Bahasa Malaysia

19 Cara Bagaimana Penasihat Kewangan Boleh Dapatkan Jualan Tanpa Menyebut Mati, Sakit Atau Menyesal

Hampir setiap masa dan di mana-mana saluran media sosial sekalipun, kita pasti akan terserempak dengan para penasihat kewangan. Semakin ramai individu yang memilih bidang ini sebagai karier profesional mereka. Sahabat-sahabat kita ini tidak pernah berputus asa menasihati kita tentang betapa pentingnya perlindungan insurans, takaful pelaburan dan juga simpanan yang konsisten untuk masa hadapan yang lebih baik. Ada yang bergerak melalui jenama syarikat prinsipal gergasi mereka yang terkenal, dan ada juga yang bergerak secara bebas tanpa terikat dengan mana-mana jenama produk. Saya memang tabik dengan individu-individu kental ini.

Saya juga dapat melihat dengan jelas yang rangkaian media sosial merupakan saluran yang paling efektif bagi mereka kerana ia lebih murah dan mudah dilakukan. Setiap status akan dimuatnaik dengan mudah, tidak sampai 15 saat pun. Ia bukan sahaja penuh dengan mesej yang cuba disampaikan pada hari itu, tetapi dengan gambar sekali. Kadang-kadang, video pun ada.

Niat yang ditunjukkan amat baik dan murni, kerana setiap produk dan perkhidmatan yang disediakan memang mempunyai manfaat yang tidak dinafikan begitu baik sekali. Dengan mempunyai perlindungan insurans atau takaful yang betul dan mencukupi, wang anda yang disimpan dari hasil titik peluh tidak perlu disentuh langsung sekiranya anda sakit dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Bergantung kepada polisi yang anda ambil, boleh dikatakan anda tidak perlu risau langsung dengan kos kerana semuanya ditanggung. Malah, kalau anda terkena pisau, demam selsema atau melecur terkena air panas sekalipun boleh dilindungi insurans atau takaful sekiranya anda ke klinik bagi mendapatkan rawatan. Ada produk-produk yang ditawarkan di pasaran yang mempunyai keistimewaan ini. Begitu juga dengan perlindungan untuk keluarga sekiranya pemegang polisi meninggal dunia. Pampasan disediakan kepada waris.

Manakala produk simpanan dan pelaburan juga tidak kurang hebatnya. Perkhidmatan yang disediakan begitu baik sekali kerana ia membantu mempercepatkan cara anda menambah wang yang dilaburkan melalui mekanisme pelaburan yang anda pilih. Penasihat kewangan pasti akan membantu anda tentang semua maklumat tentang risiko, pulangan, tempoh masa dan sebagainya.

Cuma saya agak terkilan sedikit apabila di rangkaian media sosial dan laman-laman blog, kita sering melihat status yang berbentuk negatif ditulis dalam perjalanan mereka mendapatkan pelanggan. Mereka tidak begitu kreatif dalam penulisan, dan teknik memilih perkataan dan ayat yang sesuai bagi tujuan ini. Perkataan yang popular yang selalu sangat digunakan ialah mati, meninggal dunia, hilang upaya, menyesal, kasihankan keluarga, sakit, terlantar di hospital dan beberapa lagi perkataan yang menarik sekali negatifnya.

Di sini saya sediakan beberapa panduan dan taktik pembuatan kandungan yang berimpak tinggi, yang anda boleh gunakan dalam mendapatkan pelanggan berbayar.

  1. Berikan panduan bagaimana untuk menyimpan wang untuk diri sendiri.
  2. Kongsikan pendapat anda bagaimana untuk menyimpan wang untuk anak-anak, mengikut peringkat umur.
  3. Ceritakan apakah kriteria untuk menabung dalam unit amanah.
  4. Berikan pendapat anda tentang mengapa menabung dalam unit amanah lebih baik daripada melabur dalam pasaran saham.
  5. Ceritakan proses yang berlaku dalam pengurusan unit amanah.
  6. Terangkan mengapa yuran untuk menguruskan unit amanah itu sedemikian rupa
  7. Ceritakan mengapa syarikat-syarikat ini dipilih oleh unit-unit amanah ini untuk pelaburan dan bukannya syarikat lain.
  8. Terangkan apakah risiko dan kerugian yang boleh berlaku sekiranya unit amanah yang disimpan itu dijual.
  9. Kongsikan bagaimana pihak bank dapat meluluskan pinjaman dengan berdasarkan unit amanah yang mereka ada.
  10. Kongsikan jenis-jenis unit amanah yang ada di pasaran, dan yang mana satu yang sesuai untuk peringkat umur tertentu
  11. Terangkan juga apakah yang dimaksudkan dengan patuh syariah.
  12. Ceritakan apa yang syarikat insurans atau takaful akan lakukan sekiranya mereka mendapat claim dari anda.
  13. Terangkan kenapa sesuatu claim itu tidak mendapat kelulusan.
  14. Kongsikan pendapat anda tentang bagaimana sesuatu bayaran bulanan itu boleh menjadi rendah atau tinggi, dan mengapa.
  15. Berikan panduan kepada pembaca bagaimana untuk membuat sesuatu claim.
  16. Ceritakan apakah jenis-jenis insurans yang ada di pasaran dan yang mana satu yang sesuai untuk individu-individu tertentu.
  17. Berikan pendapat anda tentang kriteria-kriteria yang sepatutnya ada pada seseorang penasihat kewangan itu sebelum memilihnya menjadi wakil kepada anda.
  18. Apakah yang membuatkan seseorang penasihat kewangan itu bertauliah, apakah sijil dan ujian yang perlu diambil untuk menjadi yang bertauliah.
  19. Kongsikan juga bagaimana sesuatu keuntungan itu diberikan, dan apa yang perlu pemegang unit amanah itu lakukan dengan keuntungan tersebut.

Dengan bercerita dan berkongsi sedikit maklumat tentang apa yang berlaku di dalam syarikat, proses-proses yang berlaku, olahkan sedikit tentang bagaimana sesuatu keputusan itu diambil, terangkan juga kriteria-kriteria tertentu yang perlu diambil kira sebelum kelulusan diberikan, dan sebagainya, ini sedikit sebanyak akan membuka mata para pengguna tentang kebaikan perlindungan insurans dan pelaburan dalam unit amanah.

Terdapat banyak lagi maklumat yang anda boleh kongsikan kepada masyarakat di luar sana, yang tidak melibatkan keperluan untuk bercerita tentang mati, meninggal dunia, menyesal, sakit dan sebagainya. Orang ramai semakin jemu dengan peringatan-peringatan ini dan ini mungkin juga sebab utama mereka terus lari dari anda walaupun produk dan perkhidmatan yang anda bawa ini amat penting dan berguna untuk mereka.

Kurangkan bercerita dari perspektif anda, kurangkan ‘menasihati’ mereka, kurangkan ‘mengajar’ mereka tentang apa yang patut dan tidak patut lakukan, dan berhenti juga dari terus berkongsi gambar-gambar kereta mewah anda serta percutian luar negara yang anda layak baru-baru ini. Ini cara penasihat kewangan yang amatur, tidak pro langsung. Bercerita lebih-lebih tentang diri sendiri juga tidak akan membawa anda kemana-mana. Biasanya pemasaran cara ini tidak akan bertahan lama dan orang akan meluat.

Sebagai penasihat kewangan yang lebih profesional, anda sepatutnya lebihkan usaha memberikan maklumat-maklumat penting, berkualiti dan berguna yang para pengguna mahu dengar. Terdapat banyak maklumat di dalam syarikat anda yang tidak dikeluarkan. Kebanyakannya yang diceritakan hanyalah menggunakan mulut sahaja, ataupun di dalam terms and condition yang ditulis kecil di dalam kontrak atau polisi.

Bantu mereka dengan berkongsi maklumat yang lebih baik. Dengan cara ini, ia pasti akan menjadikan anda sebagai rockstar dalam karier anda sebagai penasihat kewangan.

One comment

  1. Sangat setuju dengan perkongsian penuh makna ini Bro Azleen.
    Ramai ejen Takaful dan Unit Amanah membuat Pemasaran dengan cara negatif. Menakut-nakutkan orang ramai.

    Hakikatnya, itulah yang buat orang ramai menjauhkan diri dari spesis jenis ini. Jangan salahkan orang ramai jika mereka tidak nampak kepentingan dan keperluan Takaful dan Unit Amanah. Kerana cara pemasaran yang langsung tidak betul.

    Well Done Bro. Love this very much!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *