Bahasa Malaysia

Pembaharuan News Feed Facebook Kali Ini Akan Memberikan Kesan Mendalam Kepada Strategi Pemasaran Digital Anda

Sebagai satu platform yang mempunyai jumlah pengguna aktif paling ramai iaitu sebanyak 2 billion pengguna di seluruh dunia, mereka kali ini ingin memberikan lebih perhatian kepada interaksi yang lebih berkualiti di antara rakan dan keluarga.

BERMULA pada minggu hadapan, anda akan mula merasai beberapa perubahan yang ketara pada halaman News Feed Facebook anda. Facebook, pada hari Khamis lalu, telah membuat pengumuman rasmi tentang pengenalan algoritma baharu mereka yang bakal menukar bagaimana mereka akan membuat paparan status penulisan, video, gambar dan juga artikel yang anda dimuatnaik ke News Feed mereka. Sebagai satu platform yang mempunyai jumlah pengguna aktif paling ramai iaitu sebanyak 2 billion pengguna di seluruh dunia, mereka kali ini ingin memberikan lebih perhatian kepada interaksi yang lebih berkualiti di antara rakan dan keluarga. Facebook ingin mengurangkan status-status yang berbentuk komersil yang dihasilkan oleh individu, jenama, majalah dan suratkhabar serta syarikat-syarikat media.

Menurut New York Times, perubahan Facebook kali ini diantara yang terbesar dan nampaknya Mark Zuckerberg turut membuat pembaharuan yang sangat jauh bezanya dalam halatuju Facebook juga. Semuanya dilihat bermula setelah beliau menimang dua cahaya mata perempuan iaitu Maxima dan August. Kelahiran mereka amat memberikan impak dan sentimental kepada Mark dalam perkembangan yang menarik ini. Pada minggu pertama Januari lepas, Mark telah memuatnaik statusnya di Facebook yang menulis tentang matlamat peribadinya untuk tahun 2018. Diantaranya ialah dia menyebut bahawa 2018 adalah tahun yang serius untuk dia dan Facebook berubah ke arah yang lebih baik, lebih bermakna dan lebih membantu masyarakat untuk berinteraksi dengan lebih baik diantara satu sama lain, dan membaca kandungan-kandungan yang berkualiti dan bermakna untuk dibaca.

“Penukaran ini penting demi anak-anak saya, Maxima dan August, yang masih kecil dan saya mahukan mereka membesar dengan tanggapan bahawa saya telah membina sesuatu yang bermakna untuk kebaikan diri mereka dan dunia,” Mark Zuckerberg berkata dalam temuramah yang diadakan.

Dengan memberikan lebih perhatian dan keutamaan kepada kualiti interaksi yang lebih sihat diantara rakan dan keluarga, ini sedikit sebanyak akan memberi kesan yang sebaliknya secara langsung kepada komuniti perniagaan. Pengumuman ini memang tidak dialu-alukan langsung. Sebagai usahawan dan golongan profesional diluar sana yang terlalu bergantung kepada Facebook dalam strategi pemasaran digital mereka, ini apa yang bakal anda hadapi bermula minggu hadapan dan seterusnya.

Status berkaitan produk, perkhidmatan anda sedikit demi sedikit tidak akan dipaparkan di News Feed lagi. Mark Zuckerberg sendiri berkata dalam temuramah yang sama bahawa Facebook akan memaksimumkan kandungan-kandungan yang berkualiti yang mampu menyediakan interaksi yang berkualiti diantara rakan dan keluarga. Tiada lagi status video-video yang tiada faedah yang viral, berita sensasi dari syarikat-syarikat media mahupun apa jua bentuk status yang menjual. Facebook akan mengutamakan status seperti gambar kucing anda, hidangan makanan yang menusuk kalbu, dan status-status yang berbentuk personal.

Harga yang bakal meningkat untuk laman perniagaan Facebook, Facebook Page. Berjuta-juta jenama berperang sesama sendiri untuk berada di ruangan News Feed, untuk berada di hadapan mata pengguna aktif Facebook setiap hari. Dengan pengumuman ini, ia bermaksud jenama-jenama yang lebih aktif di halaman perniagaan Facebook iaitu Facebook Page akan menghadapi saat yang lebih sukar untuk memastikan status mereka berada di News Feed. Facebook berkemungkinan besar akan memaksa jenama-jenama untuk membayar harga yang lebih tinggi berbanding kadar yang ada sekarang. Kos pengiklanan akan meningkat selepas ini.

Facebook akan mengambil kira interaksi yang bermakna, dan bukan lagi jumlah interaksi, untuk paparan di News Feed. Kedua-duanya amat berbeza. Saya tidak tahu bagaimana Facebook akan membuat pengiraan atau formula untuk mengenalpasti interaksi yang bermakna ini, tetapi saya amat yakin populariti setiap status yang dimuatnaik tidak lagi akan diambil kira. Dengan kata lain, walaupun status anda mempunyai beribu-ribu Like, beribu-ribu orang yang memberikan komen dan juga beribu-ribu orang yang berkongsi namun ini tidak bermaksud ia satu interaksi yang bermakna. Mungkin apa yang dimaksudkan Facebook di sini ialah interaksi yang wujud itu akan lebih menjurus kepada interaksi yang lebih personal, dan tiada unsur-unsur jualan.

Baharu anda sedar sebenarnya strategi media sosial tidak begitu penting. Ya, betul. Strategi permainan media sosial tidak penting sebenarnya kerana ia tidak kekal lama. Setiap strategi media sosial terlalu bergantung kepada algoritma yang digunakan oleh rangkaian media sosial yang ada. Setiap kali mereka menukar algoritma kepada yang baharu, strategi permainan media sosial anda juga akan turut bertukar. Ini amat memenatkan. Tetapi sekiranya anda lebih berikan tumpuan kepada strategi pembuatan kandungan dan fokus terhadap penghasilan artikel, cerita, video ataupun infografik yang memberikan manfaat kepada pengikut anda dan juga pasaran yang anda sasarkan, ia lebih bermakna, berjangka panjang dan hasilnya lebih baik lagi. Ini disebabkan para pengguna akan memberikan respon yang baik kepada kandungan yang baik walaupun anda tidak mempunyai strategi media sosial yang baik. Ia mungkin akan dikongsi dan mungkin juga akan menghasilkan interaksi yang berkualiti dikalangan para pengikut anda. Ini sebenarnya yang anda mahukan.

Sebagai seorang individu, saya secara peribadi menyambut baik halatuju baharu Facebook ini. Ia akan menggalakan perhubungan sesama manusia menjadi lebih berkualiti, tidak seperti hari ini apabila News Feed yang ada sekarang dipenuhi dengan ‘sampah’. Sampah yang dimaksudkan di sini ialah ia terlalu penuh dengan status-status komersil yang secara langsung menenggelamkan status-status personal yang memupuk interaksi sihat diantara sahabat dan keluarga.

Sebagai seorang pemasar digital, nampaknya saya tidak boleh lagi menggunakan Facebook sebagai saluran penting untuk mengedarkan status-status dari laman web saya dengan kaedah yang sama seperti sekarang. Saya perlu membuat sedikit kajian dengan lebih lanjut tentang algoritma yang akan digunapakai Facebook terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, yang pasti Facebook kini tidak akan menjadi pilihan utama lagi bagi jenama-jenama besar untuk tujuan pemasaran media sosial.

Sudah beberapa kali saya berpesan, jangan terlalu bergantung harap pada mana-mana rangkaian media sosial kerana sudah terlalu lama mereka memberikan perkhidmatan percuma kepada para pengguna di seluruh dunia tanpa mengenakan apa-apa bayaran. Selepas itu, mereka mula mengenakan sedikit bayaran dengan menarik balik fungsi-fungsi tertentu yang sebelum ini diberikan percuma. Ini cerita 3-5 tahun lepas. Mulai tahun 2017 dan seterusnya, mereka sudah pasti akan menaikkan lagi kadar langganan yang anda perlu bayar untuk menikmati fungsi-fungsi yang ada. Ini apa yang berlaku sekarang, dan anda peru membuka mata anda.

Apa taktik yang perlu anda gunakan untuk tidak terlalu bergantung kepada rangkaian media sosial? Anda perlu wujudkan laman web, atau sekurang-kurangnya laman blog. Bina kandungan-kandungan yang menarik di sana. Kemudian bina pengikut anda di sana. Pastikan mereka akan suka dengan apa yang mereka lihat di laman web anda. Ia tidak terlalu susah sebenarnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *