya menyokong matlamat kempen ini. Benarlah kata- kata Carnegie, “Kita boleh jadi lebih bijak dari orang lain, tapi mereka tidak perlu mengetahuinya”!

Pilih Kumpulan Sasaran dan Media Sosial Utama

Selain memilih untuk mencuba 3 petua komunikasi Dale Carnegie, kempen ini juga telah menentukan kumpulan sasaran dan media sosial pilihan. Kumpulan sasaran yang paling mudah untuk dikuasai dalam kempen kesihatan seperti No Sugar Challenge ialah golongan wanita yang memiliki beberapa ciri utama. Kempen ini mensasarkan wanita dalam lingkungan usia 30-an, cenderung kepada isu kesihatan dan kecergasan dan aktif berkongsi di media sosial. Golongan ini biasanya sudah merasai perubahan pada tahap kesihatan dan kecergasan disebabkan oleh faktor- faktor seperti perubahan usia, melalui beberapa fasa kehidupan seperti berkahwin, hamil, melahirkan anak, di samping mempunyai pengalaman dalam peningkatan komitmen pekerjaan dan keluarga. Perubahan- perubahan ini telah meletakkan ramai wanita dalam kumpulan sasaran menjadi lebih peka terhadap isu kesihatan diri sendiri dan keluarga, malah tidak kurang juga yang sudah mula mengalami pelbagai masalah kesihatan dan kecergasan. Namun begitu, apa yang paling penting bagi kempen ini, kumpulan sasaran ini mestilah aktif menggunakan media sosial dan secara sukarela mahu memberitahu dan mengajak orang lain tentang adanya kempen No Sugar Challenge.

Saya mendapati kempen kesihatan seperti No Sugar Challenge memerlukan intipati berbentuk penulisan berinformasi, jadi saya memilih Facebook sebagai media utama untuk berkempen. Walaupun khalayak di Facebook lebih gemar bacaan yang santai namun mereka tetap mahukan penulisan yang boleh menambah nilai dan yang membolehkan mereka turut serta. Kempen ini juga mengambil kesempatan di pengakhiran tahun apabila ramai orang sudah mula merangka pelbagai azam dan perubahan peribadi yang mahu dicapai pada tahun baru, dan No Sugar Challenge boleh menjadi pilihan mereka.

Setakat hari ini, seramai hampir 500 orang telah menyertai kumpulan No Sugar Challenge di Facebook dan saya sendiri menerima lebih 800 kawan dan pengikut baharu. Kempen ini juga mengumpulkan lebih 1000 email dengan menawarkan menu percuma kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mencuba atau sekadar mahu ambil tahu bagaimana No Sugar Challenge boleh dilakukan dengan mudah.

Kempen ini dijangkakan akan lebih mendapat sambutan menjelang tahun baru dengan penyertaan aktif ahli- ahli di dalam kumpulan di Facebook. Komitmen harian saya juga bertambah bukan saja untuk memastikan kandungan dan penulisan di Facebook sentiasa berinformasi dan menarik, tetapi juga memastikan hubungan antara saya dan pengikut kempen menjadi lebih erat kerana mereka akan menjadi nadi penggerak dan kunci pemasaran kempen ini di masa hadapan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *