Bahasa Malaysia

Bina Kesetiaan Jenama Anda Melalui Pembentukan Emosi Pengguna

Memang tidak dapat dinafikan emosi merupakan pendorong utama kesetiaan seseorang individu itu terhadap jenama yang digunakan. Malah ia jauh lebih penting daripada faktor harga yang ditawarkan oleh jenama tersebut.

PORTAL marketingcharts.com yang terkenal dengan statistik dan laporan lengkap pemasaran dunia baru-baru ini telah menerbitkan satu statistik yang amat menarik perhatian saya. Menggunakan hasil daripada sumber bancian yang telah dibuat ke atas 9,123 pengguna yang berumur 18 tahun dan keatas di negara-negara seperti Brazil, Perancis, Germany, Itali, Belanda, Sepanyol, Sweden, United Kingdom and Amerika Syarikat, satu statistik yang berkisar tentang kaitan diantara kesetiaan pada satu-satu jenama itu dengan permainan emosi yang dibuat oleh jenama tersebut melalui jenis pemasaran yang dilakukan. Tidak kira ia berbentuk tradisional ataupun digital, kesemuanya dimasukkan sekali dalam satu laporan yang komprehensif.

Memang tidak dapat dinafikan emosi merupakan pendorong utama kesetiaan seseorang individu itu terhadap jenama yang digunakan. Malah ia jauh lebih penting daripada faktor harga yang ditawarkan oleh jenama tersebut.

Emosi yang mana satu yang lebih penting? Sekiranya mana-mana jenama inginkan lebih perhatian daripada pengguna, mereka perlu tahu emosi yang mana satu yang penting di sisi pengguna. Ia sebenarnya bermula dengan kejujuran dan berintegriti. Dalam bancian yang diadakan, 22 peratus pengguna di negara-negara ini beranggapan bahawa jenama yang jujur, berintegriti dan terbuka akan lebih menarik para pengguna untuk lebih setia menggunakan produk mereka. Selain daripada jujur dan berintegriti, para pengguna juga akan lebih setia sekiranya jenama tersebut boleh mempamerkan faktor keselamatan dan faktor yang membuatkan pengguna berasa mereka juga adalah sebahagian dari jenama tersebut. Dalam bancian ini juga mereka mendapati rasa puashati juga penting dalam mewujudkan kesetiaan pengguna kepada jenama tersebut.

Senaraikan emosi-emosi yang telah dibanci mengikut kadar kepentingan? Menurut bancian yang telah dilakukan keatas para pengguna tadi, yang melibatkan sektor-sektor industri kewangan, peruncitan, automotif dan telekomunikasi, berikut adalah senarai emosi yang telah dibanci mengikut kepentingan para pengguna yang dapat mendorong mereka untuk setia kepada mana-mana jenama tertentu. Yang paling utama ialah rasa jujur, kemudian diikuti oleh rasa percaya, integriti, penglibatan pengguna dengan jenama, rasa selamat, kebiasaan melihat dan mendengar tentang jenama itu, rasa bahagia dan senang hati, rasa bersyukur, rasa belas kasihan dan akhir sekali rasa terkejut. Anda boleh menggunakan sentimen-sentimen ini mengikut kesesuaian mereka pada strategi pemasaran produk dan perkhidmatan anda.

Apakah yang benar-benar bernilai kepada para pengguna? Terdapat pula kelompok yang lebih percaya kepada tawaran nilai dan faktor-faktor lain yang lebih rasional yang membentuk rasa lebih setia kepada sesuatu jenama berbanding faktor emosi. Mereka ini terdiri daripada golongan pertengahan umur yang berusia di antara 37 hingga 52 tahun, berkahwin dan mempunyai anak. Ia agak berbeza dengan kelompok yang benar-benar percaya kepada faktor emosi yang mendorong kepada kesetiaan pada jenama. Mereka ini terdiri daripada golongan yang lebih muda iaitu yang berusia di antara 22 hingga 36 tahun dan belum lagi berumahtangga.

Bagaimana caranya untuk mengeluarkan emosi-emosi ini dari para pengguna? Salah satu cara yang sering digunakan ialah melalui strategi penceritaan atau storytelling. Selain daripada itu, anda juga boleh berkongsi tentang risiko yang boleh terjadi sekiranya sesuatu berlaku yang bakal membuatkan pengguna berasa risau atau takut, berkongsi tentang pengalaman dan menyediakan sesuatu bahan yang berinspirasi juga sangat membantu.

Secara purata, setiap orang terdedah kepada tidak kurang dari 50,000 iklan yang terpampang di hadapan mata mereka setiap hari. Dalam angka 50,000 itu tadi, cuma 12 hingga 15 iklan sahaja yang bakal diingati oleh individu tersebut. Kurang dari 1 peratus. Jadi persoalannya di sini ialah, bagaimana iklan dan pemasaran anda akan dapat diingati oleh para pengguna di luar sana dan berdiri jauh dari segala kebisingan yang ada?

Jawapannya akan terletak kepada permainan emosi. Tidak kira sama ada jenama anda adalah jenama gergasi ataupun sekadar jenama biasa, faktor ini yang akan menentukan kejayaan anda. Jual, jual dan jual sudah tidak mampu lagi pergi jauh, hanya permainan emosi dan bagaimana mereka bayangkan pengalaman menggunakan produk anda itu yang bakal membantu jenama anda ke hadapan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *