Bahasa Malaysia

Seminar Last-Minute: Pemasaran Pintas Untuk Dapatkan Peserta Berbayar Dengan Segera.

Biasanya setiap kempen pemasaran yang saya lakukan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 6 hingga 12 bulan bagi mendapatkan hasil yang terbaik, tetapi kali ini saya hanya diberi masa 2 bulan bagi mengisi tidak kurang 70 tempat duduk yang setiap satu berharga RM 1,700. Satu tugasan yang amat-amat mencabar minda tetapi tidak dinafikan memang menarik.

DUA minggu yang lalu, seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat yang berpusat di Sydney, Australia telah menghubungi saya dan meminta bantuan untuk mendapatkan peserta berbayar bagi satu seminar. Beliau ingin menggunakan kaedah pemasaran digital kerana pada beliau ia boleh dilakukan dengan berkesan berbanding pemasaran tradisional yang akan memakan masa lebih lama.

Saya bercakap melalui telefon selama 3 jam dengan beliau untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang seminar yang akan dijalankan, tajuk dan industri yang berkaitan dengan seminar tersebut, tarikh dan masa yang dirancang, tempat di mana ia akan diadakan, siapakah sasaran peserta dan sebagainya. Berpeluh juga telinga saya ketika itu. Rupa-rupanya syarikat beliau menjalankan kursus-kursus berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerja dan seminar yang akan dijalankan secara langsung ada kaitannya tentang subjek ini. Yang paling menarik sekali, ia akan diadakan dalam masa 2 bulan lagi, iaitu pada 21 dan 22 Februari 2018 yang akan datang!

Biasanya setiap kempen pemasaran yang saya lakukan perlu mengambil masa sekurang-kurangnya 6 hingga 12 bulan bagi mendapatkan hasil yang terbaik, tetapi kali ini saya hanya diberi masa 2 bulan bagi mengisi tidak kurang 70 tempat duduk yang setiap satu berharga RM 1,700. Satu tugasan yang amat-amat mencabar minda tetapi tidak dinafikan memang menarik. Saya terus menerima cabaran ini setelah seharian berfikir. Projek ini tidak mustahil boleh berjaya sekiranya strategi yang disediakan itu cukup kreatif. Semuanya bergantung kepada strategi yang diatur.

Selang beberapa hari saya diberikan bahan-bahan pemasaran dan gambar-gambar yang berkaitan dengan seminar tersebut. Saya mengambil masa selama 5 hari untuk melakar strategi yang saya namakan pemasaran yang tiada hari esok. Ia menggunakan jalan-jalan pintas yang saya mampu fikirkan yang mempunyai kemungkinan besar akan berjaya. Ini yang akan dilakukan.

Laman web ringkas, tetapi padat dan bersih. Laman web amat penting dalam kempen pemasaran pintas saya kerana di sini bakal-bakal peserta yang berminat akan membuat sedikit pengesahan tentang seminar yang dicanangkan itu. Kerja rumah sebegini memang biasa terutamanya apabila kempen yang dilakukan menggunakan kaedah digital kerana terlalu banyak penipuan sekarang di mana-mana. Dalam pada masa yang sama, diletakkan juga satu butang CTA atau Call-To-Action di dalam laman web tersebut. Ia semata-mata bertujuan bagi ‘memujuk’ para pengunjung yang berminat untuk mendaftar untuk terus membuat pendaftaran.

Laman Eventbrite. Apabila butang itu diklik, para pengunjung tadi akan dibawa ke laman Eventbrite. Laman web ini dibina oleh Kevin Hartz, Julia Hartz dan Renaud Visage pada tahun 2006 bagi memudahkan sesiapa sahaja untuk mengadakan majlis dan seminar terutamanya dari aspek pemberitahuan tentang latar belakang majlis atau seminar yang bakal berlangsung, proses pendaftaran, tempahan yang boleh dibuat dan bayaran secara elektronik yang lebih mudah.

Senarai e-mel nama-nama yang berpotensi untuk datang. Pasukan saya bakal menggunakan e-mel korporat dari syarikat ini untuk menghantar e-mel kepada setiap nama yang ada di dalam pengkalan data yang diberikan. Sasaran ini biasanya tepat kerana mereka adalah daripada kumpulan yang betul. Cara penulisan kandungan e-mel juga penting. Kita berhasrat untuk tidak menggunakan apa-apa gambar atau imej html tetapi hanya melalui perkataan. Ini akan lebih menjadikan e-mel yang akan dihantar itu lebih bersifat peribadi.

Parameter atau kategori latar belakang sasaran peserta untuk media sosial. Kita juga mewujudkan parameter latar belakang sasaran peserta. Dari peringkat umur, pekerjaan, minat, industri, jantina, lokasi dan sebagainya perlu diketahui kerana kita bakal menggunakan iklan berbayar di rangkaian-rangkaian media sosial yang telah dikenalpasti.

Bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, hospital dan syarikat ambulans yang berkaitan. Kita perlu mengambil kesempatan ini untuk mewujudkan kerjasama menang-menang dengan agensi kerajaan, hospital dan syarikat-syarikat ambulans yang berkaitan dengan kesihatan dan keselamatan pekerja, dan menggunakan mekanisme mereka bagi membesarkan lagi pengedaran maklumat tentang seminar ini. Mereka mempunyai ekosistem yang amat luas dari aspek peserta dan juga vendor-vendor tertentu yang berkaitan.

Menggunakan pengaruh dari kalangan para profesional dari industri yang sama. Kita telah mengenalpasti sekurang-kurangnya 20 individu profesional yang boleh membantu kempen ini dengan memberitahu rakan-rakan media sosial mereka tentang seminar ini. Mereka perlu membantu untuk memuatnaik status yang kita akan berikan nanti. Bayangkan sekiranya mereka mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 orang rakan di media sosial kegemaran mereka, dengan 20 orang individu tadi, kempen ini mampu mencecah 20,000 orang dalam sekelip mata.

Kalau anda lihat dengan mendalam, strategi pemasaran yang ada di atas adalah kombinasi di antara pemasaran digital dan tradisional. Biasanya saya akan memasukkan sekali elemen perhubungan awam namun memandangkan masa yang terlalu singkat, ia tidak sesuai sama sekali. Diharapkan agar kempen pemasaran pintas ini akan mendatangkan hasil yang sepatutnya di penghujung Februari 2018 nanti.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *