Bahasa Malaysia

7 Saat Pertama Amat Penting Untuk First Impression Yang Terbaik. Guna Cara Mudah Tapi Berkesan Ini

Anda mempunyai hanya tujuh saat - tetapi jika anda berjaya mengendalikannya dengan baik, tujuh saat adalah semua yang anda perlukan!

Kata pepatah “Anda hanya mempunyai satu peluang untuk menjayakan tanggapan pertama”, adalah sangat benar dan diperlukan di mana-mana situasi, dari menghadiri sesi temuduga kerja sehinggalah panggilan jualan di talian.

Ya, tidak dinafikan ramai yang tahu bahawa pentingnya tanggapan pertama ini. Tetapi percayalah, tidak ramai sebenarnya yang tahu bahawa tanggapan pertama ini berlaku di dalam sesingkat 7 saat pertama sesuatu pertemuan.

Bayangkan situasi begini,
Anda menerima panggilan, ianya jemputan menghadiri satu mesyuarat penting bersama dengan salah seorang Lembaga Pengarah syarikat untuk kali pertamanya, atau mungkinkah ia satu-satunya panggilan menghadiri temuduga kerja setelah setahun anda menganggur. Atau, satu jemputan menghadiri sesi membina rangkaian bersama rakan-rakan usahawan yang lain, di mana anda dikatakan masih baru di dalam bidang keusahawanan? Pelbagai soalan mula bermain di minda, antaranya-apakah yang perlu dilakukan, di manakah hendak bermula, bagaimanakah saya mampu memberikan tanggapan pertama yang baik ?

Sebaik seseorang melihat anda pada kali pertamanya , minda mereka akan mula melakukan pelbagai pengiraan , andaian, penilaian , pandangan , malah menghukum anda secara positif atau negatif…

  1. Adakah anda seseorang yang boleh didekati atau dijauhi
  2. Seorang kawan atau lawan
  3. Mempunyai status dan autoriti ?
  4. Seseorang yang boleh dipercayai , berkemahiran , disukai ramai dan berkeyakinan

Pengiraan di atas berlaku sepantas cahaya – di mana keputusan dibuat terhadap satu sama lain berlaku di dalam durasi 7 saat pertama ini. Di dalam interaksi perniagaan mahupun sosial , tanggapan pertama ini amatlah penting. Pastinya anda tidak dapat menahan mereka (orang ramai) dari terus menilai anda kerana otak manusia secara semulajadinya sudah dibina sedemikian rupa.

Tanggapan pertama ini kebanyakkan masanya lebih dipengaruhi oleh komunikasi bukan lisan berbanding secara lisan. Malah, menurut kajian, mereka mendapati komunikasi bukan lisan ini memberikan impak sebanyak 4 kali ganda dari segi tanggapan pertama, berbanding dengan apa yang anda cuba perkatakan (juga perkataan yang anda pilih).

Berikut merupakan tujuh isyarat bukan lisan menghasilkan tanggapan pertama yang berkesan :

  1. Jaga tingkahlaku – orang ramai cepat menilai dan membuat persepsi berdasarkan apa yang mereka lihat di hadapan mata mereka. Jadi, sebaik sahaja anda melangkah masuk ke bilik mesyuarat, dewan persidangan, naik ke atas pentas untuk berucap atau menerima anugerah, bilik temuduga, mahupun di tempat-tempat awam seperti sedang menaiki LRT – sebelum sempat anda berkata-kata, tingkah laku anda dari sudut jauh pun sudah dinilai dan dihukum sebagai positif atau negatif. Fikirkan tentang keadaan ini sebelum anda hadir ke mana-mana majlis atau situasi, dan zahirkan tingkahlaku yang menyenangkan pandangan mata semua agar anda dikenali sebagai seorang yang boleh dihormati dan dipercayai.
  2. Perbetulkan postur – dari jauh , cara bagaimana anda berdiri , duduk , berjalan dan melangkah memberikan gambaran sikap anda secara tidak langsung. Malas, bosan, tidak berminat, resah – segalanya negatif , atau mungkinkah anda menunjukkan sikap yang positif , keyakinan yang tinggi dan lebih profesional ? Malah menjaga postur juga sebenarnya membantu anda kelihatan lebih tinggi dari biasa, berbanding jika anda berdiri , duduk dan berjalan dengan cara yang agak malas. Sebagai Perunding Imej dan Konsultan Imej Korporat yang telah mengendalikan program Kecemerlangan Imej dan Ketrampilan Diri kepada lebih ribuan peserta sehingga hari ini, saya melihat faktor pemilihan jenis kasut juga penting kepada seseorang individu. Kasut yang sesuai sekaligus membantu anda untuk berdiri dan berjalan dengan penuh berkeyakinan. Ia juga mencerminkan keperibadian dan personaliti , juga sikap mereka secara tidak langsung. Ya tentunya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan, sakit kaki atau tulang belakang seperti slip-disc, ia dikecualikan.
  3. Senyuman yang manis – ‘Smile and the whole world smiles with you’ . Apa agaknya perasaan anda apabila melangkah masuk ke sesuatu tempat , seperti dewan kuliah, pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi, kaunter resepsi hotel, butik pakaian mewah di KLCC , anda disapa dengan senyuman yang manis dari mereka yang ada berhampiran ? Tidakkah anda merasa lega, seakan diri diterima dan percaya bahawa apa pun transaksi seterusnya , ia akan berlaku dengan mudah dan lancar. Senyuman anda merupakan sebuah ‘jemputan’ , tanda isyarat penerimaan – ia seakan berbunyi ‘saya seorang yang mesra dan mudah didekati’.
  4. Membuat hubungan mata – memandang mata seseorang ibarat anda menghantar tenaga , menunjukkan minat dan sikap keterbukaan kepada individu lain. Bagi seorang Muslim yang merasakan ini agak sukar dilakukan (juga menjaga aurat) , saya menyarankan agar anda melihat kepada kawasan dahi individu tersebut , atau kawasan segitiga antara dahi dan kedua-dua mata itu tadi – iaitu di antara pertemuan kedua belah bulu kening itu , ketika bercakap.
  5. Ekspresi bulu kening – walaupun bunyinya agak janggal, tetapi dengan membuka mata anda lebih luas dari biasa ketika bercakap, secara tidak langsung bulu kening akan mudah terangkat (eyebrow flash), satu isyarat universal menandakan anda menghargai dan menghormati individu tersebut.
  6. Berjabat tangan – salah satu cara yang paling pantas dan paling efektif untuk membina hubungan baik. Kajian juga menunjukkan bahawa , secara puratanya ia mengambil masa selama 3 jam interaksi secara berterusan dengan individu yang lain hanya untuk membina hubungan – tetapi sebaliknya anda boleh capai matlamat itu dengan hanya berjabat tangan sahaja. Cara berjabat tangan haruslah kemas dan ringkas. Kenalpasti situasi – perniagaan ataupun sosial untuk membezakan jenis berjabat tangan itu tadi.
  7. Membongkokkan sedikit badan ke hadapan ketika berkomunikasi – ia menggambarkan yang anda menunjukkan minat dan menumpukan seluruh perhatian kepada individu tersebut. Tetapi hati-hati dengan ruang peribadi mereka. Di dalam interaksi perniagaan, disarankan agar berdiri lebih 2 kaki jaraknya dengan individu tersebut. Ini bagi memberikan isyarat anda menghormati mereka.

Setiap titik pertemuan, dari persidangan ke bilik mesyuarat, sesi temuduga kerja malah makan tengahari bersama potensi pelabur perniagaan, ia membuka peluang untuk anda bertemu dengan orang ramai, membina rangkaian, dan mengembangkan hubungan profesional anda dengan menghasilkan kesan tanggapan pertama yang positif. Anda mempunyai hanya tujuh saat – tetapi jika anda berjaya mengendalikannya dengan baik, tujuh saat adalah semua yang anda perlukan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *