Bahasa Malaysia

2018: Trend Pemasaran Digital Di Malaysia Kali Ini Akan Mengubah Landskap Bisnes Anda

Saya pasti trend yang ada sekarang bukan sahaja akan berterusan, malah ia akan menjadi jauh lebih ketara lagi yang akan mempengaruhi semua pihak termasuklah pengguna. Dalam ramalan saya, ini yang bakal menanti anda di tahun 2018 nanti.

Tahun 2017 akan melabuhkan tirainya tidak berapa lama lagi. Sama seperti industri lain, pemasaran digital di Malaysia juga turut merakamkan pelbagai peristiwa pahit manis sepanjang tahun ini. Saya pasti trend yang ada sekarang bukan sahaja akan berterusan, malah ia akan menjadi jauh lebih ketara lagi yang akan mempengaruhi semua pihak termasuklah pengguna. Dalam ramalan saya, ini yang bakal menanti anda di tahun 2018 nanti;

Agensi pengiklanan dan pemasaran digital akan terus berkurangan. Jenama-jenama besar dan sederhana sedikit demi sedikit kini mula mengambil alih segala operasi dan strategi pengiklanan dan pemasaran jenama mereka sendiri. Strategi penyumberan luar atau outsourcing yang dahulunya digunapakai kini tidak lagi sesuai. Dua sebab utama mengapa ini berlaku ialah kerana faktor kos yang semakin tidak masuk akal dan juga masa yang terlalu lama yang diambil oleh agensi-agensi ini untuk memberi tindak balas terhadap permintaan yang dibuat oleh pelanggan. Sama seperti di benua Amerika dan Eropah, agensi-agensi di Malaysia juga kini mula merasa bahangnya dan yang telah menutup kedai pun sudah ada.

Pemasaran individu berpengaruh atau Influencer Marketing akan meningkat. Jenama-jenama di Malaysia pada tahun 2018 nanti akan semakin rancak mengambil kesempatan ke atas kekuatan pengaruh yang ada dikalangan individu-individu popular di media sosial. Pemasaran secara ini nampak lebih menjanjikan hasil yang boleh diramal berbanding pembayaran iklan di platform media sosial. Walaupun kadar yang dibayar jauh lebih mahal, namun penularan yang dibuat mampu melonjak tinggi dan meyakinkan kerana individu yang berpengaruh tadi mempunyai karisma yang kuat ke atas para pengikutnya yang berpuluh-puluh ribu itu di media sosial.

Kesetiaan kepada mana-mana jenama akan hilang. Tahun 2018 bakal menyaksikan para pengguna tidak lagi setia kepada jenama yang pernah mereka sokong sebelum ini. Bagi mereka, ia sesuatu yang tidak lagi berbaloi dan merugikan diri mereka sendiri. Mereka berasakan tidak mendapat apa-apa langsung dari kesetiaan yang diberikan selama ini. Mereka tidak mahu lagi perhubungan yang berat sebelah. Kita akan melihat para pengguna akan memilih jenama yang memberikan tawaran nilai yang terbaik kepada wang mereka.

Kandungan atau content akan terus menjadi raja. Bukan itu sahaja, media sosial dan internet akan terus dibanjiri dengan pelbagai bentuk kandungan kerana sesiapa sahaja boleh menyediakannya. Penulisan artikel, video secara langsung ataupun yang dirakam, gambar-gambar yang menarik dan GIF kini terlalu mudah untuk dibuat. Apa yang anda perlu ada cuma sebuah telefon pintar dan akses ke internet, itu sahaja.

Penularan secara organik akan pupus di media sosial. Dahulu di Facebook, semuanya percuma. Kini, semuanya kena bayar. Sama seperti di Instagram, Twitter dan LinkedIn. Sekiranya anda bayar, penularan yang bakal wujud ke atas setiap status yang dimuatnaik pasti besar. Sebaliknya jika tidak dibayar, tiada siapa yang tahu yang anda baru sahaja memuatnaik status terbaharu. Terima kasih kepada algoritma yang ada.

Pemasaran tradisional dan perhubungan awam yang terus berkembang pesat. Kedua-dua pemasaran tradisional dan perhubungan awam sebenarnya saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain bersama-sama dengan pemasaran digital. Dengan kata lain, untuk berjaya dalam kempen pemasaran anda, ketiga-tiga ini harus dilaksanakan serentak. Ramai ‘pakar’ pemasaran digital yang meramalkan kepupusan media-media tradisional ini tetapi ia tidak berlaku. Malah media-media tradisional masih lagi bertahan sehingga sekarang.

Cubaan lebih agresif oleh jenama untuk menjadi sebahagian dari kehidupan seharian anda. Mereka tidak akan duduk diam dan akan terus mencuba untuk mempengaruhi anda membeli produk atau perkhidmatan mereka walaupun pada hakikatnya anda tiada keperluan langsung untuk berbuat demikian. Mereka mahu anda melihat jenama mereka relevan dalam hidup anda. Mereka mahu menjadi sebahagian dari kehidupan seharian anda.

Video, kandungan yang paling mendapat sambutan. Lihat sahaja bagaimana sambutan para pengikut anda pada video yang telah anda muatnaik di media sosial. Jauh lebih besar jumlah engagement yang wujud berbanding dengan kandungan bukan video betul? Jumlah Like, komen dan perkongsian yang besar wujud kerana algoritma yang ada menyokong video sebagai kandungan yang rangkaian-rangkaian media sosial ini mahukan di platform mereka.

Anda telah bersedia untuk ‘menyerang’ tahun 2018 ini, atau masih lagi bertahan?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *