Bahasa Malaysia

Jualan iPhone X Kini Mencecah Lebih 20.7 Juta Unit, Ini Taktik Pemasaran Yang Apple Gunakan

Saya memerhati dari jauh perkembangan menarik ini sejak beberapa bulan lalu, dan berdasarkan pembacaan, pemerhatian dan kajian yang dibuat di YouTube dan media sosial, ini pendapat saya mengapa orang sanggup membayar hampir RM6 ribu untuk sebuah iPhone X.

SETAKAT 29 November 2017 yang lalu, jualan iPhone keluaran terbaharu Apple iaitu iPhone X telah mencecah 20.7 juta unit. Laporan yang dikeluarkan Localytics, iaitu satu platform analitik yang berpusat di Boston Amerika Syarikat ini menyebut, jualan iPhone X menduduki tangga kedua tertinggi selepas iPhone 8 Plus yang terjual sebanyak 23.2 juta unit dan iPhone 8 sebanyak 17.5 juta unit. Buat pertama kali dalam sejarah Apple, iPhone yang mempunyai skrin yang besar mempunyai jualan yang jauh lebih banyak berbanding iPhone yang mempunyai skrin bersaiz kecil

Ketika iPhone X dilancarkan pada 3 November 2017, dua minggu sebelumnya Apple baharu sahaja melancarkan iPhone 8 dan 8 Plus kepada pasaran. Dengan harga yang boleh dikatakan mahal gila di Malaysia untuk iPhone edisi ke 8 ini, ramai rakyat Malaysia yang tidak kisah dengan harga yang gila ini mula menyimpan angan-angan untuk memilikinya.

Ada beberapa pemerhati berpendapat, Apple sengaja melancarkan iPhone 8 dan 8 Plus terlebih dahulu untuk memastikan harga yang bakal diletakkan pada iPhone X itu nanti boleh dinaikkan dengan lebih banyak lagi. Mereka berkata demikian kerana melihat pemasaran iPhone X telah dimulakan hampir serentak dengan pemasaran untuk iPhone 8 dan 8 Plus. Ternyata kritikan tersebut benar apabila orang ramai mula memberi perhatian terhadap iPhone X jauh lebih jelas berbanding iPhone 8 dan 8 Plus.

Pada 27 Oktober 2017, hari Apple membuka tempahan untuk iPhone X, jumlah tempahan secara dalam talian yang diterima oleh Apple adalah diantara yang tertinggi dalam sejarah. Walaupun angka yang sebenar tidak didedahkan dengan rasmi, ia dikatakan mencecah berpuluh-puluh juta unit. Bayangkan iPhone X yang mempunyai tanda harga yang paling mahal di antara kesemua jenis iPhone yang pernah dikeluarkan, menerima tempahan awal yang begitu banyak. Kalau dahulu kita boleh melihat orang ramai beratur panjang untuk membeli iPhone, kini dengan iPhone X mereka hanya perlu membuat tempahan awal sahaja melalui dalam talian.

Ada yang mungkin akan menerima iPhone mereka pada penghujung 2017, dan ada pula yang hanya bakal menerima telefon yang ditempah itu pada awal tahun 2018 tetapi yang peliknya mereka semua bagaikan tidak kisah langsung. Namun persoalan ini lagi pelik, iaitu bagaimana iPhone X boleh dipasarkan dengan begitu efektif sekali walaupun harga yang ditawarkan jauh lebih mahal berbanding telefon pintar lain?

Saya memerhati dari jauh perkembangan menarik ini sejak beberapa bulan lalu, dan berdasarkan pembacaan, pemerhatian dan kajian yang dibuat di YouTube dan media sosial, ini pendapat saya mengapa orang sanggup membayar hampir RM6 ribu untuk sebuah iPhone X.

Video Mikro. Apple kali ini lebih memberikan fokus kepada pengeluaran video mikro. Mikro disini merujuk kepada video yang hanya mempunyai masa diantara 30-40 saat sahaja. Sekiranya anda menonton video-video promosi iPhone X, kebanyakannya memang pendek. Ia terlalu pendek tetapi masih padat dengan mesej yang mereka hendak sampaikan kepada para penonton. Dan mesej itu memang sampai, apabila ramai yang memiliki iPhone X walaupun harganya yang gila.

Mesej yang jelas, pengalaman pengguna. Mereka tidak menceritakan tentang teknikal langsung. Apa yang ditunjukkan sama ada dalam video mahupun dalam penulisan ulasan, semuanya berkaitan dengan pengalaman menarik pengguna dan bagaimana terujanya mereka menggunakan iPhone X. Di sini jelas menunjukkan Apple amat mementingkan pengalaman menarik pengguna, bagaimana senangnya iPhone X digunakan dan beberapa fungsi unik yang akan menambahkan lagi pengalaman manis pengguna apabila ia digunakan.

Mereka tidak bercakap tentang berapa lama bateri iPhone X mampu bertahan, tetapi perhatian yang lebih diberikan kepada emoji-emoji yang kelakar, caj tanpa wayar yang lebih mudah, dan penggunaan wajah untuk membuka kata kekunci. Yang paling jelas, pergerakan warna yang menyelaputi keseluruhan iPhone X tanpa sebarang butang fizikal Home.

Penggunaan Pengaruh YouTuber. Biasanya Apple akan memberikan beberapa unit telefon pintar mereka kepada beberapa majalah digital, pemilik laman-laman blog teknologi dan syarikat-syarikat suratkhabar sebagai sampel untuk mereka membuat ulasan dalam editorial. Selang beberapa hari selepas itu, baharu Apple akan melancarkan produk tersebut ke pasaran dengan meluas. Tetapi taktik ini tidak digunakan ketika iPhone X dilancarkan. Apple terlebih dahulu menghantar beberapa sampel iPhone X kepada beberapa orang penggiat YouTube untuk ulasan mereka jauh lebih awal berbanding yang lain.

Yang menariknya di sini, mereka memilih untuk menghantar kepada YouTuber yang tidak mahir dalam hal-hal teknikal. Sebaliknya Apple lebih berminat untuk mendapatkan ulasan daripada YouTuber yang menceritakan tentang pengalaman mereka menggunakan iPhone X kepada para pengikut masing-masing. Apple lebih berminat tentang pengalaman penggunaan dan nilai-nilai yang diperolehi oleh YouTuber tersebut berbanding ulasan yang terlalu menjurus kepada subjek teknikal yang membosankan.

Muzik yang ceria. Bagi sesetengah orang, muzik tidak begitu memainkan peranan dalam mempengaruhi orang untuk membeli, tetapi tidak Apple. Mereka mahir dalam membuat pemilihan muzik yang sesuai dengan pergerakan dalam video, yang ceria dan unik untuk memberikan ‘tekanan’ kepada sesiapa yang melihat video iPhone X untuk membeli. “Betapa ruginya aku kalau tak dapat iPhone X ni”. Ini yang Apple ingin kita berfikir.

Rekabentuk iPhone X. Rekabentuk memang menjadi titik tolak dalam kemajuan Apple selama ini. Daripada Macbook, iMac, iPod, Apple Watch sehinggalah kepada iPhone, semuanya direkabentuk dengan teliti sekali. Mereka sedar tanpa rekabentuk produk yang unik dan menarik, amat sukar untuk menjual produk itu ke pasaran.

Pedulikan kritikan luar. Memang ramai pengkritik Apple di luar sana yang meramalkan kejatuhan Apple dan iPhone. Apple dikatakan tidak lagi menjadi pendahulu dalam aspek inovasi terkini dalam pengeluaran telefon pintar, Apple dikatakan sudah jauh terkebelakang berbanding beberapa jenama dari Korea dan China dari segi fungsi-fungsi iPhone, bagaimana Android dikatakan jauh lebih baik berbanding iOS, video-video sinis yang dikeluarkan oleh pesaing iPhone yang secara tidak langsung mengutuk iPhone dan pelbagai lagi tohmahan.

Adakah Apple kisah? Jawapannya tidak. Mereka langsung tidak pedulikan semua kritikan yang ada. Kini dengan iPhone X, Apple tidak berperang harga dengan sesiapa kerana memang harga seunit yang termahal di dunia. Tetapi para pengikut setia Apple tetap membeli.

Mungkin anda boleh belajar sesuatu dari taktik pemasaran iPhone X yang digunapakai Apple ini untuk memasarkan jenama produk anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *