Bahasa Malaysia

Tahun Baharu, Saat Terbaik Untuk Imej Yang Lebih Versatile. Formula Ini Boleh Membantu.

Pakaian mengukuhkan lagi imej diri dan secara tidak langsung membantu dalam menentukan siapa kita, latarbelakang juga kejayaan kita sebagai individu.

Dari pelbagai cara yang kita pilih untuk menyatakan siapa kita hari ini, penggunaan warna dan gaya merupakan antara elemen yang memberikan impak pantas dan paling berkesan. Pakaian bukan sekadar berfungsi untuk membaluti tubuh dan melindungi kita – tetapi ia memberikan ‘visual statement’ tentang bagaimana kita melihat diri sendiri. Pakaian mengukuhkan lagi imej diri dan secara tidak langsung membantu dalam menentukan siapa kita, latarbelakang juga kejayaan kita sebagai individu.

Seperti kata pepatah popular ‘Don’t judge a book by it’s cover’ – tetapi malangnya , realitinya dunia hari ini, siapapun kita sebagai individu, kita sering dinilai, orang ramai mempunyai persepsi berbeza , pandangan malah menghukum siapa kita secara positif mahupun negatif sesingkat 7 saat pertama pertemuan . Ya, hanya berdasarkan informasi yang terhad yang mereka lihat secara visual itu, mereka telahpun menilai kita secara baik atau buruk. Boleh diterima menjadi kawan atau lawan. Patut dihormati, dipercayai atau perlu dijauhi. Menakutkan , bukan ? Tetapi itulah realitinya!

Mengimbas kembali pengalaman ketika dijemput ke konti radio Ikim.fm tahun lepas bagi membicarakan topik artikel saya ‘Hidup dibayangi label dan jenama’ dan pengalaman di studio untuk program rancangan Assalamualaikum TV Al Hijrah bagi topik ‘Sara Trend’ , sedikit sebanyak saya mendapat komen dan reaksi positif dari para pendengar dan penonton bahawa , barangan mewah , label dan berjenama bukanlah perkara utama yang diperlukan untuk meningkatkan keyakinan diri dan menunjukkan status kejayaan , kekayaan dan siapa kita hari ini. Obsesi begitu bukan sahaja membawa seseorang individu itu ke dalam perangkap status bankrupsi , malah menjadi mangsa fesyen – akhirnya hanya menjadi bahan bualan, kritikan dan kecaman orang ramai.  Saya pasti anda juga tidak mahu dilabel begitu.

Formula saya ?

Bijak menguruskan persepsi orang ramai agar mereka melihat anda sebagai seorang individu yang penuh berkeyakinan, positif , berwibawa, profesional dan berjaya!

Ya, bukan lagi kenyataan “Fake it till you make it!”

Tetapi, fake it till you become it!”

Jika anda kurang berkeyakinan dengan diri sendiri , cipta keyakinan itu. Bukan bergantung kepada logo, label dan status semata-mata untuk membina keyakinan diri. Jadi, apakah antara perkara yang paling mudah , jimat dan tanpa kos anda boleh lakukan ? Mulakan dengan formula ini. Lihat cermin sekarang. .. dan sebut, satu , dua , tiga! Adakah anda tersenyum ? Nah! Tidakkah anda berasa lebih yakin ? Percayalah, mulakan hari anda dengan perkara yang paling mudah. Berikan senyuman yang paling indah kepada mereka di sekeliling anda. Lihat sendiri bagaimana formula semudah ini mampu memberikan aura positif kepada hari anda. Dilihat sebagai individu yang peramah, dan boleh dipercayai, orang ramai akan mula menghormati anda malah komunikasi dan urusan harian akan menjadi lebih mudah dan pantas.

Antara langkah-langkah pertama yang anda boleh lakukan hari ini adalah:

1. Kenalpasti siapa diri anda , di mana anda hari ini dan apakah visi , misi dan objektif anda di dalam kehidupan. Di manakah anda agaknya di dalam 5 tahun , 10 tahun akan datang.

  • Menyebut tentang siapa anda – Rujuk kepada jawatan anda hari ini, industri pekerjaan / syarikat, apakah kod pakaian yang ditetapkan syarikat dan nilai-nilai jenama diri*
  • Ingat petikan ini ‘Dress for the job that you want, not for the job that you have’. Sekiranya anda bercita-cita untuk mencapai jawatan Pengurus atau Pengarah satu hari nanti, atau mungkin satu tahap selesa dari pangkat anda hari ini – maka pilihan jenis pakaian (formaliti) – warna , gaya , potongan baju malah jenis fabrik juga harus mencerminkan anda sudah pun berada di tahap itu! Ya, seperti saya tekankan di atas tadi , ‘Fake it till you become it!’.

2. Apakah bajet bulanan dan tahunan yang anda mampu peruntukkan untuk diri sendiri ? Saya cadangkan 6% sahaja dari gaji bulanan dan simpan sehingga anda benar-benar bersedia untuk bershopping.

  • Senaraikan barang-barang mengikut 2 kategori ini – adakah ia satu keperluan atau kehendak semata-mata . Di sini anda dapat menilai apa yang terbaik untuk anda , dari terus melakukan pembaziran tanpa anda sedari.

3. Sebelum anda bercadang untuk terus membeli koleksi pakaian yang baru, elok jugalah anda mula melakukan ‘wardrobe spring cleaning’ agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Beli dan terus obses membeli sehingga akhirnya menyesal kerana membazir. Tidak hairanlah jugalah,  jika satu artikel yang ditulis di The Wall Street Journal pernah mengatakan bahawa, wanita hari ini hanya menggunakan 20% daripada keseluruhan koleksi wardrobe yang mereka ada, sepanjang 80% masa mereka. Selebihnya dibiarkan berlonggok di dalam almari kerana tersalah memilih warna, jenis fabrik, potongan baju (cutting) , juga saiz. Apakah yang boleh anda lakukan ? Rujuk kembali langkah pertama di atas tadi untuk memastikan anda berada di ‘trek’ yang betul.

4. Tetapkan azam untuk terus komited dan konsisten untuk berubah. Percayalah, tiada kejayaan akan datang kepada kita tanpa komitmen dan minda yang positif bahawa kita mampu lakukan. Jangan sesekali wujud perkataan 2M ini – malas, dan tiada masa dalam diari membina kejayaan.

Ya, tiada wujud istilah quick miracle solution di sini. Kejayaan anda sangat bergantung kepada sejauh dan secepat mana anda bertindak. Mulakan dengan apa yang anda lihat di depan mata dan apa yang anda miliki dahulu. Tak perlu terburu-buru untuk mencari sesuatu yang baru sehingga anda benar-benar telah mengikuti langkah yang dikongsikan tadi. Harus diingat bahawa, hanya 7% akan dinilai oleh orang ramai berdasarkan apa yang anda katakan (perkataan yang anda pilih) 38% berdasarkan intonasi suara (cara anda berkomunikasi) dan selebihnya 55% sangat bergantung kepada penggunaan bahasa badan dan juga visual atau penampilan diri. Sebaliknya pula kepada gambaran imej anda di dalam media sosial. Walaupun rakan-rakan tidak dapat melihat anda secara visual (penampilan) , pilihan nama dan gambar profil, perkataan dan intonasi status harian akan memberikan gambaran anda seorang individu yang positif atau sebaliknya.

Jika anda masih agak keliru dengan langkah-langkah di atas tadi, bagaimana jika saya sarankan anda berdiri di hadapan cermin sekarang , dan lihat visual yang ada di hadapan anda itu. Apakah 3 perkataan pertama yang anda boleh gambarkan tentang visual tersebut ? Adakah perkataan yang dipilih mendorong anda untuk menggambarkan visual – individu yang positif atau negatif ?

Jangan jadikan umur, profesion, industri , gaya hidup, kekangan kewangan dan juga cabaran bentuk badan menghalang anda untuk membina atau menampilkan imej yang positif . Seperti kata pepatah ‘Jika anda tidak bersedia untuk belajar, tiada siapa yang dapat membantu anda. Tetapi sebaliknya , jika anda bertekad untuk memperbaiki diri sendiri dan belajar untuk berubah , tiada siapa yang dapat menghalang anda untuk berjaya’.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *