Bahasa Malaysia

Fungsi Baharu Twitter Yang Anda Tidak Perasan Wujud

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Statista, Twitter kini berada pada tangga keempat selepas Facebook, YouTube dan Instagram dari senarai rangkaian media sosial keseluruhan yang mempunyai jumlah akaun aktif tertinggi dunia.

Sekiranya anda seorang pengguna tegar Twitter, rangkaian media sosial ini telah melancarkan beberapa fungsi baharu mereka sejak bulan Oktober 2017 lalu semata-mata untuk mengejar saluran yang lain yang lebih inovatif. Langkah-langkah proaktif ini diambil setelah jualan mereka merekodkan penurunan ketara dan pengguna aktif mereka kekal statik selama untuk dua tahun berturut-turut sebelum ini, yang mengundang rasa tidak puashati dikalangan ahli-ahli lembaga pengarah mereka.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Statista, sebuah portal yang berpusat di Hamburg, Jerman, setakat bulan Oktober 2017, Twitter kini berada pada tangga keempat selepas Facebook, YouTube dan Instagram dari senarai rangkaian media sosial keseluruhan yang mempunyai jumlah akaun aktif tertinggi dunia. Mereka memiliki sebanyak 328 juta pengguna aktif, angka yang jauh berkurangan berbanding pendahulu Facebook yang mempunyai jumlah akaun aktif yang melebihi 2 billion. YouTube dan Instagram pula berada di tangga kedua dan ketiga masing-masing mempunyai pengguna aktif sebanyak 1.5 billion dan 700 juta orang.

Dengan pengenalan beberapa fungsi baharu ini, Twitter mahu terus bersaing. Mereka mahu juga memastikan para pengguna yang sedia ada terus kekal menggunakan rangkaian ini untuk berinteraksi, disamping menarik pengguna-pengguna baharu.

Fungsi penulisan berangkai atau thread. Beberapa hari yang lepas, Twitter secara rasminya telah melancarkan fungsi paling terbaru mereka di beberapa negara Asia termasuk Malaysia iaitu penulisan berangkai atau thread. Anda kini mempunyai pilihan untuk menyambung status anda kepada tweet yang baharu dibawah tweet utama sekiranya anda ingin menulis lebih dari 280 huruf. Kalau dahulu, rangkaian yang wujud boleh ‘terpotong’ dengan mudah kerana terdapat status-status yang ditulis oleh orang lain diantara thread kita yang ditulis. Kini, ia kelihatan lebih menarik dan berterusan.

Pengenalan kuota 280 huruf. Pada Disember lepas, Twitter telah menambah jumlah kuota huruf yang boleh ditulis menjadi 280 huruf berbanding 140 huruf sahaja sebelum ini. Pengenalan ini mengundang reaksi yang pelbagai daripada pengguna tegar mereka terutamanya di Malaysia. Ada yang suka, ada yang marah, malah ada juga yang kecewa kerana menurut mereka Twitter kini tidak lagi seperti dahulu. Ada juga yang mengatakan ‘sampah’ juga semakin banyak dengan wujudnya fungsi 280 huruf ini.

Pencarian yang lebih terperinci atau Advance Search. Pencarian maklumat secara biasa di Twitter agak leceh kerana fungsinya yang agak berterabur dan tidak tersusun. Dengan pengenalan fungsi pencarian yang lebih terperinci, borang digital yang disediakan lebih tersusun kemas untuk memudahkan maklumat yang dikehendaki dicari dan dijumpai.

Kebenaran pesanan ringkas dihantar dan diterima secara terus. Walaupun kita tidak mengikut seseorang itu ataupun mana-mana individu itu tidak menjadi pengikut kita, pesanan ringkas kini boleh dihantar atau diterima secara langsung. Fungsi ini walau bagaimanapun tertakluk kepada bagaimana anda membuat pilihan pada tetapan atau setting yang ada.

Pemantauan aktiviti melalui fungsi analitik. Anda boleh memantau prestasi dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan berdasarkan harian, mingguan, bulanan dan sebagainya.

Hentikan video yang dimainkan dan paparan gambar secara automatik. Kini, anda boleh membuat pilihan sama ada untuk membenarkan video yang dilihat dimainkan dan gambar-gambar yang ada secara automatik ataupun tidak. Dengan pengenalan ini, ia akan membantu anda menjimatkan penggunaan data dengan lebih baik berbanding dahulu. Sebelum ini, kesemua video dan gambar-gambar yang wujud di Twitter akan dimainkan atau dipaparkan secara automatik, yang menggunakan data yang lebih banyak. Kini, tidak lagi.

Langgan tweet dari akaun yang anda minat. Kini anda boleh melanggan dan mengikuti setiap perkembangan status terbaharu dari mana-mana akaun yang anda mahu. Setiap status yang terbaharu dari mereka, notifikasi akan dihantar terus kepada anda agar anda tidak ketinggalan dalam mengetahui perkembangan terkini. Ini sesuai kepada anda yang ingin mengetahui berita-berita terkini secara terus dan terperinci.

Pihak pengurusan Twitter yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Jack Dorsey juga turut didesak ahli lembaga pengarah untuk menyediakan kemudahan yang lebih berdaya maju untuk para pengguna menaiktaraf status akaun mereka kepada akaun premium, dan menggunakan perkhidmatan iklan berbayar yang murah.

Dengah perubahan-perubahan ini, kita dapat lihat Twitter kini lebih jauh berdaya saing dan tidak lagi pasif seperti dahulu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *